You are currently viewing Sawit DXP vs Sawit Klon (Perbandingan Hasil Buah Tandan Segar)

Sawit DXP vs Sawit Klon (Perbandingan Hasil Buah Tandan Segar)

Kelapa sawit klon atau kultur tisu masuk ke gelanggang penyelidikan mulai tahun 70 – an. Penubuhan makmal penyelidikan klon sawit hanya digiatkan oleh pemain industri dalam negara pada awal tahun 80 – an. Ujian mengenai prestasi bahan tanaman klon sawit dijalankan pada penghujung tahun 80 – an.

Bahan klon yang digunakan pada tahap permulaan datangnya daripada pokok DXP kerana sawit klon tempatan belum banyak lagi pada sebelumnya. Namun begitu, syarikat perladangan tertentu sempat mengimport masuk sawit klon dari tempat lain (IRHO, Unilever/Bakasawit) untuk digunakan dalam ujiannya.

Hasil ujian dalam tempoh tersebut telah disimpulkan oleh Jawatankuasa Kecil (Bahagian Kultur Tisu) MPOGC (Malaysian Oil Palm Growers Council) yang terdiri daripada ahli – ahli Porim, United Plantations (UP), Guthrie/HRU dan AAR. Sedikit sebanyak gambaran mengenai prestasi sawit klon berbanding dengan sawit DxP dapat diperolehi daripadanya. Hasil ujian dari tahun 90 – an ini mungkin berlainan dengan prestasi klon sawit kini yang lebih bermutu melalui kegiatan kultur tisu berterusan.

Keputusan Ringkas

Daripada 8 klon IRHO, hanya satu sahaja menunjukkan kelebihan 14% daripada DxP walaupun kesemua klon ini dilaporkan menunjukkan prestasi penghasilan buah tandan segar lebih unggul antara 11 – 61% di Ivory coast dan Indonesia. Tiada klon Porim menunjukkan prestasi lebih unggul daripada DxP dari segi hasilan minyak dan ini mungkin disebabkan oleh bahan tanaman dari DxP yang bukan dari warisan hasilan minyak yang unggul. Klon P12 dari Porim/HRU di Balau dan Bukit Kerayong masing – masing menunjukkan 4% dan 8% lebih tinggi hasilan minyak dibandingkan dengan DxP kawalan.

Klon sawit lebih dikenali dengan minyak/tandan (O/B) yang lebih tinggi. Perkara ini tidak sukar difahami kerana minyak/tandan lebih mampu diwarisi jika dibandingkan dengan buah tandan segar. Hal ini juga menyatakan pengeluaran buah tandan segar sawit klon lebih berbeza di antara pelbagai sekitaran penanaman berbanding dengan aspek minyak/tandan.

 

Sumber Maklumat :

Soh, A.C., Yong Y.Y., Ho, Y.W. and Rajanaidu, N., “Commercial Potential of Oil Palm Clones: Early Results of Their Performance in Several Locations”, Recent Development In Oil Palm Tissue Culture And Biotechnology, Editors, V. Rao et al., PORIM, 1995.

Dalam pada itu, Bakasawit (rakan kongsi Unipamol Malaysia Sdn Bhd dan Harrisons Malaysia Plantations Bhd pada ketika itu) juga menjalankan 8 ujian klon sawit yang mana 6 ujian dijalankan di beberapa estet Golden Hope Plantations dan menggunakan DxP Golden Hope sebagai perbandingan. 2 ujian lain dikendalikan di Pamol Estate, Kluang dengan DxP Guthrie Chemara sebagai perbandingan dengan sawit klon. Sebanyak 8 jenis klon sawit digunakan dalam keseluruhan ujian, ujian, empat di antaranya diperolehi dari ortet pokok sawit matang manakala 4 lagi adalah ortet daripada anak benih bukan terpilih.

Keputusan Ujian

Kumpulan 1 – Prestasi Pengeluaran Buah Tandan Segar Di Tanah Pantai

Data 3 ujian daripada 4 ujian itu didapati pengeluaran buah tandan segar Klon 90A selama 7 tahun adalah lebih tinggi sebanyak 11% – 23.3% jika dibandingkan dengan DxP. Ujian keempat pula hanya mencatatkan kelebihan 4 – 5% sahaja. Namun begitu, purata keempat – empat ujian ini masih mencatatkan kelebihan 11.5% berbanding dengan prestasi DxP. Prestasi klon ini bertambah baik di akhir – akhir tahun ujian berbanding dengan tahun – tahun awal ujian dengan menunjukkan bilangan buah tandan yang lebih banyak secara signifikan.

