Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Pendahuluan
Kajian terhadap tanaman durian di negara Thailand merangkumi spektrum yang lebih luas kerana buah durian di negara itu berorientasikan eksport selain penggunaan domestik. Sehubungan itu, Pusat Penyelidikan Chanthaburi Horticulture Research Center (CHRC) telah telah ditugaskan oleh Jabatan Pertanian Thailand untuk menjalankan kajian khususnya ke atas 3 jenis tanaman buah-buahan tropika iaitu durian, rambutan dan manggis di daearah Chanthaburi yang banyak ditanam di daerah itu.
Hasil kajian itu bertujuan memberi pengetahuan menyeluruh kepada penanam buah-buahan di negara Thailand terutama dalam aspek penggendalian proses pembungaan dan pembuahan tanpa mengabaikan aspek kualiti buah yang akan dihasilkan. Usaha ini turut bertujuan memacu para penanam menghasilkan kualiti buah-buahan yang menepati kehendak pasaran serta mengeluarkan hasil buah semasa pasaran mempunyai permintaan. Dengan cara ini, buah-buahan yang dihasilkan khususnya di luar musim akan memperolehi harga pasaran yang lebih tinggi untuk memanfaatkan para penanam.
Justeru itu, artikel ini akan menyampaikan satu pakej teknologi daripada CHRC mengenai tanaman durian dalam aspek perangsangan pembungaan, pembuahan dan juga tumbesaran buah. Pakej teknologi ini boleh digunakan oleh penanam durian di Malaysia kerana dari segi teori dan amalan, ia adalah sesuai walaupun agro-iklim di Thailand sedikit berbeza dengan Malaysia.
1.0 Proses Pembungaan dan Pengurusan
Perangsangan bunga tanaman durian memerlukan faktor luaran dan dalaman. Faktor dalaman merangkumi tahap keupayaan pokok durian untuk berbunga dan aspek ini adalah bergantung pada tahap kemampuan pokok dalam membekal makanan kepada bahagian-bahagian pokok dengan secukupnya serta sama ada pokok itu mempunyai kesimbangan hormon tumbuhan yang munasabah. Faktor luaran pula pada asasnya ialah keperluan syarat cuaca kering selama 7 – 14 hari berturut-turut. Kombinasi kedua-dua faktor ini yang akan menggerakkan proses pembungaan tanaman durian yang akan diilustrasikan dalam 5 tahap berikutnya. Di samping itu, suhu rendah antara 20 – 22°C dan kelembapan udara relatif antara 50 – 60% adalah faktor diperlukan untuk pembentukan bunga (flower development).
Tahap 1 : Tahap ini memberi fokus kepada pertumbuhan vegetatif pokok durian. Pokok yang ditanam perlu dikendalikan dengan amalan pangkasan, pembajaan, pengairan dan kawalan perosak serta penyakit untuk memupuk pengeluaran daun yang sihat. Daun yang sihat akan mengoptimumkan proses fotosintesis serta menjana dan menyimpan makanan yang cukup untuk keperluan proses pembungaan nanti. (Nota pengarang : Dengan kata lain, untuk mendapat pembungaan yang baik, pokok hendaklah dijaga supaya bertumbuh dengan sihat. Pokok yang sihat baru boleh meningkatkan potensi pembungaan).
Tahap 2 : Apabila cuaca kering berturut-turut sudah wujud, inilah keadaan sekitaran yang sesuai untuk merangsang pembungaan tanamn durian. Dalam masa ini, satu set hormon tumbuhan yang sesuai dan seimbang adalah diperlukan untuk merangsangkan proses pembungaan. Dalam senario ini, pokok yang sihat dan mempunyai bekalan makanan secukupnya bersama keadaan cuaca kering tersebut akan memupuk pembungaan pada pokok tersebut.
 Â
Tahap 3 : Dalam tahap ini, pelbagai reaksi dalaman pokok akan berlaku. Reaksi ini termasuk fisiologi dan biologi di peringkat molikular dan morfologi. Dengan adanya suasana perangsangan yang sesuai, siri reaksi ini akhirnya akan menghasilkan tunas bunga yang bersedia tumbuh dari bahagian bawah kulit dahan pokok.
Tahap 4 : Tunas bunga akan berkembang menjadi bunga kecil di bawah dahan pokok yang dapat dilihat dengan mata kasar pada tahap ini.
