You are currently viewing Teknologi Integrasi Tanaman Salak Dengan Sawit

Teknologi Integrasi Tanaman Salak Dengan Sawit

Di Malaysia, tanaman salak kebanyakan ditanam di Negeri Terengganu, Kelantan dan Johor dengan menggunakan baka Salacca glabrascens. Baka ini bersifat dwijantina, oleh itu pendebungaan berbantu atau manual (assisted pollination) tidak diperlukan. Tanaman salak di Negeri Sabah dan Sarawak pula lebih tertumpu pada baka S. Edulis iaitu satu baka yang sama dengan S. Zalacca yang masing-masing memerlukan pendebungaan berbantu kerana bunga betina dan bunga jantan tumbuh berasingan di pokok berlainan (dioecious plant).

Dari segi cita rasa buah salak, ia berlainan mengikut baka, sama ada manis, masam manis, sedikit masam atau sedikit kelat serta juga dengan aroma yang berbeza. Misalnya terdapat sejenis buah salak yang dikenali sebagai salak nangka membawa sedikit bau nangka. Buah salak boleh dimakan segar apabila sudah masak. Namun, pengeluaran produk jeruk salak kelihatan salah satu nilai ekonominya yang terpenting.

Dari segi penanaman, tanaman ini tahan terhadap naungan daripada pancaran cahaya matahari. Oleh itu ia sesuai diintegrasikan dengan tanaman industri lain seperti getah, sawit dan sebagainya. Di Malaysia, tanaman yang dapat ditanam di bawah naungan cahaya matahari tidaklah banyak, oleh demikian, bagi sesiapa yang yang ingin menjalankan aktiviti integrasi dengan sawit, maka tanaman ini mungkin boleh dipilih. Ini kerana hasil kajian daripada penyelidik MPOB telah mendapati integrasi sawit-salak adalah sesuai serta berpotensi untuk diusahakan.

Kajian tersebut menggunakan sistem dua baris kembar (double avenue planting system) iaitu setiap dua baris tanaman sawit meluangkan kawasan selebar 15.2 meter untuk menanam salak. Kelebaran kawasan ini boleh juga diintegrasikan dengan tanaman lain seperti lada hitam, papaya, pisang dan tanaman lain yang bersaiz kecil jika tanaman salak bukan pilihan. Dalam kajian ini, baka salak Salacca zalacca yang berasal dari Indonesia telah digunakan.

Baka ini terdapat pokok jantan dan pokok betina secara berasingan, oleh itu penanaman mesti dijalankan mengikut nisbah jantina pokok tertentu demi memperolehi kadar pendebungaan yang baik. Bahan tanaman salak juga perlu diberikan perhatian berat Walaupun biji benih umumnya digunakan sebagai bahan tanaman, tetapi anak benih yang terhasil sering tidak tulen serta mungkin membentuk 30 50% pokok jantan. Pada hakikat, sebarang tanaman yang berasal daripada biji benih amnya menghadapi masalah ketidaktulenan dan keadaan ini akan mempengaruhi produktiviti pokok malah kualiti buah yang dihasilkan. Oleh yang demikian, perolehan bahan tanaman melalui kaedah cantuman tampang, keratan batang atau sulur adalah lebih selamat. Sungguhpun salak boleh dibiak melalui keratan batang atau sulur, tetapi kadar kejayaan didapati adalah rendah dan proses tumbesaran juga lambat.

Kaedah pembiakan anak benih salah terbaru ialah penggunaan minyak disel ke atas meristem pokok untuk mengawal pertumbuhan di situ dengan tujuan merangsang penghasilan lebih banyak sulur sebaliknya untuk digunakan sebagai bahan tanaman. Dengan cara ini, sulur yang dihasilkan itu juga lebih bermutu. Oleh yang demikian, keluasan tanaman salak sama ada dapat dikembangkan atau tidak sebenarnya bergantung kepada kesediaan teknik kultur anak benih yang lebih cekap supaya menghasilkan bekalan bahan tanaman yang cukup untuk digunakan.

