You are currently viewing Pasaran Sedia Ada Membaloikan Penanaman Limau Madu

Pasaran Sedia Ada Membaloikan Penanaman Limau Madu

Limau madu (Citrus sinensis) mempunyai potensi pasaran yang baik dalam negara kerana ia boleh dimakan segar ataupun diproses menjadi produk jus. Saiz buah yang agak besar dan berat juga menarik minat ramai pengusaha tanaman untuk mengusahakan tanaman ini. Namun begitu, penyakit Citrus Greening atau nama lain Huanglongbing atau penyakit Yellow Dragon yang paling mengancam tanaman ini sering menggerunkan pengusaha tanaman untuk menceburi ke bidang tersebut.

Penyakit ini direbakkan oleh sejenis serangga dikenali sebagai “Asian citrus psyllid” (Diaphorina citri Kuwayama (ACP)) yang mana jangkitan akan menyebabkan kematian pokok. Sehingga kini didapati tiada penyelesaian untuk penyakit ini melainkan penggunaan bahan tanaman berdaya rintang terhadap penyakit ini yang kononya sudah dikomersialkan di pasaran.

Penyakit Menggerunkan Tidak Berleluasa

Pada hakikat, penyakit ini tidak berleluasa di semua kawasan penanaman, justeru di kawasan tidak mengalami kejadian ini, ramai pengusaha tanaman tetap berminat dan terus mengusahakannya di kebun masing-masing. Menurut laporan, terdapat pengusaha tanaman limau madu dan hijau biarpun sudah berkecimpung di bidang ini melebihi 10 tahun namun kebun belum pernah dijangkiti penyakit ini.

Ini kerana kejadian dan rebakan penyakit ini berkaitan rapat dengan agro-iklim yang mana kawasan bertaburan hujan tinggi dan basah dikatakan kurang disenangi oleh perosak serangga tersebut selanjutnya mengurangkan kejadian penyakit. Kejadiaan penyakit tanaman walaupun merupakan malapetaka yang mendukacitakan, namun ia telah mengurangkan saingan bekalan di pasaran justeru membantu pengeluar yang masih mengusahakan tanaman ini mendapat harga pasaran yang lebih tinggi. Harga kebun semasa untuk limau madu gred A ialah RM4.50 manakala limau hijau pada RM3.50.

Limau Madu dan Limau Hijau Ditanam Bersama

Umumnya pengusaha tanaman akan menanam kedua-dua jenis limau madu dan limau hijau bersama untuk memenuhi permintaan pasaran yang berbeza. Lagipun kedua-duanya dari segi pengurusan tanaman tidak jauh berbeza melainkan pokok limau madu disebabkan pertumbuhan ranting yang lebih banyak maka memerlukan pemangkasan pokok yang lebih kerap sehingga beberapa kali setahun berbanding pokok limau hijau pada kadar minimum sekali setahun sudah memadai. Pangkasan ranting sebenarnya bertujuan mengawal bentuk dan ketinggian pokok supaya tidak menyusahkan kerja kutipan hasil.

Sama ada limau madu atau limau hijau, pokoknya akan mula mengeluarkan hasil selepas 3 tahun ditanam. Pada tahun kelima ia akan memberi jumlah hasil yang menggalakkan. Melalui penjagaan yang baik, pokok berumur 20 tahun ke atas masih memberi hasil berekonomi. Jika membandingkan jumlah pengeluaran hasil, tanaman limau hijau adalah lebih tinggi sebanyak dua kali ganda daripada limau madu.

Sungguhpun begitu, bukan semua buah yang terbentuk di atas pokok akan berjaya dikutip pada akhirnya kerana banyak buah kecil terpaksa disingkirkan supaya menjaga kualiti buah khususnya dari segi saiz yang dikehendaki oleh pasaran. Pada masa yang sama, lebih kurang 20% buah terpaksa dibuang kerana diserangi lalat buah dan sudah kehilangan nilai komersial. Buah juga akan gugur dengan sendiri akibat masalah fisiologi dan buah yang gugur ke atas tanah hendaklah dikutip dan ditanam demi mengurangkan populasi lalat buah di kebun. Pada hahikat, buah yang dikutip ini boleh dijadikan kompos untuk dikitarkan semula sebagai nutrien kepada tanaman.

Tidak Perlu Membalut Buah

Salah satu kelebihan penanaman limau madu dan limau hijau ialah buah tidak perlu dibalut dan ini adalah amalan umum di sektor tersebut. Bagaimanapun, tanpa balutan maka buah mudah diserangi perosak serangga khususnya lalat buah, koya, labah merah, ulat pengorek buah dan kutu trips. Lalat buah dan ulat pengorek buah akan merosakkan buah sehingga kehilangan nilai manakala serangan koya, labah merah dan kutu trips hanya memberi bekas kurang seronok dilihat di permukaan kulit sahaja tanpa merosakkan kualiti dalaman buah. Oleh yang demikian, buah limau madu dan hijau umumnya akan dicuci dengan mesin pencuci kemudian digred sebelum dipasarkan. Dengan cara ini, hasil buangan yang tertinggal oleh perosak serangga tersebut dapat dihilangkan.

