Cili berasal dari Amerika Latin dan tergolong dalam famili Solanaceae dan genus Capsicum. Sebanyak 27 spesis Capsicum telah dikenal pasti dan didomestikasikan ke dalam 5 spesis utama, iaitu C. annuum L., C. frutescens L., C. chinense Jacq., C. pubescens Ruiz and Pavon dan C. baccatum L.
Di malaysia, hanya 2 spesis cili yang memainkan peranan, iaitu spesis C. annuum dan C. frutescens yang mana spesis pertama itu adalah yang terpenting. Cili pedas amnya ditanam di tanah rendah manakala cili tidak pedas bell pepper (Capsicum annuum var grossum) ditanam di Cameron Highlands kerana sifatnya yang lebih sesuai dengan iklim sederhana. Terdapat satu spesis lagi yang ditanami dalam negara, iaitu C. chinense yang merupakan salah satu jenis cili terpedas setakat ini. Spesis ini amnya ditanam sebagai pokok hiasan dalam negara manakala di tempat lain, ia ditanami untuk mendapatkan unsur pedasnya.
Setakat tahun 2003, keluasan tanaman cili dalam negara ialah 3,934 hektar yang mana 95% ditanami dengan spesis C. annuum manakala 5% lagi ditanami dengan cili padi yang merupakan spesis C. frutescens.
Penggunaan cili dalam negara meningkat tahun demi tahun, iaitu 51,618 tan pada tahun 1996 kepada 74,489 tan pada tahun 2000. Setakat tahun 2003, penggunaan tersebut meningkat kepada 106,560 menandakan potensi yang menggalakkan sebagai tanaman komersial. Buat masa ini, pembekalan cili dalam negara tidak cukup untuk menampung permintaan domestik yang besar sehingga ia perlu diimport dari negara – negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Senario ini menjadikan tanaman ini berdaya maju untuk diterokai.
Penanaman cili dalam negara sering menghadapi dua masalah utama, iaitu hasil yang tidak konsisten serta ancaman penyakit menyebabkan minat menyurut untuk meneruskan pengusahaan tersebut. Walaupun diketahui umum bahawa cili mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran domestik sehingga ia perlu diimport dari negara jiran khususnya Thailand dalam kuantiti yang banyak, namun, kesukaran mengatasi masalah – masalah tersebut di atas tetap menjadi batu penghalang yang besar kepada mereka untuk menceburi ke bidang penanaman tersebut.
Dengan menyedari hakikat ini sejak tahun 80 – an lagi, MARDI telah menjalankan kajian bagi menghasilkan baka – baka yang dapat memberi hasil lebih konsisten lagi tinggi di samping lebih rintang terhadap penyakit khususnya penyakit antraknos. Sepanjang tempoh kajian itu, hasil yang menggalakkan telah diperolehi setelah berjaya membiak baka bahan – bahan tanaman yang lebih bermutu untuk digunakan oleh para petani yang berminat memasuki gelanggang penanaman cili.
Dalam konteks ini, dua varieti iaitu MC 4 dan MC 5 telah dibangunkan melalui pemilihan ketat dan penulenan daripada varieti sedia ada dalam negara. MC 4 mempunyai ciri matang lebih awal serta tempoh produktif yang pendek membolehkannya dituai sebelum kadar serangan penyakit menjadi tinggi. Sehubungan itu, sifat berbuah dan matang serentak yang ada pada cili MC 4 juga salah satu ciri utamanya membolehkan penuaian berjentera atau penanaman secara skala besar dijalankan. Walaupun begitu, sambutan petani terhadap varieti ini masih kurang menggalakkan yang mungkin disebabkan kegemaran mereka masih pada varieti Kulai yang berbentuk panjang.
