You are currently viewing Penanaman Cili Padi Secara Fertigasi Terbuka

Penanaman Cili Padi Secara Fertigasi Terbuka

  • Post category:Artikel / Cili

Cili padi (Capsicum frustecens Linn) adalah salah satu spesies cili dari keluarga Salanaceae. Pokok cili padi tumbuh setinggi 0.5 meter – 2.0 meter dengan buah cili tumbuh menghala ke atas. Cili padi juga dikenali dengan pelbagai nama lain seperti cili api, cili rawit, cili cabai burung, lada jarum, lada tunggeng dan sebagainya. Berbanding dengan cili merah yang lain, buah cili padi adalah kecil dan bersaiz di antara 3 cm – 5 cm sahaja. Cili ini pedas dan sangat digemari oleh suri rumah tangga untuk membuat hidangan makanan. Memandangkan kebanyakan penduduk di Asia Tenggara telah biasa dengan kepedasan cili, maka ia berpotensi besar untuk diusahakan sama ada secar kecil-kecilan atau secara komersial. Sehingga kini Malaysia masih tidak dapat menampung keperluan cili di peringkat domestik dan lantaran itu perlu diimport dari luar negara khususnya Thailand.

Terdapat beberapa sistem penanaman yang boleh digunakan untuk tanaman cili. Penanaman cili di kawasan terbuka dan di atas tanah adalah kaedah paling murah kerana tidak perlu kelengkapan seperti struktur pelindung hujan sebagaimana yang diperlukan dalam sistem fertigasi tertutup. Walau bagaimanapun, penanaman cili di atas tanah serta di kawasan terbuka mudah diserangi penyakit yang berasal dari kulat tanah di samping juga banyak ancaman lain dari antraknos dan hawar pucuk. Oleh yang demikian, sistem fertigasi adalah disyorkan untuk tanaman cili padi. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum anak cili pokok dipindahkan ke dalam polibeg.

 

Untuk meringankan beban penanam, fertigasi terbuka (iaitu tanpa struktur pelindung hujan) boleh digunakan. Fertigasi bermaksud bermaksud pembajaan dan pengairan dijalankan serentak dan juga secara automatik di ladang melalui kelengkapan yang disediakan seperti tangki air baja (900 gelen), pam air, pengatur masa, penapis, injap dan paip poli yang terbahagi kepad paip utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub yang berfungsi membawa larutan nutrien ke setiap pokok. Sistem fertigasi juga memberi hasil yang lebih tinggi sehingga 3 – 5 kali ganda berbanding kaedah konvensional.

Dalam sistem fertigasi terbuka ini, lantai yang rata adalah keperluan asas bagi penyaluran baja dan air yang sekata kepada setiap pokok demi tumbesaran pokok yang seragam. Tambahan, bekalan air mesti ada di tapak penanaman sama ada air kolam, tasik, sungai mata air, air bawahan air bawahan tanah (tube well) atau sumber-sumber lain. Kualiti air juga perlu diperiksa supaya mendapat nilai pH air yang sesuai utnuk tanaman cili iaitu 5.5-6.5.

Sistem fertigasi terbuka juga memerlukan setiap tanaman ditanam ke dalam polibeg. Medium yang disyorkan untuk polibeg ialah 100% cocopeat kerana mudah dan murah diperolehi di samping juga lebih mesra alam. Dua jenis polibeg boleh digunakan sama ada jenis bantal atau yang tegak. Umumnya polibeg berwarna hitam dipilih kerana lebih tahan lasak berbanding polibeg putih. Polibeg bantal berukuran 21 inci x 13 inci dan polibeg tegak berukuran 16 inci x 16 inci adalah sesuai untuk digunakan.

Bagi penanaman cili, varieti hibrid F1 hendaklah dipilih kerana mempunyai prestasi yang lebih tinggi. Bagi cili merah yang ingin ditanam secara fertigasi, maka varieti Kulai S469, Kulai 568, Kulai 223, Kulai 151 boleh dipilih manakala bagi cili padi, varieti centil atau cili padi bara adalah pilihan yang umum.

Dalam penyediaan bahan tanaman, biji benih cili yang diperolehi disemai ke dalam dulang semaian yang berlubang 104 lubang plug. Peat moss digunakan sebagai medium percambahan. Setiap satu lubang plug disemai dengan satu biji benih kemudian dibasahkan dengan air. Selepas 5 – 7 hari, anak benih cili akan tumbuh dan ia kemudian dimasukkan ke dalam rumah semaian demi mengelak dari serangan perosak. Untuk tujuan menyulam, anak benih perlu ditambah sebanyak 10%.

