You are currently viewing Buah Sukun Semakin Popular Di Arena Global

Buah Sukun Semakin Popular Di Arena Global

Buah sukun (breadfruit) atau nama saintifik Artocarpus altitis menjadi semakin penting di dunia hari ini kerana ia berpotensi menjadi makanan ruji di negara-negara Afrika, Benua Amerika, Asia Selatan, Asia Tenggara dan juga kawasan Carribean. Buah sukun sama keluarga dan genus dengan buah nangka dan cempedak tetapi berlainan spesies.


Tanaman sukun sudah lama wujud di alam ini. Sejarahnya boleh dirujuk balik ke 3,000 4,000 tahun lalu apabila ia mula disebarkan dari New Guinea ke Melanesia, Micronesia, Polynesia dan Kepulauan Hawaii. Di Hawaii, tanamn ini digelar “Ulu” iaitu bersamaan dengan makna “breadfruit” dalam bahasanya. Menjalang tahun 2050 penduduk dunia akan bertambah lagi 3 bilion orang dan pada masa itu, penampungan jumlah keseluruhan 9 bilion orang penduduk sedunia memerlukan peningkatan makanan sebanyak 70%. Buah sukun justeru itu diikhtiarkan untuk menjadi salah satu alternatif tersebut.

Pada 30 – 40 tahun lalu, tanaman sukun di Hawaii mengalami pengurangan yang serius akibat urbanisasi serta penduduk semakin kabur mengenai kaedah penanaman dan pengendalian buah sukun. Namun begitu, pada tahun-tahun kebekangan ini ia menjadi popular kembali kerana penduduk kini lebih mementingkan makanan tradisonal yang berkhasiat.

Pemasak di restoran di Hawaii banyak terlibat dalam memperkenalkan hidangan makanan beasaskan buah sukun. Selain itu, buah sukun boleh digunakan dalam rebusan, digoreng, dipanggang, pencuci mulut serta dijadikan kerepek serta pelbagai masakan. Inilah di antara faktor-faktor yang meningkatkan minat para pengguna semasa. Yang penting ialah kandungan karbohidrat di dalam buah sukun sehingga 50 % menyatakan ia adalah buah-buahan yang berpotensi untuk menjadi makanan ruji kepada negara-negara yang masih menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan.


la juga kaya dengan serat, zat besi. Kalsium, kalium, magnesium, thiamin dan niacin. la boleh diproses menjadi tepung sukun bagi menggantikan tepung gandum. Memandangkan kandungan serat yang tinggi, indek glycemic (iaitu indek yang mengukur kepantasan karbohidrat ditukar menjadi glukos dalam badan) adalah sederhana sahaja berbanding dengan beras putih, roti putih dan juga kentang. Ini bermakna ia lebih mesra alam terhadap pengidap penyakit kencing manis berbading beras putih.

Pokok sukun juga ada tanam di Malaysia tetapi dengan keluasan yang agak rendah dalam anggaran beberapa ratus hektar sahaja. Ia sejenis tumbuhan tropika yang sesuai untuk hidup di Malaysia. Pokok sukun dewasa akan mencapai ketinggian 20 meter. Justeru itu tanaman ini hendaklah dipangkas pada ketinggian maksimum 15 – 18 kaki agar kutipan hasil tidak menjadi begitu sukar.

Pokok berumur 2-3 tahun mula dipangkas dan amalan ini dijalankan setiap tahun supaya dahan tidak begitu besar yang akan menyukarkan kerja-kerja pangkasan. Bagi menampung pokok sukun yang agak bersaiz besar ini, jarak tanaman 10 x 10 meter meter memuatkan 40 pokok/ekar diperlukan. Jika jarak yang lebih dekat diambil, umpamanya 8 x 8 meter atau 8 x 10 meter dengan penampungan 59 pokok dan 47 pokok/ekar masing-masing, maka langkah perlu diambil bagi memastikan pokok dapat menerima pancaran cahaya yang mencukupi.

Pokok sukun belum matang iaitu sebelum 3 tahun juga perlu dijaga dari segi keperluan nutrien. Sebelum pokok mencapai umur 1 1⁄2 tahun, baja sebatian 12/24/12 digunakan antara 125g 200g/pokok serta baja organik dengan kadar antara 2 kg-3 kg/pokok ditabur setiap 3 bulan. Mulai umur 1 1⁄2 tahun sehingga 3 tahun, baja sebatian yang sama antara 200g – 400g/pokok digunakan setiap 6 bulan. Baja organik 4 kg/pokok ditabur semasa pokok berumur 1 1/2 tahun.


Bagi pokok berumur 3 – 5 tahun, baja sebatian rumusan 13/13/21 pada kadar 0.8 – 1.4kg/pokok ditabur serta penggunaan triple superphosphate 0.25kg dan urea 0.5kg/pokok dipecahkan kepada beberapa pusingan dalam setahun. Pokok berumur 6-10 tahun dan melebihi 10 tahun tetap menggunakan baja sebatian yang sama tetapi masing-masing meningkatkan kadarnya kepada 1.6-2kg/pokok dan 2.0kg/pokok. Urea dan triple superphosphate tetap sama seperti dulu.

