You are currently viewing Amalan Kultur Tanaman Mangga

Amalan Kultur Tanaman Mangga

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Yi Nong (M) Sdn. Bhd.
No 102, Jalan Kampung Raja, 39010 Cameron Highlands, Pahang, Malaysia.
Tel: +605-4981333
Fax: +605-4983199
Email: yinong.sdn.bhd@hotmail.com

“Amalan kultur yang sempurna adalah salah satu kunci kejayaan dalam penanaman pokok mangga. Ini kerana morfologinya perlu dikawal supaya tidak membebankan kutipan hasil kelak di samping bagi menghasilkan pokok – pokok yang dapat mengeluarkan hasil dengan baik.”

Penanaman mangga memerlukan bahan tanaman yang bermutu tinggi supaya memberi hasil pembuahan yang lumayan. Dalam aspek ini, pokok mangga yang dibiak secara cantuman adalah lebih baik daripada pembiakan biji kerana pembiakan cantuman dapat mewarisi ciri – ciri induk dengan lebih baik selain dilengkapi dengan ciri – ciri seperti berbuah lebih awal, pokok lebih rendah serta pertumbuhan pokok yang lebih seragam. Namun begitu, terdapat juga tanaman mangga seperti mangga telur (atau mangga padi) yang sedia mewarisi ciri – ciri induk walaupun dibiak melalui biji benih.

Teknik cantuman telah digunakan secara meluas dalam pembiakan pokok buah – buahan seperti mangga. Dalam senario ini, pokok penanti yang amnya terdiri daripada mangga telur perlu dibiak terlebih dahulu dengan cara menyemaikan biji buah mangga yang matang dan sihat ke dalam tapak semaian berjarak 5 cm di antara satu sama lain. Dengan penyiraman air sebanyak 3 kali sehari, biji semaian akan bercambah dalam masa 4 – 5 minggu selepas disemai. Satu biji benih mangga seperti mangga telur dapat menghasilkan sehingga 5 anak benih.


Anak benih ini kemudian dipindah ke dalam polibeg selepas bercambah 2 – 3 minggu. Siraman air diberikan sekurang – kurangnya sekali sehari tanpa perlu menyediakan lindungan untuknya. Namun, racun serangga seperti tamaron harus disembur sekali/bulan bagi mengawal serangan serangga makan daun. Begitu juga dengan pembajaan NPK hijau (15 : 15 : 15) pada kadar 30 g/pokok diberikan semasa pokok berumur sebulan dan 2 bulan selepas bercambah. Anak pokok yang telah mencapai umur 2.5 bulan boleh digunakan sebagai pokok penanti dalam cantuman baji sisi manakala cantuman mata tunas pula memerlukan pokok penanti lebih matang, iaitu semasa berumur 4 – 6 bulan.

Cantuman Tunggul

Selain penyediaan pokok penanti untuk tujuan cantuman baji sisi dan cantuman mata tunas, teknik cantuman tunggul juga boleh digunakan terhadap pokok mangga. Untuk menghasilkan pokok penanti bagi menjalankan cantuman tunggul, anak benih disemai terus di tapak semaian dengan rapat (30.5 cm x 10 cm) dengan meninggalkan lorong selebar 71 cm di antara baris tanpa perlu mengubahnya ke dalam polibeg.

Apabila anak – anak pokok berumur 4 bulan, ia boleh digunakan untuk dicantum secara tunggul. Teknik cantuman tunggul sebenarnya sama dengan cantuman mata tunas, cuma ia dijalankan pada anak pokok semasa di tapak semaian. 3 minggu lepas cantuman, pokok yang cantumannya telah berjaya dicabut dan bahagian atas batang pokok dipotong kira – kira 10 cm dari tempat mata tunas tersebut. Hujung akar tunjangnya juga dipotongkan sedikit. Tunggul tersebut kemudian dipindah tanam ke dalam polibeg yang telah diisi dengan tanah campuran.


Cantuman Baji Sisi

Cantuman baji sisi perlu dijalankan pada pokok penanti yang subur yang telah mencapai umur kira – kira 10 minggu. Pokok penanti dipotong menyerong sepanjang 3 cm di bahagian 5 cm dari aras tanah. Pucuk tunas yang subur dengan ukuran panjang 8 – 10 cm serta dibuangkan semua daunnya dipotong secara bentuk ” V” di pangkal batangnya dengan satu permukaan berukuran 3 cm dan permukaan satu lagi dengan ukuran 1 cm, kemudian disisipkan ke dalam celah yang telah dibuat pada batang pokok tadi. Permukaan yang panjang disisip menghala pada batang pokok dan pastikan sisipan tersebut adalah rapat dengan batang pokok.