Apabila anak benih mencapai umur 10 – 21 hari iaitu semasa ketinggian pokok 10 – 20 cm serta dengan 7 – 10 helai daun, ia sedia untuk dipindahkan ke dalam polibeg. Pemindahan ini seelok-eloknya dilakukan pada waktu petang untuk mengurangkan tekanan pindahan (transplanting shock). Anak benih cili dipindahkan bersama peat moss ke dalam polibeg yang sudah digalikan lubang kemudian memadatkan tanah di pangkal pokok. Anak benih ini ditanam sedalam 3 – 5 cm dari permukaan coco peat serta meletakkan panah penitis di pangkal pokok.

 

Selepas 3 bulan, medium tanaman di dalam polibeg perlu dibilas dengan air bersih dengan kekerapan sekali setiap bulan agar membuangkan garam yang mungkin telah berkumpul di dalam. Penimbunan garam ini akan menghasilkan toksik kepada tanaman. Pembilasan air ini dijalankan dengan menghidupkan pam supaya air bersih terus mengalir selama satu jam. Kelarutan baja hendaklah diukur supaya nilai pH adalah sesuai iaitu di antara 5.5 – 6.5.

Anak pokok juga perlu dipasang pancang berbentuk X atau H supaya memberi sokongan bagi mengelakkan daripada tumbang atau patah ranting. Kejadian tumbang atau ranting patah akan mengurangkan hasil. Ketinggian pancang yang sesuai adalah di antara 4 kaki – 5 kaki serta ditanam sedalam 1 kaki.

 

Lantai kawasan penanaman seelok-eloknya dilengkapi dengan satu lapisan plastik seperti weedmat ataupun disimen bagi mengawal pertumbuhan rumpai. Apabila pokok mencapai umur 2 – 3 minggu selepas ditanam, ia hendaklah dipangkas dengan membuang tunas air yang tumbuh pada pokok. Tunas air adalah tunas yang muncul selepas cabang utama cili. Bagi cili merah, kesemua tunas air dibuang manakala bagi cili padi, simpanlah 3 – 5 tunas air untuk meningkatkan hasil.

Tanaman cili mengalami serangan perosak dan penyakit yang agak tinggi walapun ia ditanam secara fertigasi. Namun kadar serangan tersebut masih lebih rendah berbanding kejadian yang berlaku pada kaedah konvensional. Ini kerana tanaman ini lebih rentan terhadap serangan perosak dan penyakit. Namun begitu, kawalan racun tetap dapat mengawalnya. Antara serangga perosak utama tanaman cili ialah lalat putih, afid, kutu trip, hamama, ulat ratus, ulat pengorek buah dan lalat buah. Penanam cili hendaklah berkebolehan untuk mengenal pasti jenis penyakit dan serangga perosak yang menyerang agar dapat memilih kaedah tindakan atau penggunaan racun yang sesuai dengan segera.

 

Bagi cili merah, ia boleh dituai selepas lebih kurang 75 hari dipindah tanam manakala bagi cili padi di sekitar 90 hari. Hasil dikutip dengan selangan 3 hari di peringkat kutipan hasil awal kemudian menukar kepada setiap hari di musim hasil memuncak. Hasil yang dikutip bagi cili padi ialah 1.5 kg sepokok sedangkan cili merah pada 2.5 kg sepokok. Inilah hasil minimum yang disarankan untuk dikutip supaya penanam boleh mendapat keuntungan sewajarnya. Ladang cili memerlukan tenaga buruh yang banyak untuk mengutip hasil. Oleh itu bagi mereka yang tidak memiliki kelebihan ini, maka tanaman cili mungkin kurang sesuai untuk diusahakan.

Hasil cili boleh dikutip selama 6 bulan. Inilah hayat ekonomi tanaman cili. Sungguhpun demikian, penamatan tanaman ini masih bergantung kepada varieti cili, harga semasa cili di pasaran, tahap kesuburan pokok dan tahap jangkitan penyakit. Apabila keputusan sudah dibuat untuk menamatkan penanaman cili, maka semua buah cili termasuk yang masak dan yang mentah dikutip kesemuanya kemudian pokok dicabut keluar daripada polibeg untuk dimusnahkan kesemuanya. Kawasan tanaman kemudian dibersihkan.


Anggaran Kos

Untuk 1,000 polibeg, kos pembangunan dianggarkan RM7.00 – RM12.00 bagi satu polibeg. Maka itu, kesemuanya dianggarkan RM7,000 – RM12,000 untuk 1,000 polibeg. Penyusunan polibeg adalah berdasarkan jarak antara baris pada 5 kaki manakala jarak antara polibeg ialah 1.5 kaki.

Hantar blog ini kepada :