You are currently viewing Belajar Konsep Asas Hidroponik Agar Boleh Buat Sendiri di Rumah

Belajar Konsep Asas Hidroponik Agar Boleh Buat Sendiri di Rumah

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 0082
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Seorang pekebun yang berjaya perlu mengetahui tentang tanah, baja, air dan cahaya. Tiga perkara yang awal ini menjadi mudah apabila berkait dengan hidroponik.

Kita mulakan dengan persoalan asas iaitu apa itu hidroponik? Hidroponik ialah sebuah konsep bercucuk tanam tanpa menggunakan tanah. Istilah hidroponik dibina daripada dua perkataan Latin iaitu hidro dan ponik yang bermaksud air yang bekerja.

Di Malaysia, hidroponik mula terkenal sekitar tahun 2000 apabila berlaku kenaikan harga barang yang mendadak. Namun ianya bersifat sementara sahaja. Mungkin kerana faktor kurang maklumat dan kefahaman bagaimana hidroponik ini bekerja. Namun begitu, pada awal 2016, semakin ramai ingin mempelajari asas hidroponik yang boleh dibuat di rumah.

Di dalam artikel kali ini, saya akan menerangkan konsep asas sebagai pekebun bandar patut kita tahu. Kita akan berkenalan dengan sejarah dan keperluan asas hidroponik seperti medium sokongan dan baja AB.

 

Isi Kandungan

  • Pengenalan Hidroponik
  • Kelebihan Hidroponik
  • Kekurangan Hidroponik
  • Medium Sokongan
  • Larutan Baja AB
  • Mengapa dinamakan baja AB?
  • Keperluan Hidroponik
  • Jenis Sistem Hidroponik
    > Sistem Water Culture
    > Sistem Pasang Surut (Ebb and Flow)
    > Teknik Tipisan Nutrien (TTN)
    > Sistem Aeroponik
    > Sistem Sumbu
  • Tanaman Hidroponik Cepat Tumbuh
  • Kesimpulan
  • Rujukan

 

Pengenalan Hidroponik

Kajian penanaman tumbuhan tanpa tanah boleh dikesan sejak tahun 1600-an lagi. Ahli saintis seperti Belgian Jan Van Helmout (1600), John Woodward (1699), Bassungault (1850), Sachs dan Knop (1860) dan W. F. Gericke (1930) telah banyak menyumbang maklumat ke arah menghasilkan sistem hidroponik yang baik.

Van Helmout adalah saintis terawal dengan kajian terhadap hubungan antara air dan tumbuhan. Beliau mendapati tumbuhan memerlukan air bagi bagi mendapatkan bahan-bahan asas untuk hidup.

Kajian John Woodward pula mendapati air daripada tanah memberi sumber bahan untuk tumbuhan hidup. Beliau merumuskan air dan tanah juga saling bergantungan untuk membekalkan bahan keperluan dan nutrien kepada tumbuhan.

Seterusnya, Bassingault menggunakan pasir sebagai medium sokongan. Di sinilah bermulanya kaedah kultur pasir dalam penanaman tanpa tanah. Walaupun begitu, kajian oleh Sachs dan Knop melengkapkan pengetahuan kultur penanaman tanpa tanah. Mereka mendapati larutan nutrien yang mengandungi nitrogen, fosforus, sulfur, kalium, kalsium dan magnesium berjaya menghasilkan tumbuhan sihat.

W. F. Gericke telah menamakan kaedah kultur tanpa tanah ini secara komersil dengan nama hydroponic pada tahun 1930-an. Secara teknikalnya, beliaulah mempopularkan istilah ‘hidroponik’. Jadi tiada isu cantuman dua istilah menjadi satu dalam apa-apa bahasa pun termasuklah bahasa Inggeris dan Melayu.

Sistem hidroponik ini mula berkembang sekitar 1950-an. Perkembangan ini tertumpu pada negara beriklim sederhana seperti Jepun, Rusia, Itali, Sepanyol, Perancis, England, Jerman, dan Sweden. Dewasa ini, perkembangan sistem ini mula merebak pada negara-negara cuaca panas seperti Mexico, Timur Tengah dan negara-negara tropika.

Di Malaysia, penggunaan sistem hidroponik mula diusahakan oleh Kolej Pertanian Malaya (kini dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia dan ditukar istilah pertanian kepada putra) pada 1950-an.

Selepas itu, sistem ini diperkembangan kepada pelajar mereka. Syarikat swasta mula menggunakan kaedah hidroponik sekitar awal tahun 2000. Manakala pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bergiat cergas dalam kajian hidroponik.

 

Kelebihan Hidroponik

Sistem hidroponik mempunyai beberapa kelebihan berbanding kaedah penanaman konvensional atas tanah.