Pengeluaran hasil bermula selepas 3 tahun ditanam. Hasil akan meningkat mengikut umur pokok. Hasil buah sukun bagi pokok berumur 3-4 tahun ialah dalam lingkungan 50-100 biji/pokok/tahun (100-200kg), pokok berumur 5-8 tahun dalam lingkungan 150-200 biji/pokok/tahun (225 – 300kg), pokok berumur 9-10 tahun pula dalam lingkungan 200-250 biji/pokok/tahun (300-375kg) dan pokok berumur 10 tahun ke atas dalam lingkungan 250 biji/pokok/tahun (375kg). Buah sukun biasanya akan mula tumbuh di bahagian kanopi atas sekali kerana bahagian itu menerima pancaran matahari yang lebih baik daripada buah di aras lebih rendah.

 

Buah sukun akan matang apabila mencapai umur 16-20 minggu dikira dari peringkat putik buah. Walaupun buahnya boleh dimakan dalam sebarang peringkat tetapi biasanya buah yang matang memberi cita rasa yang lebih tinggi. Di peringkat umur 14 minggu, buahnya telah terbentuk ke saiz maksimum tetapi isinya belum masak. Ramai penanam mengutip buah di peringkat ini untuk tujuan makan secara rebus. Buah yang betul-betul masak mempunyai warna kulit kekuningan serta beraroma. Pokok sukun walaupun tidak bermusim tetapi kebiasaan akan berbuah dalam 2 musim utama setiap setahun dengan satu musim puncak dan satu musim kecil.

Hayat ekonomi pokok ini dijangka dalam tempoh 50 tahun. Dalam aspek pembiakan, ia sesuai dibiak melalui keratan akar, cantuman dan juga tut. Untuk kaedah cantuman, pokok tarap biasanya digunakan sebagai pokok penanti dan sion dari pokok sukun kemudian dicantumkan pada pokok penanti. Kaedah pembiakan tisu kultur juga digunakan dalam pengeluaran bahan tanaman dengan banyak bagi menampung keperluan penanaman. Bunga betina dan jantan tumbuh berasingan tetapi pada pokok yang sama. Oleh itu proses pendebungaan sama ada oleh angin atau serangga kelihatan tidak sukar untuk dijayakan.

Buah sukun biasanya bersaiz antara 1-3 kg. Terdapat 2 jenis sukun iaitu yang berbiji serta yang tidak berbiji. Namun spesies tidak berbiji adalah lebih popular. Sukun berbiji seakan sama dengan Artoparcus camansi (breadnut) tetapi spesies ini telah dikategorikan sebagai spesies yang berlainan daripada pokok sukun kerana terdapat perbezaan dari segi morfologi tanaman.

1,2,3,4,5,6,7,8,9,10,11,12,13 – Pokok sukun dan pengeluaran buah. Buah sukun boleh digunakan untuk membuat pelbagai jenis makanan yang enak.

Buah sukun juga rentan terhadap serangan penyakit terutama reput buah akibat serangan kulat Glomerella cingulata dan Phytophthora palmivora (penyakit cerana) cerana) yang akan merosakkan buah. Kedua-dua penyakit ini akan merebak ke semua dahan dan menyebabkan kematian pokok. Kulat tersebut disebar oleh air dan hujan. Racun kulat boleh digunakan untuk mengawal serangan.

Selain itu, pokok juga menghadapi risiko mati rosot iaitu penguningan daun dan pengguguran daun dengan kadar yang banyak, dahan muda akan layu dan merebak sehingga ke seluruhan pokok kemudian pokok akan mati. Penyakit ini akan mematikan pokok dalam masa 6 bulan – 2 tahun. Penjagaan kebersihan ladang serta mengelakkan pangkal batang terlalu basah dapat mengurangkan gejala serangan. Untuk kawalan, racun kulat boleh digunakan. Masalah reput akar juga salah satu penyakit utama pokok sukun yang mana kerosakan akar akan berlaku selepas diserangi kulat yang dikenali Rosellinia sp. Racun kulat boleh mengawal penyakit ini selain penjagaan kebersihan ladang.

Pokok sukun sejenis tanaman yang mempunyai cecair getah di semua bahagian. Kutipan hasil melalui pemotongan tangkai buah juga menyebabkan getah mengalir. Oleh yng demikian, selepas pemotongan tangkai, buah sukun diletakkan menghala ke bawah bagi menutup aliran getah di tangkai samping juga mengelakkan buah terkena getah dan meringankan pembersihan buah.

 

Sumber maklumat :

1. Craig Elevitch et al., Breadfruit Production Guide, National Tropical Botanical Garden, 2014 (2nd edition).
2. Laura B. Roberts-Nkrumah, Breadfruit and Breadnut Orchard Establishment and Management, Food and Agriculture Organization of the United Nations, 2015.

Hantar blog ini kepada :