You are currently viewing Keberkesanan Racun Glyphosate Dalam Kawalan Rumpai Di ladang Sawit

Keberkesanan Racun Glyphosate Dalam Kawalan Rumpai Di ladang Sawit

Beberapa eksperimen yang telah dijalankan oleh syarikat perladangan menunjukkan glyphosate (Roundup) dapat mengawal rumpai Paspalum conjugatum, Ottochloa nodosa, Mikania Micrantha dan Pueraria phaseoloides dengan kadar 1-2 liter/ha manakala Imperata cylindrica atau lalang dengan kadar 5-10 liter di ladang sawit dan getah.

Pada hakikat, kesan semburan tunggal untuk mengawal rumpai lalang adalah tertakluk kepada kerimbunan rumpai serta keadaan cuaca. Lalang yang tumbuh di bawah pokok getah dewasa dapat dikawal secara berkesan dengan kadar 3.1 liter/ha. Lalang di bawah naungan cahaya sedikit akan memupuk rumpai ini tumbuh dengan rimbun justeru memerlukan kadar berganda iaitu 6.2 liter/ha untuk mengawalnya. Di tanah lapang, pertumbuhan lalang amnya dapat dikawal dengan dos 12.4 liter/ha. Walaupun racun rumpai biasa digunakan dalam kawalan tumbuhan liar ini, tetapi adakah semburan membawa kesan negatif terhadap tanaman sawit belum matang?

Satu eksperimen berkenaan pernah dijalankan dengan menggunakan Roundup (359g/liter glyphosate) dalam tiga dos aplikasi iaitu 1.55 liter/ha, 3.1 liter/ha dan 6.2 liter/ha terhadap tanaman sawit berumur 7 bulan, 17 bulan dan 22 bulan dengan semburan dalam bulatan merumput. Hasil kajian itu ditunjukkan seperti berikut :

1. Penggunaan Roundup secara berkali-kali dengan 3 dos aplikasi di atas tidak menunjukkan perbezaan ketara dengan plot kawalan (plot tidak disemburi racun).

2. Semua rumpai dalam bulatan merumput dapat dikawal dengan semburan Roundup menunjukkan racun ini berkesan dalam amalan tersebut.

3. Semburan Roundup berkali-kali menunjukkan hasil sawit tidak dipengaruhi oleh semburan melalui perbandingan dengan plot kawalan.


Maka dapat disimpulkan bahawa penggunaan Roundup tidak memberi kesan negatif terhadap tanaman sawit belum matang.

*Nota pengarang: Eksperimen ini dijalankan pada tahun 1972, iaitu lebih kurang 40 tahun lalu. Justeru itu produk racun berkenaan mungkin sudah dinaik taraf dan memberi kesan kawalan yang lebih baik lagi. Artikel ini hanya untuk rujukan am sahaja.

Sumber maklumat :

Wong Phui Weng, “Tolerance of Young Oil Palm to Glyphosate”, The Oil Palm in Agriculture in the Eighties, ISP, 1982.

Hantar blog ini kepada :