Dalam perkembangan industri tanaman kini, kemerosotan harga minyak sawit dan getah secara berpanjangan telah memacu pengusaha tanaman untuk mencari tanaman lain yang berpotensi untuk diusahakan. Ramai pengusaha telah menanam durian khususnya musang king dengan harapan mendapat manfaat besar daripada arus perdana durian terkini yang mana harga jualan di pasaran dengan mudah mencecah RM30.00 se kg.
Walaupun begitu, tanaman durian adalah tanaman saka yang memerlukan tempoh masa lima tahun untuk mendapat hasil permulaan. Lagi pun, tanaman ini juga mempunyai masalah tersendiri, umpamanya peka terhadap perubahan cuaca dan oleh itu bukan perkara mudah untuk mendapat hasil yang diidamkan selepas pokok masuk ke peringkat matang.
Maka dengan itu, tanaman lain masih dipilih untuk ditanam. Salah satu pilihan yang boleh dibuat adalah menanam avocado, iaitu sejenis tanaman tropika yang sesuai dengan persekitaran di Malaysia. Tambahan, avocado juga telah memasuki pasaran tempatan untuk satu jangka masa yang agak lama sehingga ia bukan lagi buah-buahan yang tidak dikenali orang. Di pasaraya tempatan atau di kedai buah-buahan, sebiji avocado dijual dengan harga lebih kurang RM3.00. Ini satu tarikan yang agak besar kepada penanam. Justeru itu, ada baiknya untuk melihat bagaimanakah tanaman ini boleh dikendalikan di Malaysia.
Avocado adalah tanaman berasal dari Mexico dan kawasan Amerika Tengah. Di Asia, ia selain ditanam di Filipina dan Indonesia dengan kawasan agak meluas, ia masih bukan tanaman yang popular di Malaysia atau di Thailand. Walau bagaimanapun, memandangkan potensi komersial yang ada pada buah avocado, maka kedua-dua negara ini juga telah memberi perhatian berat untuk mengusahakannya.
Buah avocado seperti juga buah pisang, adalah tanaman yang hanya akan masak selepas dikutip. Keadaan ini satu kelebihan besar kepada penanam kerana selepas kutipan, buah avocado akan masak dalam masa 1 – 2 minggu dan ciri ini membolehkan penanam mempunyai masa secukupnya untuk mengutip hasil. Penjual juga suka menjual buah avocado kerana hayat rak yang agak panjang. Satu ciri lain bagi buah avocado ialah musim pembuahan besar bagi tanaman ini berlaku pada setiap dua tahun dengan erti kata lain, jika diandaikan tahun ini mempunyai musim pembuahan besar, maka pengeluaran hasil untuk tahun depan akan merosot secara perbandingan. Walau bagaimanapun, dipercayai adanya teknik untuk memupuk tanaman ini supaya berbuah secara konsisten setiap tahun.
Avocado jika ditanam dengan bahan tanaman berasal daripada biji benih, maka tempoh kematangan pokok adalah agak panjang sehingga 5 – 6 tahun. Oleh itu, kebanyakan penanam menggunakan bahan tanaman cantuman yang dapat mengeluarkan hasil lebih cepat iaitu sekitar 3 – 4 tahun di samping juga boleh mendapat kualiti dan kuantiti buah yang lebih baik.
Bunga tanaman avocado amat unik iaitu setiap kuntum bunga mempunyai organ jantan dan betina yang mana bunga akan mekar pada hari ini sebagai bunga betina kemudian hari keesokan pula mekar sebagai bunga jantan. Oleh yang demikian, untuk mendapat pendebungaan yang sempurna, tanaman avocado hendaklah ditanam mengikut kategori A dan B. Kategori A mengeluarkan bunga jantan pada hari ini dan bunga betina pada hari keesokan, manakala kategori B pula mengeluarkan bunga betina pada hari ini kemudian bunga jantan pada hari keesokan. Nisbah pokok kategori A dan B boleh sama ada 1:1 ataupun 2:1.
Dari segi jarak tanaman, 6 meter – 12 meter adalah sesuai bergantung kepada kaltivar. Jika menggunakan kaltivar yang mengembang secara horizontal, umpamanya varieti Fuerte, maka jarak tersebut perlu dijarangkan. Bagi kawasan yang mudah dibanjiri air, avocado mesti ditanam di atas busut kerana tanaman ini tidak tahan terhadap takungan air. Penanaman di kawasan bukit boleh memilih jarak 10 meter x 10 meter.
Pada hakikat, persoalan jarak tanaman avocado masih satu isu yang sedang dibahaskan kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang meningkatkan jumlah pokok sehektar daripada 400 pokok (amalan normal) kepada 800 pokok/hektar, iaitu menanam secara padat. Bagaimanapun, penanaman padat memerlukan penggunaan bahan penyekat pertumbuhan vegetatif pokok seperti paclobutrazol supaya pokok berubah ke hala pengeluaran hasil.