Tahap 5 : Bunga akan terus membesar, berkembang dan mekar dalam tahap ini. Sumber makanan yang disimpan dalam pokok di tahap 1 itu akan digunakan sebagai sumber tenaga untuk menyempurnakan proses pembungaan ini.
Dari penerbitan tunas bunga sehingga bunga mekar sepenuhnya mengambil masa lebih kurang 2 bulan. Jambak bunga durian akan tumbuh pada dahan utama dan dahan melintang. Bunga amnya tidak terdapat di bahagian batang pokok. Setiap jambak mempunyai 8 20 bunga. Stigma bunga yang berlendir akan muncul pada jam 1.00 pm iaitu 2 jam sebelum bunga mekar dan akan terus mengekal sehingga waktu pagi hari keesokan. Dengan kata lain, tempoh masa bagi stigma menerima debunga adalah selama 18 – 20 jam.
Bunga durian biasanya berkembang pada lewat petang. Karung debunga (anther) dari bunga jantan akan pecah lebih kurang jam 6 – 7 pm atau lebih lewat bergantung pada varieti durian. Pada waktu larut malam, semua bahagian bunga termasuk stamen melainkan pistil, akan jatuh ke atas tanah. Namun begitu, semua bahagian bunga boleh juga kekal di atas pokok sehingga waktu pagi hari keesokan jika pengurusan air dijalankan semasa pembentukan dan pembesaran bunga.
1.1 Pengurusan Perangsangan Dan Pembentukan Bunga
Adalah perlu untuk diingatkan bahawa tahap kesihatan yang tinggi pada pokok durian adalah salah satu asas penting untuk memupuk pengeluaran bunga. Oleh yang demikian, penjagaan pokok sebelum pembungaan hendaklah dijalankan dengan baik untuk menggalak pertumbuhan daun matang yang sihat. Daun matang yang sihat ini biasanya cerah dan berkilau. Daun-daun sihat ini hendaklah dijaga supaya kerosakan oleh perosak tidak melebihi 5% daripada jumlah daun pada seluruh pokok.
Begitu juga jumlah dahan dan ranting pada pokok yang diserangi oleh perosak tidak harus melebihi 5%. Pokok juga harus berwas-was terhadap penyakit Canker yang disebabkan oleh spesies kulat Phytophthora. Dengan kata lain, pokok yang sihat dan cergas sahaja yang lebih bersedia untuk berbunga dengan optimum selepas rawatan rangsangan bunga dijalankan.
1.2 Merangsang Proses Pembungaan Melalui Rawatan Air
Sebagaimana diketahui, untuk memaksa penghasilan tunas bunga, cuaca kering selama 7 14 hari berturut-turut yang menyebabkan kandungan air dalam daun berada di paras -0.8 Mpa adalah diperlukan. Apabila daun melendut, inilah petanda bahawa daun telah menerima stres optimum dari cuaca kering yang wujud. Di bawah keadaan sekitaran yang normal, apabila suhu udara berada di antara 1835°C, pengairan lebih kurang 10mm (1mm = 1 liter air untuk keluasan 1 m2 di bawah pokok) boleh diberikan.
Pengairan kedua hendaklah dimulakan apabila tunas bunga halus sudah kelihatan di bawah dahan pokok. Tunas bunga ini mulanya menerbit di dahan-dahan kecil. Pada masa ini pengairan diberikan pada kadar 60% daripada sejatan dulang harian (daily pan evoporation)* selama lebih kurang 1 minggu untuk menggalak tumbesaran tunas bunga di tahap awal ini. Untuk mencapai pertumbuhan bunga yang normal pada tahap seterusnya, pengairan pada kadar 75 – 85% sejatan dulang harian adalah dicadangkan.
Apabila suhu udara jatuh ke bawah 18°C, pengairan pada kadar 20 – 25% sejatan dulang harian diperlukan secara berselang hari sehingga tunas bunga muncul di dahan-dahan kecil. Air kemudian diberikan untuk mendapat pertumbuhan bunga yang normal. Bagaimanapun, sekiranya suhu udara melebihi 35°C, pengairan pada kadar 10 mm diberikan sebagai amalan permulaan, 7 hari kemudian pengairan pada kadar 40 – 50% sejatan dulang harian diberikan secara berselang 3 hari sehingga tunas bunga muncul. Seterusnya, pengairan pada kadar 75 – 85% sejatan dulang harian diberikan untuk memupuk pertumbuhan dan pembentukan bunga yang normal.
