Limau purut (Kaffir lime) bersama limau nipis dan limau kasturi, adalah tanaman yang popular di Malaysia ekoran permintaan pasaran yang sentiasa kekal di paras yang menggalakkan. Limau purut mudah dikenali kerana kulitnya yang berkerutu serta membawa aroma yang dianggap sebagai salah satu faktor penarikan serangan serangga khususnya kutu trips yang akan merosakkan kualiti buah. la seperti tanaman buah-buahan lain berkehendakkan penyemburan racun serangga dan kulat seminggu sekali.
Kutu trips biasanya lebih berleluasa semasa musim kering, umpamanya bulan Mei setiap tahun yang bercuaca panas dan kering. Kutu trips akan menghisap cecair permukaan kulit buah sehingga nilai kosmetiknya merosot. Buah limau purut yang tidak cantik dari segi luaran akan kehilangan pasaran kaum Cina yang sering menggunakan buah-buahan ini untuk tujuan sembahyang.
Pada hakikat, daun tanaman limau purut adalah bahagian pokok yang umum didagangkan untuk kegunaan dalam masakan tomyam khususnya kerana aroma dan perisa yang unik. Dengan kata lain, nilai komersial tanaman ini diberatkan pada aspek daun walaupun buahnya juga lumrah di pasaran. Bagaimanapun, terdapat pekebun yang hanya mengutip buahnya untuk dipasarkan kerana dikatakan harga buah lebih baik daripada harga daun
Selain itu, oleh kerana daun dan kulit buah limau purut turut menghasilkan aroma unik, ia telah digunakan untuk pembuatan minyak pati melalui kaedah penyulingan wap bagi kegunaan dalam aromaterapi, produk penjagaan diri dan nutrakeutikal. Daun segar dan daun kering tanaman limau purut mempunyai pelbagai fungsi perubatan tradisional. Sebaliknya isi buah limau purut yang kurang berjus serta masam dan pahit kelihatan tidak menampilkan nilai pasaran di sisi ini walaupun kini sudah terdapat kaltivar yang berjus manis.
Menurut kajian, pengeluaran hasil daun segar tanaman limau purut dianggarkan 600kg/ha/tahun untuk pokok berumur 3 tahun atau 4.5 tan/ha/tahun bagi pokok berumur 5 tahun dan ke atas. Keputusan ini diperolehi melalui pungutan hasil daun segar sebanyak 100g/pokok/kutipan bagi pokok berumur 3 tahun dan 500 – 800g/pokok/kutipan untuk pokok beru- mur 5 tahun dan ke atas. Kutipan daun dijalankan beberapa pusingan setahun mengikut kesuburan tanaman serta permintaan pasaran.
Daun tanaman limau purut juga boleh digunakan untuk penghasilan minyak pati. Berdasarkan perolehan minyak pati pada kadar 0.8% daripada daunnya, maka satu hektar tanaman limau purut yang dikutip daunnya akan menghasilkan 4.8 liter minyak pati bagi pokok berumur 3 tahun dan 36 liter untuk pokok berumur 5 tahun dan ke atas. Kos pengeluaran 1 liter minyak pati dianggarkan RM589.00 tanpa mengambil kira kos penanaman.
Daripada sini dapat dikira bahawa dari kebun tanaman limau purut berumur 5 tahun dan ke atas yang sanggup menghasilkan 4.5 tan daun segar/tahun dengan jumlah penghasilan minyak pati 36 liter, maka pembuatan 1 liter minyak pati memerlukan sejumlah 125kg daun segar.
Kesimpulan, tanaman limau purut memberi dua hasil utama iaitu daun dan buah. Inilah salah satu keunikan tanaman ini kerana tanaman buah-buahan tempatan amnya hanya mendagangkan buah dan bukan daun walaupun daun bagi sesetengah tanaman itu juga membawa fungsi dalam rumusan pemakanan, perubatan tradisional malahan pembuatan ubat-ubatan ataupun produk penjagaan diri. Dengan kata lain, penanaman limau purut akan menjana dua pendapatan kepada pengusaha tanaman.
Rujukan :
Penanaman Tumbuhan Ubatan & Beraroma, MARDI, 2005, hal. 108-117.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd