You are currently viewing Sistem Penanaman Durian

Sistem Penanaman Durian

Pada masa kini, durian cantuman lebih banyak digunakan sebagai bahan tanaman. Durian cantuman mempunyai saiz pokok yang lebih kecil termasuk puncak pokok yang lebih kecil dan pelepah yang lebih pendek berbanding degan pokok durian kampung. Oleh itu pemilihan jarak tanaman yang lebih kecil sudah memadai supaya membanyakkan jumlah pokok per hektar. Dalam keadaan ini, maka dicadangkan pokok durian ditanam mengikut sistem segi empat pada jarak 10m x 10m atau 12m x 12m untuk penampungan 100 atau 69 pokok/hektar.

Di kawasan yang cerunnya melebihi 20%, teres perlu dibina mengikut kontor manakala bagi kawasan yang landai, tapak gajah atau platform dibina dengan meratakan tapak tanaman seluas anggaran 2m x 2m dan pokok ditanamkan di situ. Bagi setiap dua barisan pokok, sebuah teres perlu dibina untuk pergerakan jentera semasa penyemburan racun, pembajaan dan pengutipan hasil.

Lubang tanaman digali mengikut ukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m dan diperbesarkan kepada 1m x 1m x1m jika kawasan tersebut adalah kurang subur, bertanah liat atau berbatu. Lubang tanaman seelok-eloknya didedahkan kepada cahaya matahari kira-kira sebulan sebelum penanaman.

Anak benih yang hendak ditanam di ladang terlebih dahulu dilasakkan secara mengurangkan naungan kepada 25% dan kekerapan penyiraman dikurangkan kepada sekali sehari. Selepas tempoh pelasakan, anak benih yang segar dipilih untuk ditanam di ladang.

Lubang tanaman hendaklah dirawat dengan mencampurkan tahi ayam atau bahan buangan kilang sawit (POME) sebanyak 10kg/lubang. Kemudian sebanyak 200g batu magnesium terkisar juga dicampurkan untuk meningkatkan nilai pH tanah serta memasukkan 200g baja fosfat (TSP) bagi menggalak akar. Kesemua bahan ini dicampurkan dengan rata dan kemudian satu lubang kecil dibuat di tengah lubang besar untuk memuatkan anak benih. Anak benih ditimbus dengan cermat dan tanah sekeliling anak benih ditinggikan menjadi busut kecil bagi mengelakkan takungan air berlaku selepas tanah di situ mengalami pemendapan.


Anak benih yang baru ditanam di ladang sehingga berumur satu tahun hendaklah diberikan naungan seperti daun kelapa, daun kelapa sawit, daun nipah atau bakul sayur-sayuran. Anak benih yang tidak diberikan naungan berkemungkinan akan mati di bawah pancaran matahari yang terik. Naungan juga boleh diberikan secara menanam pokok kontan khususnya pisang di empat penjuru anak benih kira-kira 2m dari anak benih durian.