Namun begitu, varieti MC 5 yang ditulenkan daripada varieti Bukit Gambir walaupun berbentuk panjang seperti bentuk yang digemari serta juga lebih pedas daripada varieiti MC 4 di samping berhasil tinggi sehingga menghasilkan 1.0 – 1.5 kg/pokok dalam tempoh penghasilan 5 bulan serta produktif dengan mengeluarkan hasil berturut – turut, ia tetap tidak disambut tinggi oleh petani cili tempatan. Keadaan ini menyebabkan kajian selanjutnya dijalankan untuk memperkenalkan varieti – varieti lain yang lebih bermutu lagi eksotik bagi menghambat hati petani cili.
Dalam konteks ini, sebanyak 79 varieti telah dinilai dengan menggunakan cili Kulai sebagai varieti perbandingan. Dengan kata lain, hanya varieti yang mempunyai prestasi yang lebih unggul daripada cili Kulai sahaja akan dipilih. Dengan itu, varieti terpilih itu terdiri daripada Cili Panjang (Long Chili), Cili Merah (Red Chili), Cili Koral (Coral Chili) dan Cili Tanduk (Horn Chili), kesemuanya adalah varieti hibrid daripada Korea dan Taiwan. Program ini berlangsung dalam tempoh tahun 1986 – 1990.
Dalam pada itu, program pembiakbakaan cili untuk prosesan turut dijalankan antara tahun 1990 – 1995. Sebagai cili untuk diproses, ciri tertentu seperti berat kering yang tinggi (>15%), pedas dengan mengandungi sekurang – kurangnya 0.5% capsaicin yang merupakan elemen penyebab kepedasan cili, rintangan terhadap antraknos yang akan menjangkiti cili yang disimpan, kadar konversi yang tinggi dan juga warna yang elok, harus ada di dalamnya.
Dalam keadaan ini, varieti tempatan seperti Kulai, Langkap dan Tanjung Minyak juga digunakan dalam ujian. Varieti MC 4 dan MC 5 digunakan sebagai titik penyemakan. Sebanyak 60 germplasm kemasukan telah diuji dan hanya 15% yang menunjukkan prestasi yang unggul dipilh. Berdasarkan speksifikasi yang ditetapkan, varieti Ch234 – 14 (kemudian dinamakan MC 11) yang mempunyai daya hasil lebih tinggi daripada MC 4 dan MC 5, berat kering melebihi 20% dan kandungan capsaicin 0.7% telah dipilih sebagai varieti cili untuk tujuan prosesan.
Berdasarkan data yang ditunjukkan, varieti ini yang ditanamkan di Cameron Highlands memperolehi hasil jauh lebih tinggi daripada ujian penanaman di tanah – tanah lain, menyatakan ia adalah varieti yang mungkin lebih sesuai untuk iklim sederhana.
Â
Antara tahun 1990 – 1995, MARDI meneruskan kajian pembiakbakaan supaya menghasilkan varieti lebih unggul lagi. Memandangkan cili MC 4 sedia mengandungi beberapa ciri unik seperti bentuk yang panjang, berhasil tinggi, matang lebih awal dan serentak, maka ia telah dipilih untuk dikacukkan dengan varieti Ch207. Anak kacukan itu kemudian diuji tanam sebanyak beberapa generasi sehingga varieti Line 5 – 1 (kemudian dinamakan MC 12) dibangunkan. Varieti ini mengandungi 62% cili bentuk lebih panjang dan kadar konversi lebih 50% daripada MC 4.
MC 12 merupakan varieti cili yang panjang dan pada amnya, saiz cili yang makin besar menandakan kadar kepedasan akan berkurangan. Oleh itu, ciri MC 12 sebenarnya mengimbangi kehendak para petani dari segi bentuknya yang cukup panjang, berhasil tinggi dan sebagainya manakala kepedasan mungkin tidak setanding dengan cili – cili bersaiz lebih kecil.
Namun begitu, MC 12 menunjukkan warna pes merah cerah yang serata menjadikannya sesuai digunakan sebagai varieti untuk kegunaan segar atau diproses. MC 12 dikomersialkan pada tahun 1995.
