You are currently viewing Ekonomi Pengeluaran Cili Merah Secara Fertigasi Di Malaysia

Ekonomi Pengeluaran Cili Merah Secara Fertigasi Di Malaysia

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
No.5, Jalan TP2, Taman Perindustrian Sime UEP, 47600 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350

Website: www.behnmeyer.com

Pengenalan

Cili merah atau nama saintifiknya Capsicum sp. adalah sejenis sayuran berbuah daripada famili Solanaceae (Pickersgill 1997). Cili merah adalah sejenis tanaman yang tumbuh menegak, berakar tunjang, batang bercabang berwarna hijau (buku batang berwarna hijau atau ungu bergantung kepada kultivar cili merah), dan daun berwarna hijau muda ke hijau tua dan berbentuk oval lebar (saiz daun bergantung kepada kultivar). Bunga cili merah berkelopak lima dengan berwarna putih tumbuh keluar dari ketiak dan daun berbentuk loket. Buah pula berbentuk tirus memanjang.

Cili merah digunakan secara meluas sebagai perasa masakan dan makanan (Mazourek et al. 2009). Ia terdiri daripada pelbagai spesies dan varieti. Di Malaysia,terdapat dua jenis cili iaitu cili merah/ besar dan cili kecil atau dikenali sebagai cili padi yang ditanam secara komersial. Antara varieti cili merah yang menjadi pilihan pengusaha ialah Kulai 469, Kulai 461, Kulai 151, Kulai 223 dan Kulai 568 manakala cili padi yang popular dalam kalangan pengusaha ialah cili padi centel dan bara. Di Malaysia, kebanyakan cili merah ditanam secara komersial di tanah rendah. Terdapat dua cara penanaman cili merah yang dijalankan di Malaysia iaitu kaedah konvensional dan sistem fertigasi (Yaseer Suhaimi et al. 2012). Manakala sistem fertigasi pula terbahagi kepada dua iaitu penanaman cili merah secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan dan fertigasi terbuka.

Peranan sektor pertanian dalam pertumbuhan ekonomi negara membangun adalah penting bagi menyumbang kepada pendapatan negara (Hayami dan Ruttan 1995; Nya et al. 2010; Piya et al. 2012). Penggunaan teknologi juga penting dalam meningkatkan hasil dan pendapatan petani serta pertumbuhan sektor pertanian. Teknologi penanaman secara fertigasi telah terbukti memberi kesan yang baik kepada tanaman.

Teknologi ini juga semakin menjadi tumpuan usahawan dan pengusaha tani. Penanaman cili secara fertigasi telah terbukti terbukti berkesan berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman cili merah 3 – 4 kali ganda berbanding dengan kaedah konvensional. Sistem fertigasi dapat memaksimumkan penggunaan tanah yang terhad untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil tanaman.

Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak terus ke akar pokok. Sistem fertigasi juga ialah satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelak penyakit bawaan tanah (soil borne disease) seperti pitium serta mampu meningkatkan hasil tanaman (Burrage 1992). Teknologi fertigasi telah terbukti meningkatkan hasil tanaman seperti cili, terung dan rockmelon (Verdonck et al. 1983; De Rijck dan Schreven 1998). Aplikasi teknologi fertigasi dalam tanaman cili merah dapat meningkatkan hasil dan memudahkan pengurusan tanaman. Di Malaysia, penanaman cili merah secara fertigasi dijalankan di bawah struktur pelindung hujan dan secara fertigasi terbuka (Yaseer Suhaimi et al. 2012). Kedua-dua cara penanaman ini mempunyai kebaikan dan kelemahan daripada aspek pengurusan agronomi dan ekonomi. Justeru, kajian ini dijalankan bagi membandingkan nilai ekonomi pengeluaran cili merah secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan (SPH), fertigasi terbuka dan kaedah konvensional.

Metodologi

Kajian tertumpu pada perbandingan daripada segi faedah, kos dan pendapatan antara antara kaedah penanaman cili merah secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan dan sistem fertigasi terbuka serta kaedah konvensional. Penilaian terhadap ketiga-tiga kaedah penanaman ini juga akan dilakukan bagi melihat daya maju teknologi ini serta kesesuaian teknologi ini untuk diguna pakai oleh usahawan tani dan petani bagi meningkatkan hasil pengeluaran cili merah. Pengumpulan data sekunder bagi pengeluaran cili merah secara fertigasi melibatkan 32 usahawan yang menjalankan penanaman di bawah struktur pelindung hujan, 40 usahawan yang menjalankan penanaman secara fertigasi terbuka dan 33 dan 33 pengusaha cili merah konvensional di negeri Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Data diperoleh daripada plot projek perintis di bawah MARDI dan Jabatan Pertanian. Pengumpulan data dilakukan selama satu tahun bermula 2014 sehingga 2015. Analisis yang dijalankan melibatkan analisis kos dan pendapatan serta analisis daya maju yang akan dibuat melalui carta aliran tunai yang dibina untuk tempoh 10 tahun.

