Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
KENUNIKAN Malaysia menyaksikan setiap pelosok dalam negara mempunyai pelbagai tarikan tersendiri terutamanya dalam bidang pelancongan.
Antara yang popular ialah agropelancongan, iaitu segmen pelancongan khusus yang melibatkan aktiviti melancong atau melawat destinasi tarikan yang dikaitkan dengan pertanian dan ternakan.
Segmen pelancongan itu bukan sahaja membolehkan pelancong melihat bagaimana ladang, taman atau kebun diusahakan, malah mereka juga berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti pertanian.
Bermula dengan penginapan ladang hingga ke tempat perlindungan haiwan dan juga penerokaan taman, agropelancongan bergerak pantas menjadi pilihan popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Berikut adalah beberapa lokasi agropelancongan dalam negara yang sesuai untuk anda teroka:
Taman Flora Cameron
Berkeluasan 2.8 hektar, Taman Flora Cameron yang terletak di Ladang Kea (Kea Farm) di Brinchang, Cameron Highland, Pahang ialah taman yang mempesonakan dipenuhi dengan bunga mekar dan dedaunan yang subur.
Tangga dan laluan pejalan kaki dalam taman membawa pengunjung melalui ladang bunga yang beralun. Semasa bersiar-siar di sepanjang laluan, pelancong akan disambut dengan bauan yang menyegarkan berserta buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan yang berjurai dari udara.
Selain itu terdapat Jambatan Golden Maple dihiasi dengan daun mapel berwarna kuning yang menyajikan pemandangan Cameron Highlands yang cukup menakjubkan.
Antara lokasi indah lain yang turut terdapat di kawasan sekitar taman ini termasuk Petunia Garden, Glass Sanctuary dan Stairway To Infinity. Di Hobbiton Village pula, pelancong berpeluang menikmati hidangan lazat dan minuman yang menyegarkan.
Lavendar Garden dan Cactus Valley juga adalah antara produk pelancongan berdekatan yang wajib dikunjungi terutamanya bagi pencinta tumbuh-tumbuhan. Mereka yang berminat untuk mengunjungi Taman Flora Cameron boleh menuju ke Lot 191 di Brinchang. Ia dibuka setiap hari bermula pukul 9.30 pagi hingga 7 malam.
Ladang Kambing Tenusu Saanen
Di Pulau Pinang, pengunjung boleh merasai pengalaman memeluk anak kambing di Ladang Kambing Tenusu Saanen di Balik Pulau. Dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 2009, ladang berkenaan menempatkan lebih daripada 100 kambing yang mesra pengunjung.
Dibezakan dengan kulit putih dan bulu bersaiz pendek, kambing Saanen adalah baka yang paling tinggi menghasilkan susu, sehingga haiwan itu mendapat jolokan ratu kambing tenusu.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan proses penghasilan susu kambing serta memberi makanan kepada haiwan berkenaan. Pada akhir lawatan, pengunjung boleh mencuba beberapa produk susu kambing seperti ais krim dan yogurt.
Selain kambing, terdapat juga ayam, itik, arnab dan burung unta di ladang sama. Mereka yang berminat boleh ke alamat 298 Mukim 1 Sungai Pinang, Balik Pulau. Ladang berkenaan dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Trong Leisure Farm
Terdapat sebuah ladang itik di Terong, Perak, yang merupakan sebuah pusat peranginan dikenali sebagai Trong Leisure Farm.
Terletak 20 kilometer (km) dari Taiping, Trong Leisure Farm menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung seperti memberi makanan kepada itik, memancing dan mengayuh bot.
Para pengunjung akan menaiki kenderaan seakan kereta api yang ditarik traktor untuk membawa mereka mengelilingi ladang yang berkeluasan lebih 20 hektar.
Bagi mereka yang gemar bergambar, bolehlah mengunjungi Trong Leisure Farm untuk bergambar bersama patung itik gergasi berwarna kuning beserta ribuan itik yang bebas berkeliaran di seluruh kawasan ladang. Trong Leisure Farm dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 malam.
Star Fish Leisure Farm
Terletak di Kulai, Johor, Star Fish Leisure Farm ialah sebuah ladang akuakultur seluas enam hektar.
Terletak di kawasan kelapa sawit, ladang ini mempunyai pelbagai aktiviti luar seperti memancing, memberi makanan kepada haiwan, berbasikal dan cabaran berhalangan.
Bagi mereka yang ingin mencari kelainan, bolehlah bermalam di Star Fish Leisure Farm yang turut menyediakan beberapa jenis penginapan termasuk chalet terapung dan rumah kampung tradisional. Pengunjung juga boleh berkhemah di tapak perkhemahan yang ditetapkan.
Perjalanan ke Star Fish Leisure Farm mengambil masa kira-kira 40 minit dari Johor Bahru dan dibuka dari Rabu hingga Isnin bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Taman Kopi Yit Foh
Bagi penggemar kopi, pengalaman anda tidak lengkap sekiranya anda tidak berkunjung ke Taman Kopi Yit Foh di Tenom, Sabah. Produk agropelancongan ini ialah rumah kepada pengeluar kopi tertua Sabah, Yit Foh, yang dimulakan pada 1960-an oleh Yong Loong Vun.
Kilang Kopi Yit Foh kini berusia sekitar 60 tahun menawarkan pengunjung gambaran kaedah biji kopi dipanggang dan dibungkus. Selain mempelajari tentang penghasilan kopi, pengunjung juga boleh menikmati minuman sambil menikmati persekitaran yang indah.
Pengunjung juga boleh bermalam di chalet atau rumah panjang mereka dan menikmati suasana yang damai. Terdapat sebuah restoran di kawasan berdekatan yang menyajikan hidangan tempatan.
Taman Kopi Yit Foh dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 9.30 malam.
Selain itu, terdapat satu lagi tarikan pelancongan berdekatan bagi pencinta flora dan landskap iaitu Taman Pertanian Sabah yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan.
Sumber maklumat :
Majoriti, 4/4/2024