Selepas penemuan varieti MC 12 yang menepati speksifikasi penanaman, MARDI meneruskan kajian untuk mendapatkan varieti yang akan menunjukkan daya rintangan yang lebih baik terhadap penyakit antraknos. Usaha tersebut membabitkan pemilihan varieti tempatan dan luar negara seperti Mexico dari segi genetik kemudian menjalankan kacukan bagi mendapatkan baka yang lebih merintang penyakit.
Â
Namun, penambahan daya rintangan tanaman cili melalui kacukan malah penerapan kaedah bioteknologi seperti transgenik ataupun teknik kultur tisu agak sukar sebagaimana telah dialami oleh saintis secara umum. Ini disebabkan oleh teknik pembangunan pokok cili daripada sel tunggal belum ditemui. Biarpun begitu, usaha berkenaan juga menunjukkan hasil positif tertentu untuk dihalusi dan diterokai selanjutnya dan diyakini hasil yang konkrit akan direalisasikan pada suatu hari nanti.
Cili Padi (Cili Api / Cili Burung)
Populariti cili padi yang semakin menambah memberi isyarat untuk mengkaji secara lebih intensif terhadap varieiti cili ini. Mengikut data FAMA 2004, cili padi yang diimport dari Thailand mencecah 100 tan/minggu. Usaha yang dicurahkan oleh MARDI telah menghasilkan varieti cili padi CP 170, CP Kandis dan CP Raub yang mana prestasinya boleh dilihat di jadual 1. Kesemua varieti ini menepati spesifikasi yang dikehendaki seperti berhasil tinggi dan konsisten, matang awal dan serentak dan sebagainya.
Varieti Cili
Varieti Tempatan
Langkap (Perak), Minyak (Melaka), Jerneh (Terengganu) dan Kulai (Johor) merupakan varieti tempatan yang biasa ditanam oleh petani dalam negara. Varieti Minyak dan jerneh merujuk kepada cili panjang dan pejal manakala varieti Langkap dan Kulai adalah panjang tetapi langsing serta berkerut sedikit di bahagian kulit. Varieti – varieti tempatan ini pada amnya bersifat heterogeneous, iaitu kualiti anak pokok dan prestasinya tidak seragam dengan pokok induk. Di samping itu, kadar konversi kepada cili kering juga rendah serta rentan terhadap penyakit. Walaupun bentuk luaran masing – masing agak menawan hati namun pengeluaran hasil adalah tidak konsisten.
Siri Cilibangi
Sebanyak 6 varieti Cilibangi telah dibiak baka oleh Dr. Ahmed Mahir Mokhtar Bakri dari UKM Bangi. Cilibangi 6 merupakan varieti terbaru yang dihasilkan pada tahun 2001. Cilibangi mempunyai beberapa ciri yang unik termasuk pengeluaran hasil yang tinggi, berbuah dan masak serentak serta dapat merintangi sesetengah penyakit.
Varieti MARDI
MC 4 : Varieti ini sederhana pedas dan matang awal. Bentuknya sederhana panjang dan gemang sedikit dengan bahu buah yang rata. Pengeluaran hasil adalah di antara 1.0 – 1.5kg/pokok dalam tempoh 3.5 bulan pungutan hasil.
MC 5 : Varieti ini adalah baka yang diambil daripada Bukit Gambir serta menunjukkan hasil yang tinggi pada 1.0 1.5kg/pokok dalam tempoh 5 bulan pengutipan hasil. MC 5 menampilkan bahagian luaran yang menarik hati dari segi bentuk di samping boleh diproses kerana warna yang canggih, cukup pedas dan kadar penyembuhan (recovery rate) yang cepat. Ia akan mengeluarkan hasil berterusan menjadi salah satu cirinya yang unik.
MC 11 : Varieiti ini boleh diguna segar atau menjadi cili proses. Kulitnya merah cerah dan berkerut sedikit serta berbentuk panjang. Kadar konversi adalah tinggi di antara 15 – 22% dan cukup pedas. Ia menunjukkan daya rintangan
tertentu terhadap antraknos, penyakit layu batang dan pucuk. Adaptasinya terhadap suasana
penanaman adalah baik membolehkannya ditanam pada kebanyakan tempat dalam negara.
