You are currently viewing Penanaman Nanas MD2 Bakal Diutamakan Di Malaysia

Penanaman Nanas MD2 Bakal Diutamakan Di Malaysia

Antara banyak varieti nanas yang ditanami di seluruh dunia, varieti MD2 wujud sebagai salah satu varieti yang varieti yang amat popular. Beberapa cirinya yang menepati kehendak pasaran adalah tunjang yang merealisasikan populariti tersebut. Ciri-cicir ini temasuklah warna buah keemasan, kurang lidas kerana keasidan rendah (0.4 – 0.5%), sangat manis (15-19 °Brix), tempoh simpanan yang panjang sehingga 4 – 5 minggu, buah berbentuk selinder memudahkan proses kaleng dan juga makan segar serta buah bersaiz sederhana antara 1.5 – 2.5kg walaupun boleh dibesarkan lagi sehingga 3.5kg per buah melalui pembajaan foliar. Harga pasaran yang baik untuk varieti ini sehingga RM5.00/kg adalah tarikan besar kepada penanam nanas.

MD2 sebenarnya baka nanas daripada hasil kajian Institut Penyelidikan Nanas di Hawaii dan ia telah dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2008 melalui kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Syarikat Kulim Berbad. Varieti ini sudah didaftarkan di Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2013 sebagai AC9 (Annas comosus 9).

Pada tahun 2017, sebanyak 12 tan nanas MD2 dieksport ke Shanghai, China oleh sebuah syarikat di Batu Pahat, Johor. Ini salah satu senario terkini menandakan buah nanas ini turut digemari oleh pengguna di luar Malaysia termasuk negara China yang mempunyai potensi pasaran yang amat besar. Oleh yang demikian, LPNM telah merancangkan penanaman MD2 secara lebih meluas di Malaysia iaitu dengan sasaran 50% penanaman nanas dalam negara difokuskan pada varieti ini sebelum tahun 2020. Menurut sumber, setakat tahun 2016 tanaman nanas di Malaysia adalah seluas 15,561 hektar yang mana hanya 1,743 hektar tediri daripada varieti MD2. Langkah ini diambil supaya dapat memenuhi permintaan pasaran eksport ke Singapura, Jepun, Korea dan negara-negara Timur Tengah selain negara China.

Untuk merealisaskan penambahan keluasan tanaman serta jumlah eksport baka nanas ini, penyediaan telah diusahakan termasuk yang berkaitan dengan SOP penanaman, kaedah pembiakan bahan tanaman, kawalan penyakit & perosak serta pengendalian lepas tuai. la juga termasuk langkah menangani serangan penyakit reput rosot (bacteria Herat Rot, BHR) yang pernah menyerangi anak-anak pokok MD2 berumur 2 – 4 bulan sehingga kematian hampir 60% pokok pada tahun 2011. Pihak LPNM, MARDI dan Jabatan Pertanian Malaysia telah bekerjasama termasuk mengadakan seminar dan kursus kepada pengusaha tanaman nanas supaya dapat mengawal penyakit ini mengikut SOP yang disediakan demi berjaya dalam pengusahaan tanaman nanas masing-masing.

Selain cabaran penyakit BHR, baka nanas MD2 yang kini terjurus penghasilan buah yang tidak sama bentuk iaitu berbeza daripada bentuk asal yang selinder juga diberi perhatian berat kerana keragaman bentuk buah akan menyusahkan proses kalengan di kilang serta juga proses pembungkusan. Perkara ini telah ditangani dari segi menggalak penanam menanam mengikut SOP serta pengunaan bahan tanaman yang tulen iaitu bahan tanaman yang telah ditapis melalui program pensijilan baka baka itu oleh Jabatan Pertanian Malaysia.


Dalam konteks ini, pembiakan tampang oleh penanam hendaklah menggunakan bahan tanaman daripada pokom induk yang buahnya berbentuk selinder sahaja. Nyatanya, kepelbagaian bentuk buah yang wujud ini adalah berasal daripada pencemaran bahan tanaman yang harus dibetulkan secepat mungkin sebelum berleluasa sehingga menurunkan nilai buah di pasaran. Begitu juga pengusaha semaian nanas MD2 kultur tisu dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat nasihat MARDI dalam penggunaan bahan kimia dan hormon ketika proses kultur tisu dijalankan. Dengan kata lain, bahan tanaman kultur tisu yang tidak dikendalikan secara betul juga berpotensi menghasilkan buah nanas MD2 yang bentuk buah berlainan daripada yang asal.

Dalam usaha meluaskan kawasan tanaman, kekurangan bahan tanaman MD2 yang kritikal merupakan cabaran selanjutnya yang perlu ditangani. Bagaimanapun, pihak MARDI telah menghasilkan teknik pembiakan bahan tanaman MD2 dengan lebih cepat dan banyak dalam masa tersingkat. Pembelajaran teknik ini oleh pihak swasta yang berminat menjalankan pembekalan anak benih MD2 justeru itu berpotensi cerah kerana bakal berdepan dengan permintaan bahan tanaman yang tinggi apatah lagi bahan tanaman MD2 adalah bernilai tinggi sehingga RM 1.50 – RM2.50/pokok iaitu jauh lebih tinggi daripada bahan tanaman nanas lain di sekitar RM0.10 – RM0.30/pokok.

 

Bahan rujukan :

Norsyuhaida Ahmad Shafawi et al., ¡°Nanas MD2: Evolusi Industri Nanas Malaysia¡±, Agromedia, Edisi Khas Buah-Buahan 2018, MARDI.

Hantar blog ini kepada :