All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com
Kebelakangan ini harga baja melambung di pasaran tempatan telah menyebabkan ramai pekebun tidak dapat membaja mengikut jadual. Keadaan ini menjadi serius apabila bekalan baja di pasaran mengalami kekurangan yang serius. Hal ini disebabkan oleh bekalan batu arang meleset di China, ekorannya banyak industri baja di negara itu terpaksa berhenti operasi. Kebanyakan bahan mentah baja di Malaysia adalah diimport dari China. Inilah antara sebab yang merencatkan bekalan baja di pasaran tempatan.
Cerita mengenai perkara ini barangkali boleh disampaikan secara panjang lebar dalam artikel lain. Di artikel ini, subjek yang ingin disampaikan ialah buah tandan kosong sawit boleh digunakan sebagai alternatif kepada baja kimia dalam situasi sebegini.
Kalian sudah sedia maklum bahawa amalan pembajaan mengikut jadual sangat penting supaya pokok terus berbuah. Pokok sawit dalam keadaan seperti ini dijangka boleh bertahan tidak dibaja selama 6 – 9 bulan kerana boleh menggunakan simpanan baja dalam batang pokok untuk memenuhi keperluan. Selain itu, langkah menyungkup pokok dengan selapisan buah tandan kosong juga akan membantu pokok supaya mengelak daripada kekurangan nutrien semasa ketegangan baja di pasaran ini.
Berat buah tandan kosong merangkumi 25% daripada jumlah berat buah tandan segar. Kandungan air di dalamnya sehingga 60 – 70% juga satu keberatan bagi aplikasi bahan ini. Namun, ia banyak mengandungi pelbagai nutrien menjadikannya satu sumber nutrien yang boleh dipilih untuk menggantikan baja kimia.
Kebun sawit yang menghasilkan buah tandan segar 22 tan/ha/tahun boleh menggunakan buah tandan kosong yang dihasilkan itu untuk menyungkup 10% pokok matang ataupun kesemua pokok belum matang dalam keluasan yang sama. Kiraan ini adalah berdasarkan sungkupan pada kadar 50 tan/ha. Unsur kalium terkandung paling banyak di dalam buah tandan kosong diikuti oleh nitrogen dan magnesium serta pelbagai unsur surih seperti boron, kuprum, zink, besi serta fosforus.
Penyungkupan pada kadar 50 tan/ha akan memenuhi keperluan kalium pada keluasan satu hektar, tetapi nutrien lain seperti nitrogen, fosforus dan magnesium masih perlu ditokok tambah. 6 bulan selepas penyungkupan, kesemua nutrien akan dikitar semula ke dalam tanah dengan kadar tercepat daripada kalium diikuti oleh nitrogen dan fosforus kemudian baru kalsium. Kitaran kalium ke dalam tanah paling lambat kerana unsur ini amnya terkandung di dalam sel biojisim. Penambahan nitrogen ke atas sungkupan ini didapati akan mempercepatkan proses reputan buah tandan kosong.
Kesan Positif Ke atas Pokok Belum Matang
Ada pun sebuah ladang sawit menyungkup buah tandan kosong selepas ditanam pada kadar 37.5 tan/ha/tahun telah berjaya memperolehi hasil tambahan sebanyak 75%. Inilah salah satu bukti keberkesanan bahan sungkupan ini. Namun, bagi pokok matang, sungkupan pada kadar 15 – 30 tan/ha adalah amalan biasa. Pokok yang sudah disungkupi buah tandan kosong akan mencapai kematangan lebih awal serta menghasilkan buah awalan yang juga lebih banyak. Anak pokok disyorkan mula disungkup selepas ditanam di ladang, amalan ini kemudian diulang pada tahun kedua dan ketiga. Buah tandan kosong disungkup berjarak 1.5 meter dari pangkal pokok dapat mengurangan serangan kumbang badak. Jika ditambah racun biopestisid ia akan memberi kesan kawalan lebih baik lagi. Sungkupan juga mengurangkan kos merumput kerana rumput liar sukar tumbuh di kawasan yang sudah disungkupi.
Untuk meningkatkan kesan hasil, baja kimia boleh dipertimbangkan untuk ditokok tambah tetapi pada kadar yang lebih rendah daripada biasa. Umpamanya jika sungkupan sebanyak 75 tan/ha digunakan, maka pengusaha ladang hanya perlu menambah 0.75 kg urea dan 1.0 kg serbuk fosforus pada setiap pokok sudah mencukupi keperluan nutrien pokok. 75 tan/ha buah tandan kosong mengandungi kalium dan magnesium yang cukup bagi menampung keperluan pokok justeru tidak perlu ditokok tambah lagi.
Di sesetengah kawasan, jumlah sungkupan 75 tan/ha mungkin terlalu banyak, maka amalan 30 – 60 tan juga sering digunakan. Sungkupan melebihi 80 tan/ha mungkin membawa impak negatif. Seperti mana pernah berlaku di Papua New Guinea, sebuah ladang menyungkup buah tandan kosong sawit sebanyak 120 tan/ha telah mendapati hasil buah menurun ekoran tanah kekurangan oksigen akibat sungkupan berlebihan.
Kesan Positif Terhadap Pokok Matang
Gurmit Singh (1994) pernah membuat kiraan bahawa menyungkup dengan buah tandan kosong di ladang sawit matang mampu memperolehi pendapatan bersih sebanyak USD 200. Kiraan ini bersandarkan peningkatan hasil buah 15% selepas sungkupan dijalankan serta andaian penjimtan baja sebanyak USD 160/ha.
Sumber maklumat :
Thomas Fairhurst and Rolf Hardter, Oil Palm : Management For Large and Sustainable Yields, PPIC & IPI, 2003, pp. 308-311.
All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com