You are currently viewing Kesan Dan Tempoh Optimum Berhenti Membaja Untuk Tanaman Sawit Menjelang Tanam Semula

Kesan Dan Tempoh Optimum Berhenti Membaja Untuk Tanaman Sawit Menjelang Tanam Semula

Biasanya terdapat dua keadaan yang mempengaruhi keputusan membaja para pengusaha tanaman sawit, iaitu semasa harga minyak sawit menurun dan menjelang tempoh masa tanam semula. Apakah masa paling sesuai untuk berhenti membaja dan apakah parameter yang harus diambil untuk membuat keputusan tersebut menjelang tempoh tanam semula sudah dikaji oleh Mohd Nazeeb et al (1993) melalui 4 eksperimennya.

Menurut hasil kajian tersebut, 4 plot dalam kajian itu tidak menunjukkan gejala kekurangan nutrien walaupun tidak dibajakan menjelang tempoh tanam semula. Begitu juga kesan terhadap pertumbuhan vegetatif tanaman mengambil masa yang panjang baru dapat diperhatikan.

Namun begitu, kesan terhadap pengeluaran buah sawit adalah ketara menunjukkan keempat-empat plot tersebut mengalami penurunan hasil sawit selepas berhenti membaja, cuma berlainan dari segi kadar penurunan sahaja. Plot kedua (pokok berumur 18 tahun) dan plot keempat (pokok berumur 19 tahun) masing-masing megalami hasil sawit menurun sebanyak 3 tan/ha pada tahun pertama manakala hasil plot ketiga (pokok berumur 20 tahun) menurun 2 tan/ha. Bagaimanapun, hasil sawit untuk plot pertama (pokok berumur 21 tahun) tidak dipengaruhi selepas berhenti membaja.

Jika berdasarkan statistik dikumpul selama 6 tahun, maka kadar penurunan hasil sawit purata mengikut umur pokok selepas berhenti membaja ialah 1.9 tan/ha/tahun untuk pokok berumur 21 tahun, 3.2 tan/ha/tahun untuk pokok berumur 20 tahun, 4.3 tan/ha/tahun untuk pokok berumur 19 tahun dan 5.2 tan/ha/tahun untuk pokok berumur 18 tahun. Keadaan ini menunjukkan tanaman sawit lebih muda akan mengalami kesan penurunan hasil yang lebih tinggi berbanding tanaman berumur lebih lanjut selepas berhenti membaja.


Memandangkan kajian (Loh and Goh, 1973) telah menunjukkan kesan perubahan harga baja terhadap kadar pulangan pengusaha tanaman sawit adalah lebih kecil daripada kesan perubahan harga minyak sawit, maka keadaan ini boleh digunakan sebagai parameter untuk membuat keputusan berhenti membaja menjelang tempoh tanaman semula, iaitu semasa harga minyak sawit adalah rendah maka pembajaan boleh diberhentikan lebih awal. Sebaliknya pembajaan hendaklah diteruskan sehingga masa paling dekat dengan penumbangan pokok tua untuk tanam semula.

Bagaimanapun, syarikat perladangan sawit umumnya berdasarkan tempoh harga minyak sawit purata yang lebih lama dalam membuat keputusan tanam semula. Selepas keputusan dibuat, kerja tanam semula akan dimulakan mengikut jadual. Dalam keadaan demikian, jika tanaman sawit di pesisir pantai diputuskan untuk ditanam semula ketika berumur 25 tahun atau lebih, pembajaan boleh dihentikan 2 tahun sebelum pokok tua ditebang.


Kalau kitaran 20 tahun digunakan sebagai parameter menanam semula, maka pembajaan boleh dihentikan setahun sebelum menebang pokok tua. Bagi pokok sawit berumur 21 – 24 tahun yang akan ditanam semula, maka berhentilah membaja setahun sebelum menebang pokok tua untuk kawasan pesisir pantai manakala 2 tahun untuk kawasan pedalaman.

Selanjutnya, bagi keputusan menanam semula tanaman sawit berumur 25 tahun dan ke atas di kawasan pedalaman, pembajaan boleh berhenti 4 tahun sebelum menebang pokok tua manakala pokok berumur 22 tahun pula, pembajaan disyorkan untuk diberhentikan setahun sebelum penebangan pokok tua.

 

Sumber maklumat :

1. Mohd Nazeeb; Tang, M.K; Letchumanan, A and Loong, S.G, “Trial on Cessation of Manuring Before Replanting”, Proceeding of the 1993 PORIM International Palm Oil Congress, PORIM, hal. 293-309.

2. Loh, K.K and Goh, K.H (1973). The Analysis of Experiments on the Economicso of Fertilizer Application in Oil Palm. In Advances in Oil Palm Cultivation (wastie, R.L and Earp. D.A. ed.), hal. 338 – 359, Kuala Lumpur, Incorporated Soc. Of Planters.

 

Hantar blog ini kepada :