Penanaman padat juga terbukti membawa hasil lumayan sehingga 34.4 tan/ha dalam 3 tahun pertama kutipan hasil berbanding 17.6 tan/ha dalam penanaman normal (400 pokok/ha). Satu kelemahan bagi penanaman padat ialah kerja pangkasan dahan pokok yang lebih banyak serta lebih membebankan. Kebelakangan ini terdapat penanam yang menggunakan jarak tanaman 12 meter x 6 meter, 10 meter x 5 meter atau 8 meter x 4 meter (138 – 312 pokok/ha) menyatakan tanaman ini boleh ditanam dengan pelbagai jarak asalkan daun pokok tidak bertindih apabila memasuki tempoh kematangan.
Baja yang diperlukan untuk tanaman avocado agak tinggi. Nitrogen adalah penting kepada tanaman ini. Amnya, pokok muda boleh menggunakan NPK pada nisbah 1:1:1 manakala pokok matang pada nisbah 2:1:2. Di kawasan yang nilai pH tanah adalah 7, masalah kekurangan besi mungkin akan wujud dan keadaan ini boleh diperbaiki dengan menabur baja besi kelaan sebanyak 35 g per pokok. Baja surih yag lain seperti zink dan boron juga penting dan perlu ditokok tambah. Pada masa kini, penanam lebih mirip menggunakan baja NPK dan baja organik untuk membajakan pokok avocado.
Tanaman avocado mempunyai sistem akar yang cetek, oleh itu permukaan tanah di kawasan penanaman jika dapat dilitupi dengan sungkupan merupakan satu amalan baik untuk memelihara kelembapan tanah. Kekurangan air akan menyebabkan buah tanaman gugur awal atau merekah. Oleh yang demikian, pemasangan sistem pangairan adalah tindakan wajar sekiranya tanaman ini hendak diusahakan dengan jayanya.

Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Walaupun pangkasan pelepah adalah wajib bagi tanaman avocado tetapi ia hanya perlu dijalankan sekadar sederhana sahaja khususnya varieti yang tumbuh merentang. Pangkasan pelepah berlebihan sebaliknya menyebabkan pertumbuhan vegetatif yang cergas dan melambatkan pembuahan. Bagi varieti pokok yang tumbuh menegak seperti varieti Pollock, had ketinggian pokok perlu dikawal supaya tidak membebankan kutipan hasil kelak.
Pokok avocado yang matang akan mengeluarkan hasil antara 100 – 500 biji atau 7 – 10 tan/ha, malahan kemampuan pengeluaran hasil 20 tan/ha bergantung kepada tahap kematangan pokok. Dengan erti kata lain, jika diandaikan sebiji avocado dijual pada harga kebun RM1.50, maka satu pokok berupaya menjana keuntungan kasar antara RM150 – RM 750 bersamaan RM45,000 – RM225,000/ha jika satu hektar ditanami 300 pokok.
Buah walaupun sudah matang di atas pokok, tetapi hanya akan masak selepas 6 10 hari dikutip daripada pokok. Oleh itu, ciri ini amat digemari oleh penanam dan juga penjual kerana masing-masing tidak menghadapi kesuntukan masa dalam mengutip buah dan penjualan buah.
Memandangkan buah hanya masak selepas dikutip, maka masalah yang timbul ialah bagaimanakah hendak menentukan buah masak di atas pokok? Beberapa petanda di bawah ini boleh digunakan untuk menentukan buah avocado masak.
1. Tangkai buah menukar ke warna yang membawa kekuningan.
2. Buah yang telah dibelah memperlihatkan biji benih yang kering, tidak berlekit dan berwarna ungu.
3. Buah hijau menukar ke warna ungu.
Walaupun buah yang tidak masak tetap boleh dikutip dan disimpan dalam keadaan sejuk antara 5.5 – 8°C selama 4 minggu, namun kualiti buah adalah lebih rendah.
Buah avocado mengambil masa yang agak panjang untuk matang di atas pokok. Ump- amanya varieti Mexican memerlukan 6 – 8 bulan, Guatemalan Race 9 – 14 bulan dan West Indian Race pula 6 – 9 bulan. Buah avovado mempunyai banyak vareti serta cita rasa yang berbeza-beza. Penanam dari seluruh dunia akan memilih varieti yang sesuai dengan persekitaran di negaranya untuk menanam.
Di antara varieti ini, Hass, Gwen dan Pinkerton adalah lebih popular kerana hasil yang tinggi serta dengan saiz kanopi pokok antara kecil ke sederhana besar. Namun, Hass memiliki ciri musim pembuahan besar dua tahun sekali yang agak serius manakala dua varieti lain pula adalah dengan ciri sederhana sahaja. Di Malaysia, setakat diketahui ada klon A7, A10, A16, A25, A27 dan A30 yang sudah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian.
Akhir kata, avocado merupakan buah yang amat berkhasiat dan justeru itu dijual dengan harga premium di pasaran. Oleh itu, ia merupakan satu tanaman yang berpotensi untuk diusahakan sama ada secara tanaman tunggal ataupun tanaman selingan oleh penanam dalam negara.
Rujukan :
1.www.agri.nsw.gov.au – Avocado Planting.
2.Avocado Common Varieties – Informasi internet.
3.Avocado Cultivation In India – Informasi internet.
4.J.S Kohne et al., “Avocado High Density Planting – A Progress Report”, South African Avocado Growers’ Association Yearbook 1991, 14:42:43.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336