1.Pengeluaran hasil yang lebih tinggi
2.Bekalan nutrien seimbang berterusan kepada tanaman
3.Penanaman tidak terikut dengan cuaca setempat
4.Sayur dan buah yang dihasilkan seragam kerana bahan nutrien dan nilai pH diberi secara kawalan dan sekata
5.Kualiti buah atau bunga lebih tinggi
6.Penyakit bawaan tanah yang dibawa oleh nematod dapat dielakkan
7.Kos membajak, merumpai, membuat batas dan menyiram tiada
8.Jenis Sistem Hidroponik

 

Kekurangan Hidroponik

Walaupun begitu, kaedah hidroponik tetap ada kelemahannya.

1. Kos permulaan yang tinggi bagi membeli peralatan yang sesuai
2. Penyakit cepat merebak jika air tercemar
3. Memerlukan kemahiran teknikal seperti penyediaan larutan nutrien, menguji pH dan keberaliran elektrik (EC)
4. Tidak semua tanaman boleh guna sistem hidroponik

 

Medium Sokongan

Pada awalnya, di Malaysia kita banyak menggunakan pasir, batu kerikil dan pecahan bata sebagai medium sokongan hidroponik. Selepas beberapa kajian, penggunaan pasir, batu kerikil dan pecahan bata tidak lagi digunakan.

Fungsi utama medium sokongan adalah menyokong pokok. Ciri-ciri berikut perlu ada pada medium hidroponik:

1. Berupaya menyimpan kelembapan
2. Saliran yang baik
3. Mempunyai ruang pengudaraan
4. Tidak berbahaya pada tumbuhan
5. Mudah didapati
6. Tidak bertindak balas dengan larutan baja
7. Poros

Contoh medium yang paling banyak digunakan adalah rockwool, bebutir tanah liat yang digelar LECA (lightweight expanded clay aggregate), sabut kelapa hancur (cocopeat), sekam padi bakar, span, kapas, vermikulit dan perlit.

 

Larutan Baja AB

Baja hidroponik lebih dikenali sebagai baja AB atau baja XY. Baja AB mengandungi semua unsur yang diperlukan oleh tumbuhan. Oleh sebab itu baja hidroponik boleh dikatakan sebagai baja lengkap.

Apapun nama diberi, baja hidroponik adalah larutan nutrien yang mengandungi unsur-unsur nutrien berikut:

Unsur Nutrien Bahan Kimia
1. Nitrogen (N) Kalsium nitrat
Kalium Nitrat
Ammonium fosfat
Ammonium sulfat
2. Fosforus (P) Monokalium hidrogen fosfat
Super fosfat
3. Kalium (K) Kalium nitrat
Monokalium fosfat
Kalium sulfat
4. Kalsium (Ca) Kalsium nitrat
Kalsium sulfat
5. Magnesium (Mg) Magnesium sulfat
6. Sulfur (Su) Magnesium sulfat
7. Mangan (Mn) Mangan sulfat
8. Kuprum (Cu) Kuprum sulfat
9. Zink (Zn) Zink sulfat (EDTA)
10. Molibdenum (Mo) Ammonium molibdat
Natrium molibdat
11. Boron (B) Hibor
Asid borik
12. Ferum (Fe) Ferum EDTA / Zat besi (iron chelate)
Ferum sulfat

 

 

Mengapa dinamakan baja AB?

Hal ini kerana terdapat dua pembahagian baja iaitu baja A dan baja B. Walaupun begitu tidak lah terhad AB. Boleh jadi XY, CD, atau apa-apa gabungan. Yang penting terdapat dua pembahagian.

 

BAJA BAHAN
Baja A Kalsium nitrat
Ferum EDTA
Baja B Kalium nitrat
Monokalium hidrogen fosfat
Magnesium sulfat
Mangan sulfat
Hibor (Asid borik)
Zink sulfat
Kuprum sulfat
Natrium molibdat

 

Pembahagian baja A dan baja B ini ada sebabnya. Di dalam baja hidroponik ini terdapat kalsium nitrat, magnesium sulfat dan monokalium hidrogen fosfat.

Ketiga-tiga sebatian ini apabila dicampurkan dengan air akan membentuk ion kalsium yang bercas positif, manakala ion sulfat dan ion fosfat bercas negatif.

Pada kepekatan yang tinggi ion kalsium akan bercantum dengan ion sulfat membentuk kalsium sulfat. Ini dapat dilihat secara fizikal dengan munculnya mendakan putih dalam larutan.

Mendakan putih ini tidak dapat diserap langsung oleh tumbuhan. Oleh itu tumbuhan akan kekurangan unsur nitrogen, fosforus, magnesium dan kalsium.

Oleh sebab itu baja hidroponik dijadikan stok A dan B yang akan dilarut-cairkan sebanyak 100 kali untuk mengelakkan terjadinya mendakan tersebut.

 

Keperluan Hidroponik

Sistem hidroponk bukanlah satu yang anda mahu bina dari kosong jika anda seorang pemula atau newbie yang baru berjinak dengan sistem ini. Sistem sedia bina amat sesuai untuk pemula. Sehingga anda sudah mula dan membuat beberapa kesalahan, sistem sedia mula akan mengurangkan kerugian anda. Anda boleh mengkaji apa yang berkesan dan yang tak untuk anda faham bagaimana sebenarnya hidroponik ini berlangsung.

