You are currently viewing Keperluan Baja Untuk Sawit Klon Berbeza Dengan Sawit DxP

Keperluan Baja Untuk Sawit Klon Berbeza Dengan Sawit DxP

Pengeluaran hasilan minyak bagi sawit klon atau juga dikenali sawit kultur tisu secara amnya lebih tinggi berbanding sawit DXP. Oleh itu ia menjadi pilihan sesetengah penanam khususnya syarikat perladangan yang mementingkan hasilan minyak berbanding hasil buah tandan segar. Menurut sumber, pokok sawit klon memberi hasilan minyak yang lebih tinggi menjelang tempoh matang dan juga beberapa tahun selepas mencapai kematangan berbanding pokok DxP. Oleh itu aplikasi pembajaan juga perlu diubah untuk memenuhi keperluan baru ini.

Woo dan rakan-rakan (1994) pernah membuat kajian terhadap sawit klon yang ditanam 6 tahun. serta tuaian hasil untuk 4 tahun pertama. Jumlah hasilan minyak yang diperolehi oleh sawit klon pada 6 tahun pertama selepas ditanam ialah 32.3 tan/ha berbanding sawit DxP pada 19.4 tan/ha. Jumlah hasil sawit klon ini memerlukan nutrien kalium (K2O) 1,865 kg manakala sawit DxP hanya 1,687 kg iaitu perbezaan 11%. Menurut tukaran hasilan minyak per kg kepada kadar kecekapan penggunaan kalium oleh pokok, maka didapati kadar kecekapan bagi sawit klon ialah 17.32 manakala sawit DxP ialah 11.50 menandakan sawit klon memiliki kadar penggunaan baja kalium yang lebih cekap. Dengan kata lain, kalium telah digunakan oleh sawit klon secara lebih cekap dalam penjanaan minyak sawit yang lebih banyak. Penemuan ini adalah selaras dengan kajian Ng dan rakan-rakan (1999).

Hakikat yang ditemui dalam kajian tersebut ialah keperluan baja (NPK, Mg, B) bagi sawit klon ialah 400 kg/ha/tahun dan sawit DxP ialah 360 kg/ha/tahun. Kadar kecekapan penggunaan baja juga lebih tinggi oleh sawit klon yang berada pada nilai 20.0 berbanding sawit DxP pada nilai 16.7. Hasilan minyak sawit klon juga lebih tinggi iaitu 8 tan/ha berbanding DxP pada 6 tan/ha/tahun.


Keadaan ini berlaku atas sebab penukaran jirim sawit klon kepada minyak sawit yang lebih cekap yang berpunca daripada teknik pembiakbakaan sawit klon yang lebih sempurna. Kajian tersebut menunjukkan perbezaan tidak besar di antara keperluan baja oleh kedua-dua jenis sawit ini, tetapi peningkatan hasilan minyak pada sawit klon selanjutnya menyarankan nutrien-nutrien mungkin telah mencapai kesimbangan yang lebih tinggi lantas meningkatkan hasilan minyak. Kebiasaan, jika kalium tidak dapat serasi dengan baik terhadap magnesium, boron, sulfat dan kalsium maka hasilan minyak akan menurun.

Ini kerana magnesium dan sulfat sama-sama memainkan peranan dalam pembentukan minyak manakala boron pula adalah nutrien yang perlu dalam pendebungaan, persenyawaan dan pembentukan buah sawit. Sebaliknya jika taburan boron berlebihan telah berlaku, maka ia akan membatasi pengambilan pokok terhadap kalium dan magnesium. Oleh itu, kesimbangan di antara nutrien amat penting dalam aspek ini.

Di samping itu, jika dilihat pada jadual 1, didapati apabila kalium ditabur pada kadar yang besar diiringi oleh kadar taburan mag- nesium yang kecil baru dapat menghasilkan minyak yang optimum menyatakan keseim- bangan di antara nutrien sebenarnya tidak mudah tercapai. Keadaan ini memberi impi- kasi bahawa untuk memperolehi hasilan minyak yang optimum, penggunaan baja yang seimbang amat penting. Penghalusan rumusan baja seumpama ini terletak pada para penyelidik sawit dan juga pengeluar baja untuk menghasilkan jenis baja yang benar-benar menepati keperluan sawit klon.

 

Sumber maklumat :

Ng. Siew Kee et al., “Clonal Oil Palm : Production, Yield Performance and Nutritional Requirements”, Oil Palm : Management For Large and Sustainable Yields, Penyunting Thomas Fairhurst & Rolf Hardter, PPI, PPIC & IPI, 2003.

Hantar blog ini kepada :