Data yang diperoleh digunakan bagi menyediakan aliran tunai dan seterusnya analisis kewangan dilakukan bagi membandingkan kedua-dua sistem tanaman ini melalui nilai kini bersih (NPV), kadar pulangan dalaman (IRR), nisbah faedah kos (BCR), keuntungan ke atas pelaburan, tempoh pulangan modal dan purata keuntungan tahunan.

Belanjawan separa merupakan kaedah analisis yang diguna pakai bagi menilai pilihan yang tepat jika terdapat dua pilihan pada satu masa. Dalam kajian ini, terdapat dua pilihan alternatif bagi penanam cili merah iaitu sistem penanaman cili merah secara fertigasi dan kaedah penanaman secara konvensional. Mengikut Ronald et al. (2011), data kos dan hasil digunakan bagi menganalisis perbezaan nilai antara kos dengan hasil bagi kedua-dua alternatif.

Analisis belanjawan separa digunakan dalam membandingkan teknologi fertigasi dan konvensional dalam penanaman cili merah serta perbandingan antara faedah dan implikasi. Dua faktor utama yang dinilai ialah tambahan hasil dan kos serta pengurangan kos dan hasil. Sebagai contoh, dalam kajian ini, jika nilai implikasi teknologi fertigasi lebih tinggi berbanding dengan nilai faedah, maka kaedah ini tidak disarankan kepada usahawan atau sebaliknya.

Keputusan dan perbincangan

Kos pengeluaran

Kos pengeluaran projek terbahagi kepada dua iaitu kos tetap atau modal dan kos berubah. Kos tetap merupakan kos pembangunan yang digunakan sebagai modal untuk membangunkan ladang. Kos tetap yang terlibat di dalam pembangunan ladang adalah infrastruktur seperti sistem pengairan dan struktur pelindung hujan yang digunakan bagi menjalankan penanaman cili merah secara fertigasi di tanah rendah. Manakala kos berubah melibatkan perbelanjaan yang berubah mengikut skala pengeluaran antaranya ialah kos buruh, bahan tanaman, baja, racun dan utiliti.

Dua infrastruktur utama yang diperlukan dalam penanaman cili merah secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan ialah sistem pengairan fertigasi dan struktur pelindung hujan itu sendiri. Manakala penanaman secara fertigasi terbuka melibatkan pemasangan sistem pengairan fertigasi sebagai infrastruktur utama. Kos pembangunan bagi projek penanaman cili merah di bawah struktur pelindung dengan keluasan sehektar ialah RM270,000 daripada kos keseluruhan berbanding dengan kos pembangunan projek fertigasi terbuka bagi keluasan yang sama ialah RM50,000 (Jadual 1). Kos pembangunan bagi projek penanaman cili merah di bawah SPH ialah 5.4 kali ganda tinggi berbanding dengan kaedah fertigasi terbuka bagi kawasan seluas satu hektar. Kos input, buruh dan kos lain adalah hampir sama untuk kedua-dua sistem penanaman secara fertigasi. Penanaman secara fertigasi boleh diautomasikan serta dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh berbanding dengan kaedah penanaman secara konvensional.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
No. 11, Jalan Teknologi 3/6, Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my

