Penjagaan pokok durian dari segi pembajaan adalah amalan penting supaya pokok dapat membesar dengan baik. Pembajaan dijalankan mengikut umur pokok dengan dos dan jenis baja yang berlainan. Pokok berumur satu tahun atau ke bawah boleh menggunakan baja foliar sebanyak 0.1 liter/kali dengan kekerapan 6 kali setahun. Bagi pokok berumur 2 tahun, baja butiran jenis 15/15/15 atau 15/15/6/4 atau 11/16/9/2.5 dipilih dengan kadar 0.25kg/kali sebanyak 4 kali setahun.
Pada tahun ketiga, pokok durian tetap menggunakan baja butiran 15/15/6/4 atau 11/16/9/2.5 tetapi dengan kadar lebih tinggi iaitu 0.5kg/kali sebanyak 4 kali setahun. Tahun keempat biasanya menggunakan baja butiran 11/16/9/2.5 sebanyak 0.9kg/kali dengan kekerapan 4 kali setahun.
Pada tahun kelima, pokok biasanya mula berbuah dan baja buah dikehendaki pada masa ini dengan menggunakan rumusan baja butiran 12/12/17/2.5 sebanyak 1.2kg/kali untuk 4 kali setahun serta ditokok dengan baja mikro, kemudian tambah kepada 1.5kg/kali pada tahun keenam dengan kekerapan yang sama. Baja butiran 13/13/20 dan lain-lain baja buah juga boleh dipilih untuk menggantikan baja 12/12/17/2.5 pada tahun kelima dan keenam.
Mulai tahun ketujuh dan seterusnya, kadar baja 2.5kg/kali sebanyak 3 kali setahun diperlukan dan kadar ini ditambah kepada 3.0kg dan 3.3kg/kali dengan kekerapan serupa untuk tahun berikutnya. Mulai tahun ke-10, kadar baja ditetapkan pada 3.3kg/kali sebanyak 3 kali setahun sudah memadai.
Rumusan baja yang setanding juga boleh dipilih untuk menggantikan baja tersebut di atas selagi baja adalah berkualiti dari pengilang yang diyakini oleh orang ramai. Penggunaan baja kurang berkualiti akan menjejaskan tumbesaran pokok serta membazirkan masa dan perbelanjaan terhadap pokok durian yang ditanam.
Sumber maklumat :
Zainal Abidin Mohamed, Zabedah Mahmood, Siri Buah-Buahan Komersial Malaysia-Durian, DBP, 2016 (cetakan kedua), hal. 35,36.
Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com