You are currently viewing Johor Rancang Bangunkan 1,325 Hektar Kawasan Tanaman Kelapa Dan Benih

Johor Rancang Bangunkan 1,325 Hektar Kawasan Tanaman Kelapa Dan Benih

ISKANDAR PUTERI : Kerajaan Johor merancang untuk membangunkan kawasan tanaman kelapa, termasuk benihnya, seluas 1,325 hektar menjelang 2027 bagi memenuhi keperluan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata langkah membuka lebih banyak ladang serta benih tanaman itu akan turut mengekalkan Johor sebagai pengeluar utama kelapa negara.

Beliau berkata, Johor mengunjurkan pengeluaran sebanyak 124,313 tan metrik kelapa setahun melalui peluasan kawasan tanaman berkenaan di negeri ini.

“Selain pengeluar terbesar kelapa negara, Johor juga adalah pengeluar utama benih tanaman itu di Malaysia. Dianggarkan 53,000 benih kelapa diperlukan setahun, namun kemampuan pengeluarannya oleh Pusat Pertanian Jorak (Pusat Bekalan Benih Kelapa) ialah kira-kira 28,000 benih kelapa setahun.

“Sehubungan itu, Kerajaan Johor merancang untuk mempertingkat pengeluaran benih kelapa dengan memperkasakan lagi pusat pengeluaran benih kelapa seperti di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Masai, Parit Botak, Batu Pahat bawah kelolaan Jabatan Pertanian,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Beliau menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) mengenai inisiatif kerajaan negeri untuk membantu peladang meningkatkan semula penanaman pokok kelapa yang semakin berkurangan di Johor.

Mengulas lanjut, Zahari memaklumkan sebagai rekod, kawasan penanaman kelapa di negeri ini adalah seluas 12,151 hektar membabitkan 9,898 pengusaha dengan hasil keluaran 118,278 tan metrik pada tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah pengeluaran itu melebihi anggaran keperluan permintaan kelapa di negeri ini, iaitu kira-kira 105,000 tan metrik setahun.

“Bagaimanapun merujuk kepada kadar sara diri negara, iaitu dengan kadar 66.6 peratus, ia menunjukkan kekurangan kelapa yang sangat ketara di seluruh negara.

“Justeru sebagai pengeluar utama kelapa negara, Johor menyasarkan pengeluaran kelapa yang lebih besar dari semasa ke semasa. Kerajaan negeri merancang untuk memfokus kepada tanaman ini.

“Bagi menampung keperluan itu dan mengatasi isu tanaman kelapa rosak, kekurangan nutrien, masalah iklim, serangan penyakit serta lain-lain masalah global, tambahan baru kawasan penanaman dan penanaman semula kelapa diperlukan ialah sekitar 2,650 hektar,” katanya.

Tahun ini (2022), Zahari berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM500,000 bagi program pemulihan dan penanaman semula kelapa di Johor membabitkan kawasan seluas 463 hektar.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Johor memperuntukkan RM400,000 untuk program pemulihan dan penanaman semula kelapa negeri membabitkan kawasan seluas 96 hektar.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri menggalakkan permohonan tanah kerajaan untuk mengusahakan tanaman kelapa bagi memperbanyakkan hasil keluaran berkenaan.

“Kelapa merupakan antara tanaman utama di Johor, terutama di Batu Pahat, Pontian dan Muar. Lokasi baru penanaman kelapa turut diwujudkan di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) Kota Tinggi dan Projek Pertanian Moden Kluang.

“Usaha menggalakkan rakyat menanam kelapa juga dilakukan melalui program bantuan benih kelapa, bagi meningkatkan lagi keluasan kawasan tanaman dan seterusnya meningkatkan pengeluaran kelapa.

“Jabatan Pertanian akan terus menggalakkan pekebun kecil memajukan penanaman itu melalui cara menanam semula kawasan kelapa tua sedia ada, dengan memperkenalkan klon baru bermutu tinggi seperti kelapa matang dan kelapa pandan,” katanya.

 

Sumber maklumat :

BH Online, 8/12/2022

Hantar blog ini kepada :