Bahagian cantuman kemudian diikat dan pucuk tunas dibalut dengan pita cantuman. Balutan ini bertujuan mengekalkan kelembapan pucuk tunas dan ia boleh ditanggalkan selepas 3 minggu kemudian. Namun, ikatan pada bahagian cantuman masih perlu dikekalkan dan hanya boleh ditanggalkan ikatan itu selepas 6 minggu. Pada masa ini, pokok boleh diubah ke ladang untuk ditanam. Pokok penanti dicantas pada masa 3 minggu selepas penanggalan pita cantuman pada bahagian pucuk tunas.

Cantuman Mata Tunas

Teknik ini seperti sedia maklum oleh pengusaha tanaman, merupakan pengambilan mata tunas dari pokok klon yang ingin dibiak kemudian diselit pada bahagian pokok penanti yang telah dikopek. Pokok penanti harus berumur kira – kira 4 bulan selepas disemai. Bahagian cantuman harus diikat dengan pita cantuman dan diperiksa 3 minggu selepas dicantum.

Sekiranya mata tunas cantuman tersebut dalam keadaan hijau dan tidak mengecut pada masa tersebut, maka ia menandakan cantuman itu telah berjaya. Pada masa ini, bahagian atas batang pokok penanti dipotong kira – kira 10 cm dari mata tunas. Bagi menggalak pertumbuhan mata tunas, bahan kimia penggalak tunas seperti Atrinal boleh disapu pada mata tunas. 3 bulan seleas cantuman, pokok boleh dipindah tanam di ladang. Sekiranya cantuman tidak berjaya, pokok penanti tersebut masih boleh digunakan untuk cantuman semula.


Sistem Penanaman

Tanaman mangga boleh ditanam mengikut sistem segi tiga sama, segi empat atau siku keluang. Ketiga – tiga sistem ini sesuai digunakan pada permukaan tanah yang rata dan landai, manakala di kawasan bercerun, maka ia harus ditanam mengikut kontor tanah. Namun begitu, penanaman secara segi tiga sama dapat memuatkan lebih banyak tanaman mangga daripada sistem segi empat dengan jumlah melebihi sebanyak 15% pada jarak tanaman dan keluasan tanah yang sama.

Sistem siku keluang sebenarnya sama dengan sistem segi empat, cuma penanaman siku keluang ditanam juga tanaman lain di tengah tanaman kekal. Pokok pengisi ruang ini amnya terdiri daripada tanaman yang dapat mengeluarkan hasil dengan lebih cepat sementara menunggu tanaman utama atau kekal berhasil. Apabila pokok kekal sudah membesar sehingga saiz tertentu, pokok – pokok pengisi di bahagian tengah itu harus dibuang bagi mengurangkan persaingan dengan pokok kekal.

Penanaman mangga di kawasan yang mempunyai aras air yang tinggi atau mudah banjir, batas berukuran 3 m (lebar) x 1 m (tinggi) atau busut bergarispusat 1.5 m dan 0.5 m tinggi boleh dibina bagi mengelakkan rendaman akar pokok mangga dalam air dalam jangka masa panjang semasa aras air meningkat. Batas dan busut yang telah dihakis air hujan harus ditambak khususnya semasa pokok sedang membesar.

Dari segi pemilihan jarak tanaman, bergantung pada saiz pokok klon yang ingin ditanam. Tanaman mangga yang lebih besar saiznya seperti klon Harumanis, Masmuda, Sala dan Maha 65 sesuai ditanam dengan jarak 9.1 m x 9.1 m bersamaan 120 pokok/ha. Tanaman mangga separa kerdil seperti klon Malgoa dan Epal sesuai ditanam pada jarak 7.6 m x 7.6 m (173 pokok/ha). Bagi klon kerdil seperti klon Nam Dorkmai, jarak 6 m x 6 m (277 pokok/ha) boleh digunakan.

Lubang Tanaman

Ukuran lubang tanaman disyorkan pada 0.6 m (panjang) x 0.6 m (lebar) x 0.6 m (dalam). Lubang ini disediakan pada masa 1 – 2 minggu sebelum penanaman. Lubang tanaman yang lebih besar adalah diperlukan bagi kawasan penanaman yang kurang subur.

Tanah lapisan atas yang akan digunakan disyorkan digaul dengan 220 g serbuk fosfat CIRP bersama 10 kg baja organik seperti tahi ayam atau tahi lembu. Polibeg anak benih kemudian dipotong dengan pisau dari sisinya dan dimasukkan ke dalam lubang tanaman. Tanah di bahagian pangkal pokok seboleh – bolehnya di tambak tinggi sedikit bagi mengelakkan takungan air di situ.