Klon 54A dalam tempoh yang sama pula menunjukkan prestasi melebihi 14 – 15% di satu ujian dan 9% di satu ujian lain daripada DxP dari segi pengeluaran buah tandan segar.

Klon 115E pula menghasilkan buah tandan segar yang lebih besar daripada DxP tetapi bilangannya adalah lebih rendah berbanding dengan DxP. Keempat – empat ujian ini menunjukkan purata buah tandan segar yang lebih rendah sebanyak 14% daripada DxP. Begitu juga dengan Klon31A memaparkan hasil lebih rendah secara signifikan daripada DxP, hanya di ujian atas tanah gambut melebihi DxP sebanyak 5% sahaja.

Tiada satu pun klon sawit yang dihasilkan melalui ortet anak sawit DxP menunjukkan prestasi lebih baik daripada DXP kawalan. Klon – klon ini menghasilkan buah tandan yang lebih kecil pada bilangan yang lebih banyak, namun masih tidak dapat mengatasi jumlah hasil pokok DxP dalam ujian perbandingan. Klon – klon ini adalah lemah prestasinya pada tahun – tahun penghasilan awal dan menambah baik pada tahun – tahun berikutnya setelah bilangan buah tandan meningkat.

Kumpulan 2 – Prestasi Pengeluaran Buah Tandan Segar Di Tanah Pedalaman

Klon 54A tetap menunjukkan prestasi lebih baik secara konsisten dalam pengeluaran buah tandan segar berbanding dengan DxP khususnya di bawah penanaman yang padat, iaitu 161 pokok/ha dan 173 pokok/ha, masing – masing melebihi DxP sebanyak 22.8% dan 18.9%. Purata dari rekod selama 7 tahun adalah 16% lebih tinggi daripada DxP melalui pengeluaran bilangan buah tandan segar yang lebih banyak walaupun buahnya adalah lebih kecil.

Klon 90A pula menghasil lebih rendah secara signifikan daripada DxP walaupun tidak demikian keadaannya di tanah pantai. Kejadian ini menyebabkannya lebih lemah prestasinya berbandingan dengan DxP di tanah pedalaman walaupun kepadatan pokok adalah lebih rendah.

Sehubungan itu, 6 jenis klon yang lain tidak juga menunjukkan prestasi yang baik secara signifikan berbanding dengan DxP. Klon 31A yang ditanam pada kepadatan lebih tinggi masih didahului oleh DxP sebanyak 3% dari segi pengeluaran hasil. Apabila kepadatan pokok direndahkan, julat hasil bertambah besar kepada 25%. Namun bgeitu, prestasinya di Pamol Estate mencatatkan prestasi lebih rendah sebanyak 10% sahaja di bawah pelbagai kepadatan tanaman manakala dalam satu ujian lain hanya mencatatkan kelebihan hasil sebanyak 3% bebanding dengan DxP.

Antara kesemua klon yang diwarisi melalui ortet anak benih DXP, Klon 997 sahaja yang mempunyai prestasi lebih unggul sebanyak 2 4% daripada prestasi DXP. Kes ini serupa di tanah pantai. Klon dalam kategori ini menunjukkan penghasilan yang lemah di peringkat awal kemudian menambah baik selepas itu.

Secara umumnya, hasil buah tandan segar klon sawit yang ditanami di tanah pedalaman adalah lebih rendah daripada yang ditanam di tanah pesisir pantai. Dari aspek pertumbuhan vegetatif, pokok klon sawit yang ditanami di tanah pedalaman menunjukkan rakis pelepah lebih pendek sebanyak 5%, keluasan purata daun kurang 20%, petiole (cross section) dan ketinggian pokok lebih rendah sebanyak 30% dibandingkan dengan pokok klon yang ditanam di tanah pesisir pantai.

Pertumbuhan vegetatif yang lebih lemah menerangkan pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah. Isu ini adalah menarik untuk dikaji seterusnya supaya mengetahui faktor menyebabkan penghasilan berbeza bagi klon sawit dalam dua sekitaran penanaman yang berlainan.

 

Sumber Maklumat :

C.R. Donough and C.H. Lee, “Longer Term Results From Clone Trials At Pamol Plantations And Golden Hope Plantations”, Recent Development In Oil Palm Tissue Culture And Biotechnology, Editors, V. Rao et al., PORIM, 1995.

 

Hantar blog ini kepada :