You are currently viewing Menanam Cili Secara Fertigasi Terbuka

Menanam Cili Secara Fertigasi Terbuka

  • Post category:Artikel / Cili

Teknologi fertigasi dalam penanaman pelbagai tanaman kontan bukan perkara baru sebaliknya sudah lama diamalkan oleh pengusaha tanaman di seluruh dunia. Di Malaysia, sistem ini sudah digunakan ke atas banyak tanaman terutamanya cili, melon wangi dan juga tomato. Didapati bahawa hasil tanaman tersebut telah meningkat sehingga 3 – 5 kali ganda jika dibandingkan dengan sistem penanaman konvesional atas tanah.


Bagaimanapun, disebabkan oleh kos pembangunan yang agak tinggi di peringkat permulaan, maka sistem fertigasi tidak dapat diterapkan oleh mereka yang tidak cukup modal. Fertigasi berstruktur pelindung hujan adalah sistem terbaik jika ingin menerapkan kaedah penanaman ini. Memandangkan kos pembinaan yang tinggi, maka alternatif lain ialah penggunaan sistem fertigasi secara terbuka, iaitu tanpa struktur pelindung hujan.

 

Perbezaan utama di antara kedua-dua kaedah ini yang memakai teknologi sama ialah di bawah sistem fertigasi terbuka, ancaman perosak serangga tetap wujud sebagaimana berlaku dalam penanaman konvensional yang bercucuk tanam di tanah. Tambahan air hujan masam serta hentakannya ke atas daun tanaman juga memberi kesan negatif.

Walaupun begitu, berbanding dengan sistem penanaman konvensional, fertigasi secara terbuka tetap mempunyai banyak kelebihan. Dari aspek penanaman cili yang merupakan tumpuan artikel ini, kelebihan ini termasuklah pencegahan ancaman perosak cili daripada tanah khususnya nematod serta pelbagai penyakit berkenaan dengan tanah seperti penyakit reput pangkal, Hawar Phytophthora, Layu Fusarium, layu bakteria dan akar tongkol/akar puru. Ini kerana tanah tidak digunakan sebagai medium tanaman sebaliknya digantikan 100% dengan sabut kelapa proses iaitu coco peat.


Selain itu, agihan baja dan air yang sama rata kepada semua pokok cili fertigasi melalui pengatur masa automatik memberi banyak manfaat kepada pengusaha tanaman dari segi penjimatan masa, baja dan air serta tenaga buruh. Secara keseluruhan kerja ladang fertigasi bertambah cekap dan teratur selanjutnya dapat mengurangkan kos operasi, meningkatkan produktiviti dan kualiti cili.

Menurut hasil kajian oleh MARDI, satu ekar tanah yang menerapkan sistem fertigasi terbuka dapat memuatkan 3,000 4,000 polibeg yang ditanami dengan pokok cili. Pengusaha tanaman hendaklah menentukan kaltivar cili yang ingin ditanam dengan berdasarkan permintaan pasaran. Beberapa kaltivar cili besar atau merah yang disyorkan ialah hibrid F1 seperti Kulai 469, Kulai 568, Kulai 151, Kulai 223 dan Kulai 3000 (abang pedas). Bagi cili padi pula, kaltivar yang disyorkan ialah cili padi centel dan bara. Kesemua bahan tanaman ini boleh dibeli dari Pusat Pengeluaran Bahan Tanaman MARDI.

Biji benih terlebih dahulu dikultur dalam dulang semaian berpetak yang telah dimasukkan medium peat moss. Selepas menyemai biji benih selama 5 – 7 hari, ia akan bercambah. Apabila anak benih berumur 18 – 21 hari, ia boleh dipindahkan ke dalam polibeg yang telah dimasukkan coco peat serta dipasang segala peralatan fertigasi. Kepekatan baja yang disalurkan kepada setiap anak benih atau pokok dapat diukur dengan menggunakan meter konduktiviti eletronik. Pancang sokongan perlu dibuat untuk menyokong pokok yang akan matang nanti supaya tidak tumbang.

Amalan kawalan perosak dan penyakit tetap wajib dijalankan dalam sistem fertigasi terbuka menurut kekerapan yang munasabah. Selepas 2 – 3 minggu ditanam, tunas air iaitu cabang sampingan daripada cabang utama pokok-pokok cili merah hendaklah dipangkas kesemuanya supaya aliran nutrien dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk tumbesaran dan pembuahan pokok. Bagi cili padi pula, 3 – 5 tunas air disimpan untuk meningkatkan hasil cili.

Kutipan Hasil

75 hari selepas mengubah, cili merah boleh mula dikutip hasil secara selang 3 hari di peringkat awal dan kutipan setiap hari di peringkat puncak. Bagi cili padi pula, tuaian hasil kali pertama bermula pada 90 hari selepas mengubah. Untuk memastikan modal dapat dipulangkan pada masa yang singkat, hasil minimum yang perlu dikutip ialah 2.5kg/pokok bagi cili merah dan 1.5kg/pokok bagi cili padi. Hasil lebihan daripada paras ini merupakan keuntungan kasar kepada pengusaha tanaman.

Jangka hayat ekonomi pokok cili adalah 180 hari. Dengan kata lain, ia mempunyai tempoh kutipan hasil lebih kurang 100 hari. Pengusaha tanaman dapat meraih pulangan menggalakkan jika tanaman dijaga dengan baik dan subur belaka melalui amalan termasuk kawalan perosak dan penyakit yang rapi.

Sesampai penghujung hayat ekonomi pokok maka pengusaha tanaman boleh membuat keputusan sama ada menerus atau menamatkan penanaman ini dengan mengambil kira beberapa aspek seperti harga pasaran cili, tahap kesuburan pokok serta tahap jangkitan penyakit. Jika keputusan diambil untuk menamatkan penanaman, maka segala buah cili merah dan hijau di atas pokok dipetik dan pokok bersama akar dicabut kemudian dimusnahkan kesemuanya.

 

Rujukan :

1. Yaseer Suhaimi Mohd dan Mohamad Abd. Manas, “Penanaman Cili Secara Fertigasi Terbuka”, Agromedia, bil. 40, 1/2013. MARDI.

2. Mahamud Shahid et al., Manual Teknologi Fertigasi Penanaman Cili, Rockmelon Dan Tomato, MARDI, 2009.

3. M.N. Mohamad Roff et al., Penyakit Utama Sayur-Sayuran Di Malaysia, MARDI,2011.

 

Hantar blog ini kepada :