Varieti MC 11 memerlukan masa sebanyak 45 hari selepas pindah tanam untuk berbunga. Setelah mengorak (anthesis) dan pendebungaan, 6 minggu lagi diambilnya untuk menghasilkan buah cili yang matang untuk dikutip.
MC 12 : Varieiti ini adalah progeni daripada kacukan varieti MC 4 dan Ch207. Ia mewarisi bentuk panjang daripada Ch207. Sementara itu, ia juga mewarisi sifat MC 4 dari segi matang awal serta tempoh pengeluaran hasil yang pendek. Sifat masak serentak membolehkannya dituai dengan menggunakan jentera. Lai daun pokok MC 12 adalah lebih tebal dan ciri ini membantunya untuk mengurangkan serangan perosak. Selain itu, MC 12 menunjukkan prestasi yang baik dalam kawasan tanaman struktur berjaring.
Pokok MC 12 pada amnya mengambil masa 30 – 35 hari lepas pindah tanam untuk mengeluarkan bunga. Selepas bunga mengorak (anthesis) dan pendebungaan, buah cili akan matang dalam masa sebulan.
CP Kandis : Merupakan varieti cili padi yang mengeluarkan buah cili matang 3 bulan selepas dipindah tanam. Dalam tempoh produktif selama 4.5 – 6.5 bulan, pokok mengelurakan buah cili di antara 509 1220g/pokok. la tidak mengeluarkan buah secara serentak dan juga tiada musim hasil yang genting.
CP 170 : Varieti ini boleh menghasilkan buah cili matang untuk dituai sebelum berumur 3 bulan lepas pindah tanam dan mencapai penghasilan genting dalam masa 4 – 5 bulan lepas pindah tanam di ladang. Dalam keadaan sekitaran yang berbeza, ia menunjukkan prestasi yang berlainan dengan hasil di antara 509 – 1,900 g/pokok dalam tempoh pengutipan hasil sepanjang 5 – 7 bulan. Pokok ini berhayat 8 – 12 bulan. CP 170 dianggap sebagai varieti yang paling sesuai untuk penanaman secara skala besar.
Varieti Hibrid
Varieti tempatan masih menghadapi pengeluaran hasil yang kurang konsisten. Justeru itu, varieti eksotik hibrid yang diimport dari luar negara dengan harga biji yang lebih mahal juga digunakan dalam negara. Varieti – varieti ini termasuk Red Chilli, Wonder Hot dan Long Chilli yang masing – masing menunjukkan pengeluaran hasil yang lebih konsisten.
Semerah Varieti Cili Padi Baru Dari MARDI
Memandangkan cili padi tempatan sedia ada lambat berhasil iaitu melebihi 3 bulan lepas pindah tanam serta hasil rendah (lebih kurang 500g/pokok), pihak MARDI telah menjalankan penyelidikan mulai tahun 1986 supaya menghasilkan baka yang lebih bermutu. Selepas menjalankan penyelidikan selama 21 tahun, satu varieti cili padi baru bergenotip dari Mexico telah dihasilkan untuk komersial pada tahun 2007 – 2008. Cili padi baru ini dikenali sebagai Semerah yang tergolong dalam spesis Capsicum annuum.
Keupayaan pengeluaran hasil purata melebihi 1,000g/pokok dalam satu pusingan tanaman serta dilengkapi dengan ciri – ciri cepat matang (buah boleh dipetik dalam masa 11 – 12 minggu lepas pindah tanam), pengeluaran buah lebat serta masak serentak di samping mudah dituai menjadikannya satu tanaman komersial yang berpotensi. Dijangka Cili Semerah dapat memberi hasil sebanyak 15 tan/ha dalam semusim (11 bulan). Prestasi ini akan meningkatkan pendapatan petani melalui penambahan hasil daripada pokok.
