You are currently viewing Tanpa Data, Bertani Ibarat “Menanam dalam Gelap”!

Tanpa Data, Bertani Ibarat “Menanam dalam Gelap”!


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com

Arus Perdana Pertanian Digital Telah Tiba — Mampukah Petani Malaysia Naik Kereta Api Teknologi Ini?

Petani di Malaysia tidak pernah kurang rajin. Ilmu turun-temurun dan pengalaman di ladang adalah harta utama mereka. Namun, dalam keadaan cuaca yang semakin tidak menentu, kos input yang meningkat dan pasaran yang sukar dijangka, bergantung kepada “agakan” atau “rasa hati” semata-mata dalam bertani kini semakin berisiko. Bak kata orang tua, “kita tanam dengan harapan, tapi hasil ikut langit”.

Sekiranya pertanian ingin kekal relevan dan menarik minat generasi muda, kita perlu bergerak dari “bertani ikut rasa”, kepada “bertani berdasarkan data”. Hari ini, tanpa data, kita sebenarnya sedang “menanam dalam gelap”.

Bahaya kan?

Apa Maksud “Menanam dalam Gelap”? Mungkin Anda Sedang Lakukannya

“Menanam dalam gelap” bukanlah kerana malam atau lampu padam. Ia bermaksud anda membuat keputusan dalam pertanian — seperti bila nak tanam, banyak mana nak siram, baja apa nak guna, bila perlu sembur racun — tanpa maklumat tepat. Semuanya berdasarkan pengalaman atau tradisi. Masalahnya, dalam dunia yang sedang berubah pantas, pendekatan ini makin berisiko.

Pernah tak anda hadapi situasi begini?

  • Tabur baja ikut musim, tapi tak tahu tahap sebenar nutrien dalam tanah.
  • Serangan penyakit atau serangga hanya disedari bila sudah terlambat.
  • asil tuaian banyak, tapi harga pasaran tiba-tiba jatuh, rugi pula.
  • Musim kemarau atau hujan lebat mendadak, sistem pengairan tak bersedia.

Kalau anda pernah lalui salah satu di atas, kemungkinan besar anda sedang “menanam dalam gelap”.

Pertanian Digital Itu Apa? Ia Tak Semestinya Rumit

Pertanian digital (atau pertanian pintar) bukan bermaksud anda perlu guna robot atau roket! Ia sebenarnya merujuk kepada penggunaan teknologi dan data untuk membuat keputusan pertanian yang lebih baik. Iaitu, kita guna maklumat — bukan sekadar naluri — untuk menentukan apa, bila dan bagaimana kita bertani.

Antara contoh pertanian digital yang sudah pun tersedia di Malaysia:

  • Sensor tanah: ukur kandungan air, pH, dan nutrien supaya kita boleh baja dan siram dengan tepat.
  • Ramalan cuaca mikro: bantu kita rancang masa terbaik untuk menanam dan meracun.
  • Aplikasi mudah alih (app): catatkan kos, hasil dan prestasi ladang secara sistematik.
  • Dron pertanian: sembur racun atau rakam gambar ladang dari udara untuk kesan awal serangan perosak.

Pendek kata, pertanian digital bukan ganti anda sebagai petani, tapi jadi pembantu yang bijak. Ia umpama GPS dalam kereta — tak memandu untuk anda, tapi bantu anda sampai ke destinasi lebih cepat dan selamat.

Soalannya — Mampukah Petani Malaysia Naik Kereta Api Teknologi Ini?

Untuk jawab soalan ini, kita kena lihat tiga aspek:


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com
Website : www.unionharvest.com

1. Mampu ke nak beli (kos)?

  • Ramai petani khuatir, “ini semua mahal!”. Ya, ada kebenarannya. Tapi kini, banyak teknologi telah menjadi lebih murah dan mesra pengguna.
  • Sensor asas boleh didapati bawah RM1,000.
  • Perkhidmatan dron sembur racun boleh disewa serendah RM30 – RM50 seekar.
  • Aplikasi pertanian ada yang percuma atau dibangunkan oleh universiti tempatan.
  • Kerajaan juga mula memperkenalkan pelbagai insentif melalui Pelan Transformasi Digital Agro Makanan. Sudah ada petani muda yang berjaya gabungkan pertanian tradisional dan digital secara berperingkat.

2. Mampu ke nak guna (kemahiran)?

  • Ada juga yang risau, “saya tak pandai komputer!”. Tapi jangan risau, banyak aplikasi hari ini direka supaya mudah guna — ada dalam Bahasa Melayu, boleh klik saja gambar, dan lebih senang dari guna Facebook!

Kalau susah juga, minta anak atau cucu bantu. Ini juga cara baik untuk libatkan generasi muda dalam pertanian — bila mereka nampak ia moden dan relevan, mereka lebih berminat nak ambil alih nanti.

3. Mampu ke nak kekalkan (daya tahan)?

  • Teknologi tanpa sokongan jangka panjang tak akan ke mana. Antara cabaran semasa ialah:
  • Internet tak stabil di kawasan luar bandar.
  • Tiada pusat servis atau pakar berhampiran jika alat rosak.
  • Kurangnya komuniti petani yang berkongsi dan saling bantu dalam penggunaan teknologi.

Sebab itulah kerajaan, koperasi pertanian, syarikat teknologi, institusi pengajian tinggi dan media mesti bekerjasama membina ekosistem pertanian digital yang kukuh dan mesra petani.

Pertanian Baharu Bukan Sekadar Guna Alat — Tapi Ubah Cara Fikir

Inti sebenar pertanian digital bukanlah semata-mata menggunakan alat canggih, tetapi membina budaya bertani yang lebih berilmu dan strategik. Bila kita mula merekod data tanaman, menganalisis hasil tuaian, membanding prestasi plot tanah, kita bukan sahaja tingkatkan hasil, tetapi juga bina “kepintaran ladang”.

Data itu pula boleh digunakan untuk:

  • Buat keputusan yang lebih tepat.
  • Elak pembaziran input.
  • Rancang musim akan datang.
  • Bantu kerajaan salur bantuan tepat pada masanya.
  • Tarik pelabur dan pembeli kerana lebih telus dan profesional.

Yang lebih penting — ia boleh jadi sebab kenapa anak muda akan rasa: “Eh, pertanian ni cukup ‘smart’ juga!”

Penutup: Sanggupkah Anda Buka Telefon dan Tengok ‘Suhu Digital’ Ladang Anda?

Dalam masa 5 – 10 tahun akan datang, kita akan mula lihat perbezaan ketara antara petani yang beralih kepada pertanian digital dan yang kekal dalam kaedah lama. Yang satu akan bergerak ke depan, yang satu lagi makin ketinggalan.

Pertanian Malaysia perlu melangkah daripada “menanam dalam gelap” kepada “menanam dengan bijak”. Dan semuanya bermula dengan satu langkah kecil — berani melihat data, memahami ladang dengan lebih mendalam.

Sama ada guna aplikasi telefon, pasang sensor ringkas, atau teroka penggunaan dron — mulakan hari ini, kerana masa depan pertanian bukan lagi sekadar keringat dan nasib. Ia adalah strategi dan data.

Sumber : Platform Profesional
Nota : Untuk Rujukan Sahaja


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com