Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Klon getah PB 350 tergolong dalam klon-klon kumpulan 1 iaitu satu-satu klon yang mempunyai data pengeluaran hasil sekurang-kurangnya 5 tahun di BO-1 dan 2 tahun di BO-II. Klon di dalam kumpulan ini juga mempunyai ciri-ciri sekunder dalam percubaan skala besar dan justeru itu tiada sebarang sekatan atas jumlah klon dan saiz penanamannya sama ada untuk penanaman di estet atau kebun kecil. Dalam kumpulan ini juga, sebanyak 10 jenis klon dikategorikan sebagai klon lateks balak dan 4 jenis sebagai klon lateks. Klon PB 350 ialah klon lateks balak.
Menurut sumber, PB 350 merupakan klon getah yang mengeluarkan hasil lateks kedua paling banyak dalam kajian 10 tahun penorehan bermula dari tahun penorehan pertama sehingga tahun ke-10. Purata hasil lateks tahunan untuk selama 8 tahun bagi klon ini mencatatkan 1,862 kg/ha/tahun iaitu satu pencapaian hasil lebih tinggi secara ketara berbanding klon-klon lateks balak lain seperti RRIM 908, RRIM 911, RRIM 921, RRIM 928, RRIM 929, RRIM 936, PB 260, PB 355 dan PB 359 yang berada dalam lingkungan pengeluaran hasil purata tahunan antara 1,284 kg (PB 355) hingga 1,632 kg/ha/tahun (RRIM 911).
Bagaimanapun, klon PB 936 adalah satu-satu klon yang mendahului PB 350 dalam pengeluaran hasil lateks mencatatkan 2,146 kg/ha/tahun dalam kajian penorehan 10 tahun. Klon PB 350 memberi hasil lateks paling banyak dalam tahun torehan pertama iaitu 1,643 kg/ha/tahun berbanding RRIM 936 pada 1,280 kg/ha/tahun kemudian didahului semula oleh RRIM 936 pada tahun-tahun berikutnya melainkan pada tahun torehan ke-7 yang memperlihatkan PB 350 melebihi RRIM 936 sebanyak 209 kg/ha/tahun dalam pengeluaran lateks.
Dari segi ciri-ciri penting bagi klon-klon di dalam kumpulan 1 ini, PB 350 tetap mempunyai kelebihan yang banyak berbanding klon-klon lain. la mempunyai ciri hasil untuk 2 tahun torehan pertama yang amat baik serta sangat cergas semasa membuka torehan. Sementara itu, ia juga memiliki ciri-ciri lain seperti kerintangan yang baik terhadap kemerosotan musim luruh daun, tahap kering kulit, kerosakan angin serta juga mempunyai penambahan ukurlilitan semasa torehan dan ketebalan kulit dara semasa buka torehan. Bagaimanapun, ciri ketebalan kulit gantian untuk klon PB 350 hanya berada di tahap sederhana sahaja jika dibandingkan dengan klon RRIM 928 dan RRIM 929 yang berada di tahap sangat baik.
Kajian kadar rintangan penyakit bagi klon PB 350 menunjukkan ia tidak dijangkiti penyakit cendawan angin angin dan dan juga Corynespora.
Rintangannya terhadap penyakit Oidium atau juga dikenali penyakit kulapuk berdebu adalah sederhana manakala untuk kadar jangkitan penyakit Colletotrichum atau juga dikenali penyakit luruhan daun sekunder hanyalah amat ringan sahaja.
Untuk tujuan perolehan kayu balak, PB 350 berumur 19 tahun menghasilkan anggaran jumlah isipadu kayu (m3) per pokok pada 1.16 m3 iaitu berada di kedudukan ke-7 dalam 10 jenis klon lateks balak kumpulan 1. Namun, perbezaan tersebut di antara satu sama lain tidaklah ketara. Klon PB 355 mencatatkan pengeluaran isipadu kayu tertinggi pada 1.59 m3/pokok diikuti oleh PB 359 pada 1.47 m3/pokok masing-masing pada umur 22 tahun dan 20 tahun. Batang pokok klon PB 350 amnya panjang, licin dan lurus.
Sumber maklumat :
Teknologi Perladangan & Pemprosesan Getah, LGM, 2009, hal. 44-46, 219-220.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336