 

Dalam integrasi yang menggunakan sistem dua baris kembar ini, sebanyak 136 pokok sawit per hektar dapat ditanam. Jumlah pokok ini walaupun bersamaan dengan sistem konvesional tiga segi sama, tetapi dalam sistem penanaman dua baris kembar, tanaman integrasi boleh dijalankan dan akan memberi pendapatan sampingan kepada pemgusaha tanaman sawit. Tanaman salak berhasil sepanjang tahun serta mempunyai nilai ekonomi sehingga 20 – 30 tahun iaitu agak setanding dengan tanaman sawit menandakan usaha integrasi ini berpotensi memberi pendapatan berpanjangan seperti tanaman sawit. Dalam sistem ini, tanaman sawit hendaklah ditanam menghala timur barat untuk mendapat pencaran cahaya matahari yang optimum. Kawasan tanaman salak hendak juga mengelak daripada keadaan takungan air. Kawasan selebar 15.2m ini hendaklah dibajak sedalam 20 – 30cm (8-12 inci) kemudian dibajak piring dua kali diikuti bajak putar satu kali. Selepas 7-10 hari, tanah di situ dibajak sekali lagi untuk mengawal pertumbuhan rumpai.


Kaedah penyediaan tanah ini adalah baik kepada tanaman salak kerana akan memudahkan perkembangan sistem akarnya yang pada dasarnya adalah cetek. Jika tanah didapati masam, maka pengapuran harus dijalankan bagi meningkatkan nilai pH tanah. Tanah yang masam akan menurunkan keberkesanan nutrien untuk diambil oleh tanaman. Selepas penyediaan lubang tanaman, anak benih salak boleh ditanam mengikut jarak 3m x 3m segi empat sama (sila lihat rajah 1). Dengan cara ini, satu hektar boleh ditanam sebanyak 280 pokok salak selain 136 pokok sawit.

Inilah kelebihan integrasi salak-sawit kerana boleh memperolehi pendapatan sampingan apabila tanaman salak matang kelak. Bagi mereka yang ingin menjalankan aktiviti integrasi seumpama ini, rancangan perlu diadakan sebelum penanaman sawit supaya meluangkan kawasan selebar 15.2m. Pihak MPOB dalam usaha menggalak aktiviti ini di kalangan pengusaha tanaman sawit telah menyediakan skim bantuan integrasi untuk diperuntukkan kepada pemohon yang layak.

Nisbah penanaman pokok jantan dan betina salak ialah 1 4 iaitu 56 pokok jantan dan 224 pokok betina sehektar diagihkan secara rata. Pembajaan adalah penting untuk memupuk tumbesaran pokok salak. Dalam hal ini, dicadangkan penaburan 200g baja CIRP dalam lubang tanaman untuk menggalak pertumbuhan akar. Pada tahun pertama, satu pokok salak diberikan baja sebatian 15/15/15 pada kadar 75g/kali sebanyak 6 kali. Pada tahun kedua, rumusan baja yang sama digunakan tetapi dijalankan dalam 4 kali sahaja dengan dos 150g/kali. Pada tahun ketiga, baja sebatian 12/12/17/2 digunakan pada kadar 250g/kali sebanyak 4 kali. Dos baja ditingkatkan kepada 1kg/pokok/kali sebanyak 3 kali/tahun untuk pokok salak berumur 4 tahun dan ke atas.

Di peringkat awal, bulatan merumput elok disediakan untuk tanaman salak demi memudahkan kerja merumput dan membaja. Rumpai di antara baris pokok boleh dikawal dengan mesin pemotong rumput pada setiap 45 — 60 hari bersamaan 6 – 8 pusingan setahun. Apabila pokok salak sudah matang, racun merumput bolehlah digunakan. Kawalan rumpai untuk pokok salak belum matang perlu dijalankan secara manual dan bukannya dengan racun rumpai supaya mengelakkan keracunan pada pokok terutama pokok salak adalah pokok berbatang pendek, berpelepah lebat dan panjang antara 3 – 7m justeru mudah terkena semburan racun rumpai.

