You are currently viewing Kualiti Rock Melon Diperkasakan Melalui Perkenalan Lebah Kelulut

Kualiti Rock Melon Diperkasakan Melalui Perkenalan Lebah Kelulut

Rock melon adalah buah-buahan yang memerlukan pendebungaan berbantu untuk berbuah. Oleh itu, lebah kelulut telah digunakan untuk menjalankan pendebungaan khususnya di dalam struktur berjaring yang umumnya digunakn untuk mengusahakan tanaman ini.

MARDI telah menjalankan kajian tersebut di Serdang. Suhu di dalam struktur berjaring ini ialah 39-46°C, menyebabkan banyak lebah kelulut telah mati apabila mula-mla memperkenalkan ke dalam. Untuk meningkatkan adaptasi lebah kelulut terhadap persekitaran baru, beberapa langkah telah diambil :

1. Memberi latihan kepada lebah kelulut untuk bertahan dengan cuaca panas dengan meletakkan koloni di kawasan yang panas.

2. Memasukkan koloni lebah kelulut pada waktu petang.

3. Memasukkan koloni lebah kelulut pada hari ke-16 selepas benih rock melon disemai untuk menjamin proses pendebungaan yang lengkap berlaku dan memberi masa lebah kelulut mengenali kawasan sekitar dengan lebih baik.

4. eletakkan bunga di pintu masuk lebah kelulut bagi merangsang pendebungaan yang lebih cepat.

5. Mengeluarkan koloni lebah kelulut dari struktur berjaring selepas proses pendebungaan berlaku dan diletakkan di tempat yang redup.

Lebah kelulut adalah agen pendebungaan yang baik kepada petani rock melon. Kajian menunjukkan bahawa sekiranya pendebungaan berbantu ke atas 2,000 pokok di dalam struktur berjaring dijalankan secara manual, maka dua orang pekerja diperlukan dengan anggaran jumlah kos RM36,000 setahun. Sebaliknya, melalui lebah kelulut, lapan koloni kelulut diperlukan dengan kos RM4,000 ditambah dengan seorang pekerja dengan jumlah kos RM22,000 setahun. Penjimatan sebanyak RM12,000 boleh diperolehi melalui penggunaan lebah kelulut.

Kelebihan Menggunakan Lelah Kelulut Di Dalam Struktur Berjaring

Rock melon adalah buah yang bernilai tinggi tetapi ini hanya terhad kepada buah yang manis sahaja. Boleh dikatakan nilai rock melon adalah bergantung pada tahap kemanisan buah. Berat buah yang standard ialah 1.5 kg sebiji, iaitu sesuai untuk seorang makan. Dengan memperkenalkan lebah kelulut ke dalam struktur berjaring, kamnisan buah rock melon telah meningkat dari 12 Brix kepada 14 Brix. Tambahan, hasil buah juga dapat dipertingkatkan. Ini kerana pendebungaan yang lengkap telah dijalankan oleh lebah kelulut dan bunga betina yang menerima debunga dengan sempurna akan menghasilkan buah yang lebih canggih. Dengan memasukkan koloni lebah kelulut di dalam struktur berjaring, lebah kelulut akan berlegar-legar di dalam dan menfokuskan pengambilan madu pada bunga rock melon justeru membentuk satu tugasan yang cekap.

Selain menjalankan pendebungaan, koloni lelah kelulut akan menghasilkan madu kelulut, propolis dan juga debunga. Keadaan ini akan meningkatkan pendapatan sampingan kepada pekebun. Lebah kelulut yang boleh dijadikan pilihan adalah spesies Heterotrigona itama iaitu sejenis lebah kelulut yang paling mudah ditemui di Malaysia serta mudah diurus di samping dapat menjalankan kerja dengan baik. Lebah kelulut ini mudah dikenali kerana warna badan yang gelap dari kepala hingga ke bahagian abdomen. Namun terdapat sedikit warna perak di bahagian dadanya.

Sumber maklumat :

Mohd Fahimee Jaapar et al., Lebah Kelulut Malaysia, MARDI, 2016.