Website: www.aarsb.com.my

Hasil dan pendapatan

Jadual 2 menunjukkan perbandingan hasil per hektar antara penanaman menggunakan SPH dan sistem fertigasi terbuka bagi tanaman cili merah untuk semusim. Bagi penanaman cili merah fertigasi di bawah SPH hanya dapat menampung 7,920 pokok berbanding penanaman cili merah fertigasi terbuka dapat memuatkan sebanyak 9,000 pokok bagi kawasan seluas 1 hektar. Purata hasil bagi penanaman cili merah ialah 27,720 kg dan 22,500 kg, masing-masing untuk penanaman di bawah SPH dan fertigasi terbuka semusim. Walaupun bilangan pokok cili merah yang dapat ditanam di bawah SPH terhad, tanaman di bawah SPH memberikan hasil yang lebih berbanding dengan tanaman fertigasi terbuka. Purata hasil sepokok bagi tanaman cili merah di bawah SPH ialah 3.5 kg berbanding dengan 2.5 kg untuk tanaman cili merah fertigasi terbuka. Ini kerana tanaman cili merah di bawah SPH dapat mengurangkan serangan serangga perosak dan penyakit, terutama apabila musim hujan. Kos pengeluaran cili merah bagi sistem fertigasi di bawah SPH ialah RM36,446 dan RM37,085 untuk fertigasi terbuka semusim. Manakala purata harga ladang bagi tahun 2014 ialah RM5.00 sekilogram untuk cili merah. Pengusaha yang menggunakan sistem fertigasi ini mampu memperoleh purata pendapatan bersih sebanyak RM102,154 bagi penanaman di bawah SPH dan RM75,415 bagi fertigasi terbuka untuk semusim.

Analisis daya maju

Analisis daya maju dibuat bagi menilai potensi kedua-dua kaedah ini berdasarkan aliran kewangan (Jadual 3). Walaupun kos pembangunan tinggi, tempoh pulang modal bagi penanaman cili merah secara fertigasi lebih singkat iaitu tiga tahun. Jika nisbah kos faedah dibandingkan, pengusaha yang menggunakan struktur pelindung hujan mampu memperoleh RM1.92 bagi setiap RM1.00 yang dilaburkan dan RM1.86 untuk fertigasi terbuka. Manakala penanaman cili merah secara konvensional mampu mendapat RM1.59 bagi setiap RM1.00 yang dilaburkan. Penanaman secara fertigasi lebih menguntungkan berbanding dengan kaedah konvensional. Hasil analisis daya maju menunjukkan dalam jangka masa panjang, penggunaan teknologi fertigasi dalam pengeluaran cili merah lebih berdaya maju kerana infrastruktur seperti struktur pelindung hujan dan sistem pengairan fertigasi boleh digunakan untuk jangka masa yang lama dengan penyelenggaraan berkala oleh pengusaha. Perbandingan petunjuk daya maju bagi ketiga-tiga sistem pengeluaran cili merah menunjukkan sistem teknologi penanaman cili merah secara fertigasi terbuka mempunyai nilai petunjuk yang lebih tinggi berbanding dengan sistem yang lain.

Analisis belanjawan separa

Analisis belanjawan separa menunjukkan nilai faedah yang diperoleh lebih tinggi berbanding dengan jumlah implikasi bagi penanaman cili merah secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan (+RM50,400) dan fertigasi terbuka (+RM218,200) (Jadual 4). Justeru, peralihan kaedah konvensional kepada teknologi penanaman cili merah secara fertigasi sama ada menggunakan struktur pelindung hujan atau secara terbuka disarankan kepada pengusaha tani. Analisis belanjawan separa juga menunjukkan bahawa penanaman cili merah menggunakan sistem fertigasi terbuka memberikan jumlah faedah yang lebih besar.

Penerangan teknologi

Teknologi fertigasi merupakan sistem penanaman tanpa tanah. Tujuan asal kaedah ini digunakan adalah untuk mengelakkan penyakit bawaan tanah yang sering menyerang bahagian akar tanaman (Whipps 1992; Yaseer Suhaimi et al. 2012). Dalam sistem fertigasi medium tanaman seperti cocopeat, perlite dan sekam padi bakar digunakan bagi menggantikan tanah. Medium tanaman diisi ke dalam polibeg mengikut saiz yang bersesuaian. Pengairan dan pembajaan dilakukan serentak terus kepada akar tanaman (Mahamud et al. 2012). Sistem fertigasi dapat meningkatkan hasil tanaman serta menjimatkan penggunaan baja. Baja diberikan dalam bentuk larutan mengikut formulasi jenis tanaman dan pengagihan larutan kepada tanaman diberikan mengikut tahap pembesaran dan keperluan tanaman. Teknologi fertigasi dapat menjimatkan kos pengeluaran dan tidak melibatkan kos-kos penyediaan tanah, merumput, menabur baja berbanding dengan kaedah konvensional. Sistem fertigasi boleh diautomasikan dengan menggunakan jangka masa (timer) serta dapat mengurangkan tenaga buruh.