Pokok salak akan mengeluarkan sulur dan ia perlu digunting 3 kali setahun dengan gunting panjang supaya memupuk tumbesaran pokok. Sulur yang dipotong itu diletakkan sahaja dalam barisan longgokan pelepah sawit. Apabila pokok salak masuk ke tempoh matang, pendebungaan berbantu/manual digalakkan untuk meningkatkan kadar pendebungaan kerana pergantungan pada pendebunga serangga ataupun angin tidaklah mencukupi. Pada hakikat, kerja ini tidak rumit, hanya perlu memegang bunga jantan di tangan kemudian mengetuknya pada bunga betina, debunga akan melekat di situ dan menjayakan proses pendebungaan. Buah salak amat digemari oleh tikus, tupai malah keluang. Buah mentah yang diserangi akan gugur dan mendatangkan kerugian kepada pengusaha tanaman. Oleh sebab itu, racun tikus boleh digunakan untuk mengawal perosak jenis rodent.

Apabila pokok salak berumur 2 3 tahun selepas tanam, ia akan mula mengeluarkan buah sepanjang tahun selama 20 – 30 tahun. Bunga betina yang sudah berjaya didebungakan akan menjadi buah masak dalam masa 5 7 bulan. Umumnya bulan September – November adalah musim besar pembuahan salak. Buah salak yang sudah masak menampilkan warna kulit perang cerah serta menghambur bau harum manis dan ia boleh dipetik dengan gunting atau alat lain yang sesuai.

Daripada kajian tersebut. Penanaman salak tidak memberi kesan negatif yang signifikan terhadap hasil sawit. Perbandingan dengan sistem penanaman sawit tunggal dalam sistem konvensional tiga segi sama menunjukkan hasil sawit bagi kedua-dua sistem penanaman ini masing-masing memperolehi 13.3 tan/ha/tahun dan 16.7 tan/ha/tahun pada tahun kutipan hasil kelima manakala pada tahun kutipan hasil sawit keenam pula, masing-masing mencatatkan 24.6 tah/ha/tahun dan 25.5 tan/ha/tahun sedangkan tahun ketujuh masing-masing mendapat 26.6 tan/ha/tahun dan 26.4 tan/ha/tahun hasil sawit. Daripada sini nyata sekali hasil sawit tidak diganggu secara signifikan. Justeru itu ia dianggap sebagai satu integrasi yang relevan.

Dari segi analisis ekonomi, andai kata setiap pokok matang salak mengeluarkan buah 8kg/tahun dengan harga ladang RM4.00/kg, maka pendapatan kasar setahun ialah RM8,960 (8kg x 280 pokok/ha x RM4.00). Berdasarkan kiraan ini, maka tempoh hayat ekonomi tanaman salak untuk 20 tahun akan menjana pendapatan kasar RM179,200/ha (RM8,960 x 20 tahun). Apabila ia ditolak dengan perbelanjaan diperlukan sebanyak RM1,759/ha/tahun, pendapatan bersih ialah RM7,201/ha/tahun bersamaan RM144,020/ha/20 tahun. Kiraan ini belum menolak perbelanjaan membeli anak benih dan penyediaan tanah serta upah penanaman di ladang pada tahun pertama yang setakat RM2,610. Demikianlah potensi komersial integrasi salak-sawit sebagimana dinyatakan dalam kajian tersebut.

 

Bahan rujukan dan sumber sebahagian photo :

1. Norkaspi Khasim and Raja Zulkifli Raja Omar, “Production of Salak (Salacca zalacca) Integrated with Oil Palm”, MPOB Information Series, July 2017, MPOB TT No. 611.
2. Rukayah Aman, “Under-Exploited Fruits”, Breeding Horticulture Crops @ MARDI, Eds. Chan Ying Kwok et al., MARDI, 2008, hal. 309-311.

 

Hantar blog ini kepada :