Sungkupan berupa sabut kelapa atau buah tandan kosong kelapa sawit ditabur pada pangkal pokok bagi mengurangan kehilangan air tanah. Kayu penyokong boleh digunakan bagi menegakkan anak benih yang baru ditanam. Siraman air adalah diperlukan selepas sahaja penanaman dijalankan. Bagi memastikan pertumbuhan pokok tumbuh lebih elok selepas ditanam, penanaman dicadangkan berlangsung semasa awal musim hujan.


Penjagaan Tanaman

1. Pembentukan Struktur Pokok

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
No. 11, Jalan Teknologi 3/6, Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my

Website: www.aarsb.com.my

Pokok mangga merupakan tanaman buah – buahan yang berhasil tinggi. Bagi memudahkan urusan membalut dan mengutip buah kelak, ketinggian pokok harus dikawal dengan cara mencantas cabang – cabang pokok supaya membentuk struktur pokok yang dikehendaki.

Selain itu, cantasan cabang atau dahan sebenarnya berbantu terhadap pertumbuhan, pembungaan dan pembuahan pokok. Didapati pokok yang dibentuk dengan sempurna biasanya mengeluarakan bunga dan buah yang lebih seragam di samping menghasilkan buah yang lebih bermutu.

Struktur pokok berbentuk ” tengah terbuka” (sistem TT) didapati adalah sistem yang sesuai untuk kebanyakan klon mangga. Terdapat dua sistem TT yang biasa digunakan iaitu sistem 139 dan sistem 136.

Sistem 139 bermauksud pokok mempunyai satu batang, 3 dahan utama (1°C) dan 9 dahan sekunder (2°C) manakala sistem 136 berbeza dari segi dahan sekunder sebanyak 6 batang dikekalkan. Baik sistem 139 mahupun sistem 136, mengekalkan 3 dahan utama pada pokok menjadikannya lebih seimbang.

Bagi mendapat bentuk pokok ‘tengah terbuka’, batang pokok dipotong pada ketinggian 0.7 – 1.0 m semasa pokok berumur 6 – 12 bulan di ladang dengan kira – kira 1 cm lebih tinggi dari buku ruas. 3 dahan yang lebih kurang sama jarak antara satu sama lain dikekalkan untuk membesar. Inilah cantasan asas yang penting untuk membentuk struktur pokok struktur pokok pada tahap permulaan.


Seterusnya, pembentukan pokok dijalankan pada dahan sekunder. Dalam sistem 139, sebanyak 3 dahan sekunder dibiarkan tumbuh pada setiap dahan utama manakala dalam sistem 136, hanya dua dahan sekunder dikekalkan dalam setiap dahan utamanya. Setiap dahan sekunder dibiarkan tumbuh sehingga mempunyai 2 buku ruas kemudian bahagian 1 cm dari buku ruas pemucukan dicantas demi menghasilkan dahan tertier (3°C).

Selanjutnya, 3 dahan tertier dikekalkan pada setiap dahan sekunder sehingga bertumbuh sepanjang satu pemukuan (15 – 30 cm panjang). Apabila dahan – dahan tertier ini dicantaskan, ranting – ranting untuk berbuah akan bertumbuh. Disyorkan bahawa 3 ranting untuk berbuah dikekalkan pada setiap dahan tertier.


Kerja pembentukan struktur pokok dijalankan dalam tempoh 3 – 4 tahun selepas pokok ditanam di ladang. Selepas jangka masa ini, pokok dalam sistem 136 harus mempunyai sekurang – kurangnya 54 ranting berbuah dan 81 ranting berbuah dalam sistem 139. Proses cantasan bahagian pokok juga termasuk pembuangan sulur air, dahan bersudut kecil dan bersilang, atau dahan yang patah malah yang diserangi penyakit.

Apabila buah sudah dipetik, ranting – ranting yang tertinggal harus dicantas di bahagian dua buku ruas dari tangkai buah. Langkah ini akan menjamin pengeluaran hasil buah yang seragam pada setiap tahun. Bagi mendapat hasil yang lebih tinggi lagi, cantasan ranting dibuat hampir ke tangkai buah. Bahagian pemotongan ranting biasanya akan tumbuh semula dengan ranting – ranting baru di tempat potangan yang sama.

Pembajaan

Dua jenis baja disyorkan untuk penanaman tanaman mangga. Salah satunya ialah baja organik yang disarankan pada kadar 10 kg/pokok/tahun bermula dari pokok berumur 1 8 tahun di ladang. Kadar ini ditingkatkan kepada 20 kg/pokok/tahun untuk pokok berumur 9 tahun dan ke atas.