Di Malaysia, teknologi penanaman cili merah secara fertigasi dijalankan secara dua sistem iaitu penanaman cili merah secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan dan secara fertigasi terbuka tanpa menggunakan struktur pelindung hujan (SPH). Sistem pengairan fertigasi bagi kedua-dua sistem adalah sama. Penanaman cili merah secara fertigasi secara terbuka lebih diminati oleh usahawan tani kerana kos permulaan yang rendah berbanding dengan penanaman cili merah fertigasi di bawah SPH. Walau bagaimanapun, penanaman cili merah secara fertigasi di bawah SPH dapat meminimumkan penggunaan racun bagi kawalan penyakit dan serangga perosak. Kelebihan utama penanaman cili merah di bawah SPH adalah penanaman dapat dijalankan secara berterusan tanpa gangguan cuaca seperti musim hujan.

Teknologi penanaman cili merah secara fertigasi dapat digunakan untuk pengeluaran cili besar dan cili padi. Teknologi penanaman cili secara fertigasi bukan sahaja dapat dijalankan di kawasan yang sama secara berulang-ulang bahkan memberikan hasil 2 – 3 kali ganda berbanding dengan kaedah penanaman secara konvensional. Pengeluaran hasil yang tinggi ini dapat mengimbangi kos pembangunan atau permulaan yang tinggi. Purata hasil tanaman fertigasi sehingga 3.5 kg bagi setiap polibeg bagi pengeluaran cili merah mengambil masa enam bulan, bulan, manakala hasil pengeluaran cili secara konvensional ialah 1.5 kg dengan jangka hayat yang sama (Yaseer Suhaimi et al. 2012). Penanaman di bawah SPH memberikan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan di lapangan terbuka (Tribhuwan Singh et al. 2014). Walau bagaimanapun, hasil yang tinggi tidak hanya bergantung pada kawasan penanaman yang luas, tetapi pada potensi hasil yang mungkin akibat daripada penggunaan sistem penanaman yang lebih baik termasuk bahan tanaman dan amalan pengurusan yang baik (Sanyang et al. 2008). Teknologi ini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan petani dan usahawan tani meskipun pelaburan permulaan yang tinggi jika dibandingkan dengan kaedah konvensional. Pengeluaran hasil tanaman yang tinggi dapat mengimbangi kos permulaan atau pembangunan yang tinggi. Tiada teknologi tanpa mengambil kira kemantapan ekologi dan ekonomi akan memberi kesan kepada produktiviti dan pendapatan melainkan jika ia diterima pakai oleh sebahagian besar petani (Damisa et al. 2008). Tambahan pula, penggunaan inovasi teknikal oleh petani juga memerlukan maklumat yang tepat dan terperinci mengenai kos dan pulangan (Das et al. 2010). Inovasi dan teknologi baru penting dalam meningkatkan hasil pertanian dan daya saing dalam jangka masa panjang (Rosnani et al. 2015).

Peningkatan hasil tanaman cili merah secara fertigasi dapat mengurangkan kebergantungan komoditi ini kepada import sekali gus dapat mengurangkan nilai import sayur cili merah negara serta membuka peluang kepada usahawan untuk meneroka peluang produk pemprosesan berasaskan cili merah seperti pes, sos, puri dan produkproduk lain (Russell 2013; Siti Mazlina et al. 2014). Penggunaan teknologi fertigasi ini dapat memastikan pengeluaran cili merah secara berterusan bagi tujuan pemprosesan produk hiliran dan dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada pengusaha dengan produk yang ditambah nilai.

Rumusan

Secara keseluruhannya, penanaman cili merah secara fertigasi terbukti dapat meningkatkan hasil dan pendapatan petani dan pengusaha berbanding dengan kaedah konvensional. Kos atau modal permulaan yang tinggi dapat diimbangi dengan hasil pengeluaran yang tinggi. Peningkatan hasil yang ketara 2 – 3 kali ganda berbanding dengan kaedah konvensional mampu memberikan pendapatan bersih yang tinggi kepada pengusaha. Pelaburan permulaan yang tinggi bagi tujuan pembinaan struktur pelindung hujan dan sistem pengairan fertigasi merencatkan penggunaan teknologi fertigasi dalam kalangan pengusaha tanaman cili merah. Walau bagaimanapun, analisis belanjawan separa menunjukkan bahawa teknologi ini boleh menjadi pilihan alternatif yang sesuai untuk diguna pakai oleh petani kerana mampu memberi pulangan yang lebih tinggi daripada kaedah konvensional. Jika dinilai dari segi kelestarian alam sekitar, teknologi ini lebih mesra alam serta selaras dengan agenda pertanian masa kini iaitu amalan pembangunan pertanian lestari.

Sumber maklumat :

Yaseer Suhaimi Mohd et al., Economic and Technology Management Review, 2016.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Sila kongsi kepada kawan :