Penggunaan racun sebagai input pertanian dalam kawalan penyakit dan serangga perosak tanaman dengan berhati-hati akan memberi kesan positif dalam peningkatan hasil pertanian. Ini termasuk pemilihan racun bersesuaian daripada pengeluar ternama demi mendapat jaminan kualiti supaya tidak menjejaskan prestasi tanaman, kesejahteraan alam sekitar dan kesihatan manusia. Ini satu pendekatan yang harus dijalankan bersama amalan kultur supaya habitat serangga bermanfaat dan keseimbangan alam sekitar dapat dipelihara.
Keadaan ini boleh disempurnakan melalui sistem penanaman giliran iaitu selepas penanaman satu jenis tanaman, pusingan berikutnya hendaklah diusahakan dengan tanaman lain supaya mengurangkan penjejasan kesuburan tanah di samping merendahkan kadar serangan serangga perosak dan juga penyakit kulat.
Pada konteks lain, racun kimia pra cambah biasanya digunakan selepas penyediaan tanah khususnya untuk tanaman sayur-sayuran. Dengan cara ini, pertumbuhan rumpai dapat dikawal dari akar umbi dan dalam keadaan dibenarnya seperti kecukupan tenaga buruh, merumput secara manual adalah digalakkan. Sungkupan plastik berkilau juga biasa digunakan untuk mengawal serangan rumpai di kebun tersebut serta pada masa yang sama menghalau serangga perosak kerana kilauan sungkupan tidak digemari oleh kebanyakan serangga perosak.
Daripada sini, jelas kelihatan bahawa kawalan secara kaedah racun kimia dan kultur digunakan bersama untuk mendapat kesan kawalan. Tentu sekali ia akan menjimatkan perbelanjaan ke atas penggunaan racun kimia. Namun begitu, ini tidak bermaksud semburan racun dapat dielakkan sebaliknya hendaklah dilaksanakan sekali setiap 7 – 10 hari supaya hasil tanaman tidak terjejas.
Bagi melestarikan tanaman, baja tahi ayam yang sudah difermentasikan sering digunakan. Bagi tanaman buah-buahan, sepohon pokok dibekalkan dengan satu beg baja tersebut setiap dua bulan manakala tanaman sayur-sayuran pula, ia umumnya digunakan sebagai baja asas iaitu dicampurkan ke dalam tanah batas kemudian digaul rata dengan menggunakan jentera. Pembajaan yang cekap akan menguatkan tanaman selanjutnya meningkatkan daya rintangan terhadap ancaman penyakit malah serangga perosak.
Di sektor penanaman buah-buahan, beberapa serangga perosak terutama lalat buah dan kutu trips sering memberi ancaman terhadap kualiti buah yang akan menurunkan harga pasaran akibat kerosakan wajah buah. Misalnya pamelo selalu menghadapi ancaman besar daripada kutu trips yang menggugat kesempurnaan bunga dan buah sehingga mampu menjejaskan hasil. Oleh yang demikian, racun serangga berkualiti hendaklah digunakan sekurang-kurangnya seminggu sekali dan dalam keadaan serangan serius, semburan racun berkenaan hendaklah dijalankan setiap 3 hari sehingga populasi serangga itu jatuh ke paras yang rendah. Semburan pada waktu pagi didapati memberi kesan kawalan yang lebih baik.