Bergantung pada keadaan tanah, hasilnya adalah di antara 650 – 1,985 g/pokok semusim dalam tempoh 5 – 7 bulan pengutipan hasil. Tidak mustahil bagi varieti ini melanjutkan pusingan tanaman sehingga satu tahun jika penjagaan adalah baik. Selain itu, buahnya juga mudah tanggal memudahkan kutipan hasil. Dalam pada itu, pokok cili Semerah yang diserangi penyakit tetap akan mengeluarkan hasil walaupun buah adalah lebih kecil, menandakan daya penerimaan tekanan adalah lebih tinggi daripada cili – cili biasa yang lain.
Salah satu ciri unik cili Semerah ialah kebolehan diproses menjadi serbuk cili kerana kadar penukaran dari basah kepada kering yang tinggi, iaitu melebihi 30%. Kegunaan segar boleh dijalankan dengan memetik buah cili di peringakt kematangan 1 atau 2 manakala untuk prosesan, ia dicadangkan dipetik di peringkat kematangan 5 atau 6 yang akan menampilkan kemerahan warna yang menarik.
Sehubungan itu, kandungan Capsaicin melebihi 39mg/g menjadikannya lebih pedas daripada cili padi Thai tetapi masih kurang pedas jika dibandingkan dengan cili padi Kandis (cili padi kampung). Kajian menunjukkan bahawa cili padi Semerah disambut dengan baik sekali dalam keadaan hijau dicampur aduk sedikit dengan yang berwarna merah sedikit (peringkat 3 dan 4). la boleh diproses secara hijau atau secara merah yang mana ia dibiarkan masak sepenuhnya pada pokok sebelum dipetik. Cili padi pada amnya adalah lebih pedas daripada cili besar dan justeru itu, cili Semerah juga berpotensi dijadikan ubatan kepada pesakit reumatisme.
Dari segi penghasilan, seperti disebut tadi, ia bergantung pada sekitaran yang mana tanah biasa mampu memberi hasil tertinggi manakala di tanah bermasalah (marginal), hasilnya masih mampu mencapai 650g/pokok. Di bawah agro – iklim dan penjagaan terbaik termasuk penggunaan baja pada kadar optimum, hasilnya boleh mencapai 2.3kg/pokok.
Dengan andaian pengeluaran hasil pada 10 tan/ha serta harga kebun kebun RM4.00/kg, pendapatan bersih yang dapat diraihkan melalui penanaman cili Semerah adalah RM24,000/ha/musim. Potensi penghasilan sebenarnya lebih tinggi daripada itu, iaitu 15 tan/ha/musim (12 bulan). Pada tahap penghasilan ini, keuntungan bersih adalah RM57,000/ha/tahun. Butir – butir mengenai cili Semerah ditunjukkan di jadual 2 dan 3.
Varieti – varieti tersebut di atas ini akan digunakan untuk bentangan aspek agronomi berikutnya, meliputi aspek agro – iklim, kutipan hasil, kos pengeluaran dan pulangan daripada penanaman.
Agro – iklim : Tanaman cili sesuai dengan pelbagai jenis tanah termasuk tanah gambut, tanah bris, tanah bekas lombong, tanah mengandungi 40 – 60% pasir, 15% kandungan liat serta kaya dengan bahan organik. Suhu yang sesuai baginya adalah di antara 20 – 33°C. Dari segi taburan hujan, 1,500 – 2,000 mm/tahun adalah memadai manakala nilai pH tanah yang optimum ialah 5.5 – 6.8.
Kultur : Tanaman cili diusahakan dengan menggunakan biji benih yang dicambahkan dahulu di tapak semaian sama ada atas batas, polibeg atau kotak semaian. Masa 4 – 7 minggu diperlukan untuk biji benih bercambah menjadi anak benih yang sesuai dipindah tanam ke ladang. Biji benih perlu dirawat dengan 3g thiram/1000g biji benih terlebih dahulu sebelum disemaikan.
Dari segi penyediaan tanah untuk penanaman, tanah dibersihkan terlebih dahlu kemudian digemburkan. Batas berukuran 1.2m lebar x 20 – 30cm tinggi kemudian dibuat. Jarak tanaman yang dicadangkan ialah 80cm x 80cm atau 90cm x 120cm yang mana kedua – dua jarak ini masing – masing akan memuatkan 16,000 pokok/ha dan 8,570 pokok/ha. Penjarangan pokok dijalankan pada satu minggu selepas menanam.