1.3 Pertumbuhan dan Pembentukan Tunas Bunga Memerlukan Pembajaan
Keadaan pembungaan perlu diberi perhatian. Jikalau jumlah dahan yang berbunga adalah kurang daripada 60% jumlah dahan yang seharusnya berbunga pada pokok serta apabila setiap meter panjang dahan mendapat kurang daripada 3 jambak bunga, maka pembajaan hendaklah dijalankan untuk meningkatkan kadar dan kepadatan bunga di atas pokok. Pada masa ini, potassium nitrate (13 N – 0 – 46 K20) pada kadar 100 – 200 gram dan ekstrak rumpai laut pada kadar 60 ml dibancuh 20 liter air disembur pada daun pokok di peringkat tunas bunga baru muncul. Kaedah ini akan dapat meningkatkan jumlah bunga di atas pokok. Dalam tempoh masa pembungaan ini, perosak serangga seperti kutu thrip, ulat makan bunga dan penyakit bersabitan P. palmivora dan antraknos hendaklah dikawal supaya tidak menjejaskan bunga yang ada.
1.4 Penjarangan Bunga
Jika bunga tumbuh dengan terlalu banyak, penjarangan bunga hendaklah diusahakan. Amalan ini dijalankan pada masa 5 minggu selepas tunas bunga muncul dari dahan pokok jika setiap satu meter panjang dahan menghasilkan lebih daripad 6 jambak bunga ataupun jika beberapa tahap pembungaan didapati pada dahan yang sama. Cara menentukan penjarangan bunga ialah bunga yang tumbuh pada dahan yang bergaris pusat kurang daripada 2 cm atau yang tumbuh di hujung dahan hendaklah dibuang. Kepadatan bunga yang optimum ialah 3 – 6 jambak bunga dikekalkan pada ukuran 1 meter panjang dahan dan berjarak 30 cm antara setiap satu.
2.0 Pengurusan Pembentukan Buah (Fruit-Setting)
Berikutan pembungaan, pembentukan buah adalah aspek terpenting demi mendapat hasil buah yang tinggi kelak. Bunga yang banyak tidaklah berguna sekiranya bunga-bunga yang tumbuh tidak berjaya membentuk buah. Justeru itu, pengurusan aspek ini amatlah penting.
Sebagai permulaan, bunga betina mesti didebungakan untuk menjadi buah. Oleh itu, kebernasan atau viabiliti debunga adalah penting. Viabiliti ini walaupun berbeza mengikut varieti durian, seperti Monthong, Chanee dan Kanyao masing-masing pada kadar 90%,94% dan 96%, tetapi debunga yang sudah tua sama-sama akan hilang kebernasan dan seterusnya menurunkan kejayaan pendebungaan. Debunga juga akan rosak jika ditimpa hujan lebat, kabus tebal ataupun mengalami suhu udara yang sejuk iaitu lebih rendah daripada 18°C.
Â
Kebernasan debunga akan menurun selepas satu hari pemecahan dari karung (anther) bunga. Begitu juga air hujan dan kabus sanggup mencairkan lendir pada stigma selanjutnya merendahkan kadar kejayaan pendebungaan. Debunga yang melekit pada stigma akan juga dilarikan oleh air hujan atau kabus tebal. Senario ini menerangkan kenapa pembentukan buah tidak terjadi selepas hujan atau apabila kelembapan udara adalah tinggi semasa pengembangan penuh bunga pada pokok. Keadaan ini juga mengimplikasikan bahawa pengurusan air sebelum pemekaran bunga sepenuhnya adalah perlu untuk meingkatkan kadar pembentukan buah pada pokok durian.
2.1 Aplikasi Baja Untuk Memupuk Pembentukan Buah
Kalsium (Ca), boron (B), magnesium (Mg) dan Kalium (K) pernah dicadangkan sebagai nutrien utama dalam memupuk percambahan debunga dan pertumbuhan tiub debunga. Selanjutnya, sudah didemonstrasikan bahawa durian memerlukan Ca pada kadar 50 – 90 ppm, B pada 30 – 60 ppm, Mg pada 15 – 30 ppm dan K pada 15 – 30 ppm untuk membolehkan debunga bercambah. Kadar yang lebih rendah atau lebih tinggi sama-sama akan mengakibatkan percambahan debunga serta pertumbuhan tiub debunga yang lemah.