Baja sebatian harus digunakan bagi memupuk pertumbuhan dan pembuahan pokok. Rumusan baja 15/15/15 atau 18/11/5/2.5 atau yang setanding adalah contoh baja sebatian yang sesuai untuk menggalak pertumbuhan manakala rumusan 12/12/17/2.5 atau 12/6/22/3 atau yang setanding adalah contoh baja yang sesuai untuk pengeluaran buah. Baja sebatian digunakan pada kadar 0.34 kg/pokok/tahun pada tahun pertama di ladang, kemudian ditambah kadarnya secara berperingkat sehingga 4.08 kg/pokok/tahun untuk pokok berumur 9 tahun dan ke atas.

Pembajaan dijalankan dengan cara menaburkannya di bawah kanopi pokok atau dalam bulatan merumput. Di kawasan yang menggunakan batas dan busut, pembajaan saku (menanam baja dalam lubang tanah sedalam 10 cm kemudian dikambus tanah) adalah lebih baik. Dari segi masa pembajaan, baja boleh ditabur lebih kerap iaitu 2 – 3 bulan sekali menjelang musim pembuahan dan dilambatkan kepada 4 bulan/kali selepas kutipan buah, 3 – 4 bulan kemudian dan sebelum berbunga.


Selain itu, pengekalan pH tanah antara 5.5 – 6.5 adalah penting untuk pertumbuhan dan penghasilan buah. Dolomit atau batu kapur adalah bahan yang sesuai untuk mengurangkan kemasaman tanah. Bagi tanah yang masam, penaburan bahan kapur pada kadar 25 kg/pokok/tahun dapat menyelaraskan nilai pH tanah tersebut. la setakat ditabur di bawah sudur pokok sudah memadai tetapi jangan pula terkena pangkal batang pokok.

Serupa dengan tanaman lain, pengairan merupakan aspek yang penting terhadap tanaman mangga supaya memupuk kadar pertumbuhan yang lebih baik. Bagi mengelakkan kematian pokok ekoran kekurangan kelembapan, pengairan berterusan selama tidak kurang 3 bulan adalah perlu. Pengairan yang mencukupi dapat menggalak pembuahan tanaman mangga terutama pengairan di musim kemarau dalam 3 tahun pertama penanaman.

Walaupun musim kering selama sebulan adalah diperlukan bagi mengaruh pembungaan tanaman mangga, pengairan harus dimulakan apabila 70% daripada putik buah (2 – 4 cm garispusat) sudah terbentuk dan pengairan dihentikan apabila buah mencapai saiz maksimum.

Didapati pengairan yang sempurna dapat meninggikan hasil buah sebanyak 10 – 30% di samping dapat mengurangan keguguran buah, malahan menambahkan saiz buah serta mempercepatkan kematangan buah sehingga 1 – 2 minggu.

Sehubungan itu, pengairan yang diberikan pada pokok semasa buah mencapai saiz maksimum dianggap membazir di samping mungkin melambatkan kematangannya malah mungkin juga menyebabkan buah rekah.


Pembalutan Buah

Buah mangga ketika bersaiz seperti telur ayam atau semasa 40 – 45 hari selepas berputik atau selepas peringkat keguguran putik buah yang paling tinggi harus dibalut dengan bahan pembalut seperti kertas suratkhabar atau bahan – bahan lain yang sesuai. Racun serangga dan racun kulat disemburi terlebih dahulu sebelum kerja membalut buah dimulakan.

Satu pembalut hanya digunakan untuk membalut sebiji buah supaya mengelakkan geseran antara buah pada satu tangkai yang sama. Sarung pembalut ini perlu juga ditandakan dengan warna berlainan untuk membezakan buah yang terbentuk secara berperingkat akibat pembungaan yang berperingkat. Tarikh pembungkusan harus juga dicatat agar dapat membuat jangkaan yang tepat ke atas buah yang akan matang untuk dipetik nanti. Kerja membalut buah walaupun memerlukan tenaga buruh yang lebih banyak, tetapi ia merupakan langkah kawalan kualiti buah yang diterima umum. Buah yang telah dibalut dapat mengelak daripada serangan serangga perosak seperti lalat buah di samping dapat meminimumkan penggunaan racun perosak serta mengurangkan sisa bahan kimia pada buah mangga.

 

Sumber Maklumat :

T. M. Tengku Ab. Malik, S. T. Chong, M. Ab. Ghani, P. Raveendranathan dan S. Ahmad Tarmizi, “Amalan Kultur” dalam Panduan Pernanaman Mangga, Penyunting, Tengku Ab. Malik Tengku Maamun et al., MARDI, 1996.

 

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Kimagri Corporation Sdn Bhd
PT 23081, Kawasan Perindustrian Tungzen, 31300 Kampung Kepayang, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com

Website: www.kimagri.com

Sila kongsi kepada kawan :