Sistem sedia bina hidroponik bermula seringkas bekas takungan sehinggalah ke rumah hijau mini. Selalunya disertakan dengan span, baja dan biji benih.

Jika anda membeli sistem yang ringkas, harga bermula serendah RM50 sehinggalah ratusan ringgit bergantung kepada jumlah tanaman yang boleh ditanam.

Sebuah sistem hidroponik memerlukan bekas takungan, larutan baja, tapak untuk tumbuhan, pam.

 

Jenis Sistem Hidroponik

Kalau kita google atau lihat video di youtube, terdapat nama istilah hidroponik. Saya jelaskan secara mudah, segala teknik itu adalah sub-kategori kepada hidroponik selagi teknik itu tidak menggunakan tanah.

Jenis sistem yang anda pilih bergantung kepada berapa luas ruang yang ada dan berapa besar kebun yang ingin anda bina.

 

Sistem Water Culture

Sistem water culture adalah antara sistem yang paling ringkas dan menjimatkan. Ia terdiri daripada sesuatu yang mampu memegang tumbuhan, pam dan batu udara, dan bekas yang menampung nutrien.

Anda boleh masukkan styrofoam dengan pasu untuk terapung. Sistem ini sesuai untuk tanaman sayur daun seperti salad. Pam air dan batu udara dimasukkan bagi membekalkan oksigen pada bekas tersebut.

Kelemahan sistem ini anda tidak dapat menanam tanaman yang besar seperti cili, tomato dan jagung.

 

Sistem Pasang Surut (Ebb and Flow)

Sistem ini membanjiri bekas tanaman untuk beberapa masa sebelum surut. Hal ini dilaksanakan dengan adanya pemasa automatik bersambung dengan pam yang terendam dalam larutan nutrien. Apabila pasang surut ini berlangsung selama beberapa kali dalam sehari, dapat mengekalkan kelembapan pada media tanaman.

Namun, sistem ini memerlukan bekalan elektrik yang berterusan. Jika tempat anda selalu terputus bekalan alat elektrik, mungkin teknik ini tidak berapa disarankan. Ini akan menyebabkan pokok anda nanti kekeringan tidak dapat air yang cukup. Anda boleh atasi dengan menggunakan medium yang menyimpan lembapan seperti wul batuan.

 

Teknik Tipisan Nutrien (TTN)

Teknik tipisan nutrien atau biasa disebut sebagai nutrient film technique (NFT) adalah yang paling banyak kita bayangkan apabila melibatkan hidroponik. Sistem ini membekalkan nutrien secara berterusan pada tumbuhan tanpa memerlukan pemasa. Larutan nutrien sentiasa berkitar antara bekas tanaman dan kembali kepada takungan di bawahnya. TTN tidak menggunakan sebarang media tanaman. Tanaman membesar di dalam bekas sehingga akar mencecah larutan nutrien. Ini adalah teknik yang ideal jika anda mempunyai bekalan elektrik yang berterusan.

 

Sistem Aeroponik

Sama seperti TTN, akar pokok tidak membesar dalam sebarang media tanaman. Akar pokok disembur oleh kabus nipis yang mengandungi larutan nutrien. Pemasa digunakan untuk menyembur kabus nutrien secara berkala.

Sekali lagi, teknik ini berkesan apabila anda mempunyai sumber bekalan air elektrik berterusan.

 

Sistem Sumbu

Sama seperti namanya, sistem sumbu.

 

Tanaman Hidroponik Cepat Tumbuh

Apakah tanaman hidroponik yang cepat tumbuh? Tentunya sayur berdaun seperti kangkung, bayam, sawi dan salad. Kesemua tanaman yang saya nyatakan ini mengambil masa sekitar 4-5 minggu selepas bercambah untuk dituai.

 

Kesimpulan

Saya berharap pembaca dapat sebanyak sedikit memahami apa itu hidroponik, sebuah sistem penanaman tanpa tanah. Dengan anda memahami bahawa hidroponik memerlukan medium sokongan dan baja AB, anda dapat membuat sendiri sistem hidroponik mengikut kesesuaian di tempat anda berada.

Jangan lupa bahawa betapa canggih pun sistem hidroponik kita perlu berbalik kepada keperluan asas tumbuhan hidup iaitu karbon dioksida, nutrien, dan cahaya.

Jika pembaca ada soalan atau pandangan boleh lah tinggal komen anda di bawah.

 

Rujukan :

1. Aziah Arshad. 1996. Menanam Secara Hidroponik. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

2. Pelbagai penulis. 2009. Manual Teknologi Fertigasi Penanaman Cili, Rockmelon dan Tomato. MARDI: Serdang.

3.

                Izham Alias

 

 

Sumber maklumat :

Izham Alias, Kebun Bandar, 25/12/2018

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Yi Nong (M) Sdn. Bhd.
No 102, Jalan Kampung Raja, 39010 Cameron Highlands, Pahang, Malaysia.
Tel: +605-4981333
Fax: +605-4983199
Email: yinong.sdn.bhd@hotmail.com

Sila kongsi kepada kawan :