Selain itu, sudah didapati bahawa daun durian mengandungi tahap Ca, K dan Mg yang lebih tinggi daripada tahap optimum untuk percambahan debunga sedangkan tahap B berada di tahap lebih rendah. Keadaan ini membangkitkan nisbah 337 : 1 yang tidak seimbang di antara Ca dan B yang sepatutnya berada pada paras seimbang iaitu 200 1. Justeru, penanam durian boleh menyembur kalsium dan boron pada masa 6 minggu selepas kemunculan tunas bunga untuk memupuk kadar percambahan debunga.
2.2 Pengurusan Air Untuk Memupuk Pembentukan Buah (Fruit- Setting)
Satu minggu sebelum bunga mengorak sepenuhnya atau pada masa 7 minggu selepas tunas bunga muncul, pengairan dikurangkan dari kadar biasa kepada 20 – 25% sejatan dulang harian sehingga bunga mengorak sepenuhnya. Sekiranya suhu udara melebihi 36°C, pengairan harian pada kadar saranan hendaklah diberikan. Jika bunga mengorak sepenuh pada masa jam 3 pm, ia adalah satu petanda yang menyatakan rawatan air telah diberikan dengan sempurna.
Pembentukan buah berlaku dalam tempoh masa 3 hari selepas bunga mengorak. Apabila putik buah sudah terjadi, Kadar pengairan ditingkatkan beransur-ansur sehingga 60 – 70% sejatan dulang harian di peringkat masa 3 minggu selepas pengorakan bunga untuk memupuk pertumbuhan putik buah atau buah kecil supaya tidak gugur awal.
2.3 Pendebungaan Berbantu Untuk Meningkatkan jumlah Buah
Untuk meningkatkan kadar kejayaan pendebungaan, amalan pendebungaan berbantu boleh dijalankan jika didapati sebanyak 25% daripada jumlah bunga di atas pokok telah berkembang. Debunga yang ingin digunakan mestilah dari varieti durian lain ataupun dari varieti yang sama tetapi dari pokok yang lain. Masa paling sesuai untuk menjalankan pendebungaan tersebut ialah antara 6.30 pm – 9.30 pm atau lebih lewat kerana inilah tempoh masa optimum untuk menjayakan proses pendebungaan.
3.0 Pengurusan Pertumbuhan dan Pembesaran
Buah durian akan membesar dengan cepat semasa 8 – 12 minggu dari masa bunga mengorak. Dalam tempoh masa ini, berat buah sanggup meningkat 16 gram/hari/buah. Oleh yang demikian, makanan secukupnya hendaklah ada untuk menyokong keperluan pembesaran buah serta untuk memastikan kualiti buah tidak terjejas ekoran bekalan makanan yang tidak mencukupi.
Demi mendapat hasil buah durian yang lebih tinggi serta dengan kualiti buah yang dapat diterima oleh pasaran, beberapa amalan dan teknik berikut boleh diterapkan dalam tempoh pembentukan dan pembesaran buah.
 A – Penjarangan Buah
Di Thailand, penjarangan buah adalah salah satu teknik paling penting untuk memupuk pembesaran buah durian serta demi mendapat bentuk buah dan kualiti buah yang diterima oleh pasaran. Penjarangan pertama boeh dijalankan di peringkat masa 4 – 5 minggu selepas bunga mengorak. Buah yang sangat kecil, cacat atau buah yang tumbuh di posisi dahan yang tidak sesuai atau buah yang tumbuh tidak serentak dengan buah-buah lain hendaklah dibuang.
Selepas penjarangan pertama ini, jumlah buah yang masih kekal di atas pokok hendaklah berjumlah 2 – 3 kali lebih banyak daripada kemampuan pokok itu menampung. (Nota pengarang: Sebagai contoh, jika pokok durian itu mampu menampung 50 biji buah sehingga peringkat matang menurut umur pokok, maka jumlah buah yang harus dikekalkan di atas pokok selepas amalan penjarangan pertama ialah lebih kurang 100 – 150 biji kerana terdapat amalan penjarangan pusingan berikutnya yang mana buah yang tidak menepati spesifikasi akan dibuang selanjutnya). Menurut kajian, sebanyak 330 helai daun yang sihat akan menjana makanan secukupnya untuk keperluan pembesaran sebiji buah durian ke peringkat matang dan masak.
