You are currently viewing Tilapia Lebih Mudah Diternak Beserta Potensi Pasaran Yang Tinggi

Tilapia Lebih Mudah Diternak Beserta Potensi Pasaran Yang Tinggi

Ikan Tilapia telah bangkit sebagai spesies ikan yang sangat penting di dunia dengan jumlah pengeluaran sedunia menghampiri 6 juta ton setahun. Kuantiti pengeluaran ini menjadikannya spesies ikan komersial kedua besar di dunia. Berikutan jumlah penduduk dunia yang semakin meningkat, dijangka jumlah pengeluaran ini akan terus meningkat pada masa akan datang. Antara sebab penting spesies ikan ini disambut baik di kalangan penternak ikan di peringkat global termasuklah kos ternakan yang lebih ekonomi berbanding spesies ikan lain di samping lebih mudah untuk diternak secara besar-besaran dengan risiko yang lebih rendah kerana sifat ikan yang lebih tahan lasak terhadap serangan penyakit.

Pada hakikat, Tilapia yang berasal dari Afrika ini telah diternak selama berabad-abad oleh penduduk tempatan kemudian mendapat perhatian berat oleh penternak di lain-lain negara. Pada tahun 50 60-an, banyak negara membangun mendapati spesies ikan ini sangat sesuai untuk dikomersialkan di samping dijadikan sumber makanan penting dalam strategi pembangunan keselamatan makanan (food safety) dalam menampung penduduk yang kian bertambah saban hari. Melalui teknik biak baka yang maju, kini tilapia mengandungi sifat tumbesaran yang lebih cekap selanjutnya meningkatkan potensi penternakan komersial.

Pasaran Tilapia kini juga berkembang ke benua Amerika iaitu pasaran baru selain pasaran asalnya di Afrika dan Asia. Memandangkan ikan ini sesuai diternak dengan apa jua sistem ternakan di samping kemampuan diternak dengan kepadatan yang tinggi, maka diyakini bahawa ia akan berkembang dengan pesat di pasaaran baru tersebut.

Terdapat Tilapia untuk air tawar dan juga air masin bergantung pada spesies dan bahan makanan berasaskan protein tumbuhan boleh digunakan dalam ternakan adalah satu aspek penting yang meningkatkan popularitinya. Dari segi penternakan, ia bergantung pada kapasiti masing-masing.

Untuk penternakan skala kecil, Tilapia setakat diternak dalam kolam yang dilengkapi dengan kemudahan asas sudah memadai, dan dibekali dengan bahan makanan yang murah juga mampu mendapat hasil ikan walaupun kaedah tradisional ini tidak akan memberi pulangan tinggi seperti kaedah penternakan moden yang mengutamakan aspek kualiti air dan sumber makanan di samping menyediakan kelengkapan sewajarnya supaya kadar tumbesaran dapat dipertingkatkan lagi dalam masa lebih singkat. Kaedah skala kecil dan tradisional ini termasuk menternak 1,000 – 2,000 ekor ikan jantan dan betina sekali dalam kawasan satu hektar dan ikan di dalam kolam dibiar mengambil makanan asas yang terdapat di dalam kolam. Dalam keadaan ini, hasil ikan antara 300 – 700kg/ha/musim boleh diperolehi.

Penternakan dengan kepadatan sederhana ialah memasukkan 5,000-20,000 benih ikan ke dalam kolam/ha yang mana ia mampu menjana hasil ikan sehingga 2,000 6,000kg/ha/musim. Dalam kaedah ini, makanan berasaskan tinja haiwan serta baja tertentu untuk pemakanan pemakanan ikan serta pemupukan pertumbuhan alga sebagai sumber makanan ikan dimasukkan ke dalam kolam. Bagaimanapun, bahan makanan lain berasaskan sisa hasil pertanian boleh dibekalkan bersama.

Untuk mendapat hasil ikan yang tinggi, kaedah penternakan dengan kepadatan tinggi iaitu 10,000 35,000 ekor benih ikan sehektar adalah dicadangkan. Ia boleh diternak sama ada dengan sistem terbuka ataupun sistem tertutup dan hanya bahan makanan berkuaiti tinggi dibekalkan. Dengan cara ini, hasil ikan yang boleh diperolehi adalah di antara 5,000-20,000kg/ha/musim. Walaupun kos ternakan dalam sistem ini lebih tinggi berbanding sistem tradisional, tetapi ia memberi pulangan yang lebih berbaloi.

Hantar blog ini kepada :