Pembajaan : Baja memainkan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan pokok dan pengeluaran hasil cili. Bagi mendapat biji yang lebih banyak dalam buah cili, baja fosfat adalah nutrien pemupuk yang penting. Selain itu, keperluan nutrien oleh tanaman cili sebenarnya bergantung pada jenis tanah. Kadar baja yang diperlukan menurut jenis tanah adalah ditunjukkan di jadual 5.
Pengairan : Pengairan dijalankan sebanyak 4 – 5 kali sehari sama ada secara manual atau menggunakan sistem pemercik. Peparit harus dibina sekiranya kawasan tanaman lazim mengalami masalah kekurangan air.
Kawalan Rumpai : 4 – 15 hari selepas menanam, penyemburan racun rumpai adalah disyorkan. Merumput secara manual dijalankan pula 4 – 8 minggu selepas menanam.
Kutipan Hasil : Buah cili boleh dipetik pada 2 – 2.5 bulan (60 – 75 hari) selepas menanam. Buah dipetik dengan tangkainya sekali pada waktu pagi atau lewat petang.
Bagi mengawal penyakit antraknos, buah cili yang telah dituai boleh direndamkan dalam air panas 50°C selama 3 – 5 minit. Cili tahan disimpan selama 3 – 6 minggu di bawah suhu 5 – 8°C dengan kelembapan relatif 90 – 95%.
Kos Pengeluaran : Dengan berdasarkan jarak tanaman pada 90cm x 120cm yang memuatkan 8,570 pokok/ha serta pungutan hasil dijalankan di sekitar 60 – 75 hari selepas menanam, jumlah besar kos pengeluaran bagi ketiga – tiga varieti MC 11, MC 12 dan Kulai tidak jauh berbeza, iaitu masing – masing di sekitar RM20,000/ha/musim.
Pulangan Penanaman : Pulangan adalah bergantung pada jumlah hasil yang dapat diperolehi serta harga kebun semasa. Harga cili yang dijual di peringkat merah adalah lebih tinggi daripada jualan di peringkat hijau. Dengan itu, anggaran pulangan/keuntungan bersih yang dapat diperolehi daripadanya adalah seperti berikut dikira dengan andaian pada penghasilan sederhana dan harga sederhana tinggi. (sila lihat jadual 6)
Pendapatan bersih tersebut di atas sudah mengambil kira kos buruh yang mungkin terdiri daripada ahli keluarga. Dengan kata lain, sekiranya kos buruh ahli keluarga dimasukkan dalam kiraan, maka keuntungan bersih akan bertambah pada kadar yang banyak, iaitu dengan tenaga hari sebanyak 393 didarabkan dengan RM25.00/hari bersamaan RM9,825.00/ha/musim. Ini bermakna,keuntungan bersih yang dinyatakan di atas perlu ditambah RM9,825/ha/musim sekiranya buruh terdiri daripad ahli keluarga sendiri.
Kos pengeluaran dan keuntungan bersih yang diperolehi melalui kajian merupakan bahan rujukan untuk menilai daya maju dan potensi tanaman cili. Dari situ, Jelas kelihatan bahawa tanaman cili menunjukkan kadar keuntungan yang baik selagi masalah – masalah penanaman lain seperti pengekalan hasil dan kawalan penyakit dapat ditangani dengan baik.
Sumber Maklumat :
1. Melor Rejab, ” Chilli (Capsicum species)”, Breeding Horticultural Crops @ MARDI, Editors, Chan Ying Kwok et al, MARDI, 2008.
2. “Cili padi baru Semerah”, Agromedia, Bil. 26, 2/2008.
3. Sumiyah Mohamed Nasir, Penyunting, Anngaran Kos pengeluaran dan Pendapatan untuk Sayuran dan Rempah, MARDI, 2005.
4. Panduan Pengeluaran Sayur – Sayuran, MARDI, 2000.