Seminggu selepas itu, penjarangan pusingan kedua dimulakan terhadap buah yang kecil dan juga buah yang lambat membesar serta buah yang dirosakkan oleh perosak atau penyakit hendaklah dibuang. Duri buah sekiranya berwarna merah perang amnya adalah buah yang lambat membesar. Putik buah yang berumur 6 minggu hendaklah dipantau setiap minggu sehingga minggu ke-10. Buah yang cacat seperti buah yang sempit di bahagian hujung atau bahagian atas buah hendaklah dibuang. Keseluruhannya, penjarangan seharusnya dijalankan sebanyak lebih kurang 5 pusingan. (Nota pengarang: Penjarangan buah durian jarang diamalkan di Malaysia kerana buah yang masak umumnya dijual di pasaran tempatan berdasarkan berat dan juga kualiti buah seperti cita rasa yang ada dan bukannya keseragaman bentuk atau saiz buah. Di Thailand, keseragaman bentuk dan saiz buah durian adalah penting kerana ia lebih berorientasikan pasaran eksport).
B – Pembajaan Dan Pengairan
Baja yang direkomendasikan untuk memupuk pembesaran buah durian ialah 12N – 12 P205 – 17 K20 + 2 MgO (rumusan 12/12/17 + 2) atau 8 N – 24 P205 24 K20 ( rumusan 8/24/24) atau 13 N – 13 P205 – 21 K20 ( rumusan 13/13/21). Pilihan baja ini boleh diaplikasikan di peringkat masa 5 – 7 minggu selepas bunga mengorak. Baja lain yang boleh dipakai di peringkat masa 9 – 10 minggu dari masa bunga mengorak ialah 0 – 0 – 50 K20 (rumusan 0/0/50) untuk meningkatkan kualiti isi buah.
Dari segi pengairan, untuk memupuk pembentukan buah yang normal, dicadangkan kadar pengairan pada 70% daripada sejatan dulang harian di peringkat masa 3 – 4 minggu selepas bunga mengorak, kemudian pada kadar 75% di peringkat masa 5 – 7 selepas bunga mengorak, kadar 85% di peringkat masa 8 – 10 minggu dan akhirnya dikurangkan kepada kadar 75% di peringkat masa 11 – 12 minggu dan 60% daripada sejatan dulang harian selepas 12 minggu dari masa bunga mengorak.
C – Kawalan Perosak Semasa Pembesaran Buah
Ulat penggorek biji buah, penggorek buah durian dan kutu mealy bugs adalah perosak utama bagi buah durian di peringkat membesar. Kerosakan buah disebabkan oleh kulat P. palmivora juga harus diawasi supaya tidak menjejaskan hasil dan kualiti buah.
D – Kawalan Pertumbuhan Pucuk Muda Di Peringkat Pembesaran Buah
Dalam tempoh pembesaran buah, pengeluaran pucuk baru akan bersaing dengan buah untuk mendapatkan makanan. Keadaan ini yang selalu menyebabkan buah gugur sebelum matang. Atas sebab yang sama, buah juga akan herot di peringkat masa 5 – 8 minggu selepas bunga mengorak atau isi buah menjadi keras atau separa masak di peringkat masa 8 – 12 minggu selepas bunga mengorak. Pengairan mengikut kadar saranan dari minggu 3 – 4 selepas bunga mengorak dapat mengurangkan pengeluaran pucuk baru.
Penanam durian sekiranya ternampak puck baru terhasil dalam tempoh dalam tempoh masa ini, penyemburan potassium nitrate 150 – 200 gram/20 liter air adalah digalakkan untuk mengawal pertumbuhan pucuk baru pada pokok durian. Pertumbuhan pucuk baru yang berlaku di peringkat lebih lewat boleh dikawal dengan menyembur satu campuran cecair di antara 30 ml instant carbohydrate, 30 ml asid humid dan 60 gram 15 N 30 P205 15 K20 atau baja foliar 10 N 20 P205 30 K20 bersama 50 ml mepiquat chloride (25% a.i) dalam 20 liter air.
Campuran baja ini akan berfungsi sebagai bahan makanan kepada pucuk baru manakala mepiquat chloride yang merupakan sejenis penghalang tumbesaran sintetik pokok akan menghalang pertumbuhan pucuk baru melalui pengurangan tahap gibberellins dalam pokok.
Sumber maklumat :
Surmsuk Salakpetch, “Durian (Durio zibethinus L.,) Flowering, Fruit Set and Pruning”, Chanthaburi Horticulture Research Center, Chanthaburi, Thailand, 15th Annual International Tropical Fruit Conference Proceedings, 2006.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com