Serangan perosak serangga dan kulat boleh dikawal melalui semburan racun pada setiap dua minggu. Amalan ini amat penting khususnya semasa pembungaan dan juga pembuahan. Umpamanya semasa pembungaan, serangan kutu trips terhadap putik bunga akan menyebabkan kecacatan buah dan menurunkan nilai komestik buah nanti. Oleh itu semburan racun yang bersesuaian iaitu bersasaran spesifik terhadap perosak serangga dalam tempoh pembungaan adalah penting.

  

Dua Musim Besar Setahun

Dari segi jarak tanaman, pengusaha tanaman kebiasaan menggunakan jarak 16 – 17 kaki di antara pokok walaupun ada juga yang mengguna pakai 20 kaki sebagai jaraknya. Umumnya kawasan satu ekar dapat memuatkan 100 pokok. Sesungguhnya jarak yang lebih besar akan memudahkan kerja harian di kebun serta membolehkan pokok membesarkan dengan lebih baik. Buah liamu madu amnya mengambil 9 bulan manakala limau hijau 8 bulan untuk mencapai ke peringkat kutipan hasil dikira daripada peringkat berbunga. Tanaman ini mempunyai dua musim besar dalam setahun iaitu bulan April-Mei dan bulan Ogos-Sept. Kadang-kadang juga ada pengeluaran hasil kecil selain daripada bulan-bulan tersebut.

Masalah Buah Pecah Boleh Diminimumkan

Secara perbandingan, limau madu lebih mudah berpecah daripada limau hijau terutama berdepan dengan cuaca panas diikuti dengan hujan lebat kilat. Keadaan ini akan membawa kerugian besar kepada pekebun. Pada hakikat, masalah ini adalah disebabkan oleh kulit buah limau yang tebal dan tegang serta kurang elastik pada musim kering, timpaan hujan akan menyebabkan buah berkembang selanjutnya menyebabkan buah pecah.

Memahami hakikat ini, maka pekebun hendaklah mengurangkan kadar pengairan sama ada secara mengurangkan jumlah air yang dipakai ataupun pengairan dipecahkan kepada lebih banyak pusingan dalam tempoh musim kering. Untuk mendapat kepastian mengenai hal ini, sebelum pengairan dijalankan semasa musim kering, buah di atas pokok boleh disemak dengan tangan untuk mengetahui tahap kekerasan dan ketagangan kulit. Sekiranya didapati kulit buah adalah keras dan tegang pada ketika itu, maka kadar pengairan hendaklah dikurangkan supaya mengelakkan kejadian buah pecah.

Selain itu, melalui pembajaan boron dan kalsium serta penjagaan pH tanah supaya tidak masam juga amalan baik yang dapat menyumbang kepada pengurangan kejadian buah pecah. Begitu juga pembekalan nutrien lain sperti NPK, baja organik dan baja tahi ayam yang sudah difermentasikan akan membekal elemen asas untuk memupuk tumbesaran dan pengeluaran hasil lumayan kepada tanaman limau madu dan juga limau hijau. Amalan ini boleh dijalankan sebulan sekali secara bergilir-giliran antara ketiga-tiga jenis baja tersebut itu.

Potensi Hasil dan Pemasaran

Di bawah amalan agronomi yang munasabah, sepohon pokok limau madu matang berumur 4 tahun dapat memberi hasil buah melebihi 100kg setahun. Berdasarkan satu ekar dapat ditanami 100 pokok dan buah dijual pada harga kebun purata RM4.00/kg, bermakna pendapatan kasar setahun ialah RM40,000/ekar. Anggaran sumber pendapatan ini adalah bergantung pada beberapa faktor termasuk keadaan agro-iklim, amalan agronomi dan harga buah di pasaran.

Pemasaran buah limau madu dan hijau tidak menghadapi masalah dalam negara kerana permintaan yang sedia ada sama ada di kota besar ataupun di pekan-pekan. Industri pembuatan jus juga menyumbang kepada permintaan tersebut. Untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi, pekebun boleh membuat pemasaran secara sendiri iaitu melalui tempahan dan penghantaran terus ke rumah pembeli. Dengan cara demikian harganya boleh meningkat melebih RM10.00/kg dengan syarat buah-buahan itu hendaklah berkualiti tinggi, manis, bersih dan bebas daripada kesan serangan perosak.

Buah limau madu atau hijau juga boleh dipasarkan melalui cara pemetikan oleh pembeli secara sendiri di kebun. Kononnya kawasan seluas 8 hektar dapat memberi hasil petikan sebanyak 200 – 300kg/hari. Biarpun buah-buahan petikan oleh pembeli sendiri mendapat harga jualan lebih murah, tetapi ia sungguh menjimat masa dan tenaga buruh daripada pihak pekebun justeru juga satu kaedah pemasaran yang berbaloi.

Hantar blog ini kepada :