Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com
Website : www.unionharvest.com
Pokok mengkudu (Morinda citrifolia Linn.) adalah sejenis tanaman saka dan berasal dari habitat liar bertaburan di pinggir hutan, peparit dan sungai di negara-negara Asia, Australia dan kepulauan pasifik. Nama lain tumbuhan ini termasuklah noni manakala nama Inggerisnya ialah ‘painkiller’. Dua spesis biasa mengkudu di Malaysia ialah Morinda citrifolia (mengkudu besar atau mengkudu laut) dan Morinda elliptica (mengkudu kecil atau mengkudu hutan).
Dapat Merawat 22 Jenis Penyakit
Mengkudu telah dianggap sebagai tumbuhan ‘ajaib’ sejak tahun 1998 apabila kandungannya didapati berfungsi perubatan oleh seorang ahli biokimia dari Universiti Hawaii. Susulannya, satu bancian oleh Amerika Syarikat melaporkan kemampuannya memberi kesan positif terhadap 22 jenis penyakit manusia termasuk barah, kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, masalah sistem pernafasan, malah masalah penghadaman dan buah pinggang. pinggang. Ciri kandungannya yang boleh dirumus menjadi bahan makanan kesihatan/tambahan, minuman, tonik, komestik, produk penjagaan diri malah bahan biopestisid memaparkan potensi komersial yang cerah.
Aspek Hasil Mengkudu
Buah mengkudu berwarna hijau semasa muda lagi dan mengubah ke warna putih kekuningan apabila matang. Buah boleh dipetik apabila warna putih kekuningan pada buah melebihi 80%. Pokok mengkudu akan mula mengeluarkan buah matang yang boleh dikutip kira-kira lapan bulan selepas ditanam di ladang. Ia merupakan tanaman tidak bermusim, justeru, penuaian buah boleh dilakukan secara selangan 20 – 25 hari sekali. Bagi pokok berumur 15 bulan ke atas, sesetengah buahnya akan melebihi capaian petikan dengan tangan dan perlu dituai dengan menggunakan galah berdawai di hujungnya.
Menurut kajian MARDI melalui penanaman mengkudu seluas 12 hektar secara komersial di Stesen MARDI, Bukit Ridan, Pahang, hasil purata buah bagi tanaman mengkudu pada tahun pertama adalah 1.2 tan/ha/tahun, kemudian meningkat kepada 16 tan/ha/tahun pada tahun kedua. Penghasilan semakin stabil mulai tahun ketiga dengan hasil purata 18 tan/ha/tahun. Pokok mengkudu dipercayai mempunyai hayat ekonomi melebihi 10 tahun dan penghasilan yang tinggi di ladang besar malah perlu diangkut dengan traktor.
Kos Pengeluaran dan Pulangan
Anggaran jumlah kos pengeluaran bagi tempoh 10 tahun ialah RM42,460, iaitu terdiri daripada kos pengeluaran tahun pertama pada RM7,330 dan RM3,370 pada tahun kedua dikuti oleh RM3,970/tahun mulai tahun ke-3 hingga tahun ke-10. Berdasarkan hasil purata tahunan seperti disebut tadi, jumlah hasil sebanyak 161.2 tan dalam tempoh 10 tahun menunjukkan kos pengeluaran buah mengkudu ialah RM0.30/kg. Berdasarkan harga ladang buah mengkudu pada RM1.00/kg, maka pendapatan kasar purata ialah RM16, 120/tahun. Dari sini, didapati pendapatan bersih tahunan ialah RM11,870 manakala pulangan buruh keluarga adalah RM14,690.
Kaedah Pembiakan Pokok Mengkudu
Pokok mengkudu mudah ditanam dan tahan lasak dengan ketinggian boleh mencapai 10m. Sifat tidak ‘cerewet’ ini menjadikan mengkudu mampu hidup di pelbagai jenis tanah termasuk tanah bermasalah seperti tanah berpasir dan tanah gambut, malah boleh hidup di kawasan 400m tingginya dari aras laut. Taburan hujan tahunan di antara 2000 – 3000mm secara rata dapat memupuk pertumbuhan yang baik.
Penanaman pokok boleh bermula dengan pembersihan kawasan tanaman serta menggemburkan tanah secara bajak piring sedalam 25 – 30cm kemudian dengan bajak penggembur putar dua minggu selepas itu. Parit perlu disediakan di kawasan yang mungkin akan menakung air kerana mengkudu tidak tahan terkadap keadaan air bertakung. Lubang tanaman bersaiz 0.3m x 0.3m x 0.3m sudah memadai serta harus ditaburi baja fosfat dan kapur pada kadar 100g/lubang sebagai baja asas. Pengapuran tersebut dibuat dua minggu selepas penaburan baja fosfat.

Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com
Website : www.chanhockseng.com
Pokok mengkudu boleh dibiak dengan menggunakan biji benih atau keratan batang. Namun begitu, lebih mudah dengan menggunakan biji benih sebagai bahan tanaman oleh sebab biji benihnya mudah diperolehi melalui pemeraman buah mengkudu hampir matang selama 1 – 2 hari kemudian dikisar bersama air selama 10 saat bagi memudahkan pengeluaran biji daripada pulpa buah.
Biji benih tersebut dibersihkan kemudian disemai sedalam 1cm dari permukaan tanah di kotak semaian berpasir. Permukaan pasir itu harus ditutupi dengan kain guni beras supaya biji tidak timbul dari permukaan semasa penyiraman air. Ini disebabkan biji benih yang timbul pada kebiasaan tidak akan bercambah. Guni itu ditanggalkan selepas satu bulan semaian dibuat apabila biji benih mula bercambah.
Anak benih kemudian dipindah ke polibeg semasa daun kotiledon sudah terbit. Baja NPK 18:11:5:2.5 pada kadar 5 – 8 biji/polibeg/kali digunakan dalam amalan pembajaan. Anak benih di peringkat ini memerlukan naungan 50% dari cahaya. Anak benih yang tumbuh dalam polibeg akan mengeluarkan 6 – 7 daun daun mulai penanamannya di polibeg yang juga merupakan masa sesuai untuk pindah tanam ke ladang.
Bagi membiak pokok mengkudu secara keratan batang, maka hujung tunas/tunas air yang sihat boleh dipilih. Keratan batang perlu mempunyai 2 – 3 buku bersama pucuk daun kemudian ditanamkan ke dalam polibeg bagi tujuan pengakaran yang akan mengambil masa hampir 9 bulan sebelum dipindah tanam di ladang. Dalam tempoh ini, 3 bulan pertama perlu diperutuk naungan 75% cahaya kemudian mengurangkan naungan kepada 50% cahaya dalam tempoh 6 bulan selepas itu.
Penanaman Pokok mengkudu Di Ladang
Sekiranya sistem penanaman tunggal dipilih, maka jarak tanaman 3.0m dalam barisan dan 5.0m di antara barisan adalah sesuai digunakan dan akan memuatkan sebanyak 667 pokok dalam sehektar tanah. Seperti tanaman lain, pokok seelok-eloknya dipindah tanam pada awal musim hujan.
Pembajaan diperlukan untuk memupuk pertumbuhan dengan baik. Justeru, baja sebatian NPK (12:12:17:2 + TE) harus digunakan pada kadar 500g, 750g dan 1,000g/pokok pada tahun pertama, kedua, ketiga dan ke atas masing-masing dengan pecahan kepada 4 pusingan setahun. Tahi ayam yang siap diproses boleh ditabur pada tahun pertama dengan kadar 600g/pokok/6 bulan. Di samping itu, pengapuran dengan GML harus dibuat pada setiap tahun bermula dengan kadar 300g (tahun pertama), 400g (tahun kedua) dan 500g (tahun ketiga dan ke atas) dengan cara menaburnya secara rata di bawah pangkal pokok sehingga ke hujung kanopi pokok.
Adalah amalan yang penting bagi mencorak pokok supaya mengeluarkan hasil yang lebih tinggi. Amalan ini dikenali sebagai ‘sistem batang berganda’ iaitu cara mengekalkan 2- 4 batang pada satu pokok. Ini disebabkan oleh setiap buku pokok hanya berbuah sekali dan sistem ini akan memberi bilangan dahan dan hasil yang lebih banyak. Bagi memudahkan penuaian buah, ketinggian pokok adalah dihadkan pada 3.0m sahaja melalui pangkasan pucuk batang dilakukan pada dua minggu sekali sebanyak 2 – 3 kali. Pangkasan hanya dijalankan pada pokok berumur 2 tahun ke atas dengan mencantas pada buku keenam bagi setiap 3 dahan yang dipilih. Pertumbuhan buah akan wujud setahun selepas pangkasan tersebut. Selain itu, aspek kawalan rumpai, pengurusan air dan kawalan penyakit & perosak turut memainkan peranan penting dalam memupuk hasil yang tinggi lagi konsiten.
Sumber Maklumat :
Muhamad Ghawas Maarof, “Mengkudu”, Penanaman Tumbuhan Ubatan & Beraroma, MARDI, 2005.
All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com