You are currently viewing Kelapa Sawit Virescens Memudahkan Penuaian

Kelapa Sawit Virescens Memudahkan Penuaian

Hampir kesemua pokok kelapa sawit yang ditanami oleh pengusaha tanaman buat masa ini adalah spesis Elaeis guinensis yang berasal dari Afrika. Buahnya berwarna perang tua ketika muda dan kian menukar ke warna merah tua atau merah cerah menjelang kematangan. Warna ini masih kurang menonjol dan sering kali dituai separa masak dari pokok oleh pemotong buah terutama buah tandan dari pokok yang tinggi yang sukar dilihat dengan jelas akan warna kulit buah.

Kini dengan adanya kelapa sawit virescens, penuaian buah tandan segar dipermudahkan kerana buahnya berwarna hijau semasa muda dan menjadi warna oren merah ketika matang. Dari jauh-jauh sudah dapat mengesan buah-buah tandan yang masak di atas pokok dan tentu tiada alasan lagi bagi pemotong buah menurunkan buah yang tidak masak.

Kelapa sawit virescens ini juga spesis Elaeis guinenesis. Dari proses pembiakbakaan antara Elaeis guinenesis dan Elaeis oleifera (kelapa sawit benua Amerika) bagi menghasilkan baka-baka sawit yang menyebatikan pelbagai ciri unik dari kedua-dua spesis kelapa sawit ini, telah menyebabkan kewujudan sebatang dua pokok kelapa sawit virescens di ladang sawit sini sana. Memandangkan buah tandan segar kelapa sawit virescens juga diterima oleh kilang sawit, kewujudannya itu justeru tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pengusaha tanaman yang mempunyai pokok sawit virescens di ladang.

Kelapa sawit virescens berbeza dengan kelapa sawit yang umum ditanamkan di ladang masing- masing hanya dari segi warna kulit buahnya semasa muda dan semasa matang. Dari sudut pandangan bentuk buah (fruit form), buah sawit virescens sama dengan Elaeis guinensis dengan mempunyai ketebalan tempurung yang sama ada nipis atau tebal, menyerupai sifat jenis dura, tenera atau pisifera. Dengan kata lain, kelapa sawit virescens juga ada 3 jenis dari segi perbezaan ketebalan tempurung, iaitu sama ada bertempurung tebal seperti buah sawit dura, bertempurung nipis seperti buah sawit tenera atau tiada tempurung langsung seperti buah sawit pisifera

Di Nigera, Afrika, dari puak yang menanam kelapa sawit didapati 10,000 buah tandan yang dituai mengandungi 50 buah tandan virescens. Begitu juga di Angola, Afrika, antara 10,000 buah tandan yang dituai memperolehi 72 buah tandan virescens. Di Cameroon, Afrika pula, didapati 6% daripada tanaman kelapa sawitnya terdiri daripada jenis virescens.

Selain kelapa sawit virescens, terdapat dua jenis lagi kelapa sawit yang unik. Salah satunya dikenali sebagai nigrescens dengan hujung set buah berwarna ungu kehitaman dan bahu set buah menukar ke warna hijau kekuningan menjelang kematangan. Jenis yang satu lagi dinamakan sebagai albescens dan merupakan buah sawit yang amat unik kerana sukar diperolehi malah jarang-jarang ditemui di ladang Afrika. Kononnya, dalam 10,000 buah tandan hanya boleh ditemui 3 buah tandan albescens sahaja. Namun begitu, jenis albescens ini dipercayai adalah segolongan dengan nigrescens atau virescens.

Kelapa sawit virescens bukan jenis sawit yang baru. Biji benihnya sebenarnya sudah digunakan dalam pembiakan di Nigeria, Afrika antara tahun 1912 1916. Memandangkan taburan atau populasinya tidak meluas, maka dipercayai bakanya yang bersifat heterogeneous akan turut menunjukkan ketidakseragaman dengan sifat induknya. Pengalaman dari Congo, Afrika menunjukkan bahawa kacukan diri (selfed-cross) menghasilkan 75% sawit virescens manakala kacukan luar (out-cross) menghasilkan 50% sawit virescens. Kawasan penanaman di Nigeria juga menunjukkan pendebungaan terbuka telah menghasilkan sebanyak 46% sawit virescens dan 54% sawit nigrescens.

Buat masa ini, kelapa sawit virescens sudah dibiak baka dan dikomersialkan oleh sebilangan kecil pengeluar biji benih sawit dalam negara, menandakan sawit jenis ini mempunjyai nilai komersialnya. Salah satu nilai tersebut datang dari warna kulit buah yang berwarna oren kemerahan semasa matang dan memudahkan penuaian. Lebih penting lagi, penuaian buah masak akan memberi kadar perahan minyak (OER) yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan buah yang dipotong separa masak atau belum masak sepenuhnya. OER yang lebih tinggi membolehkan pengusaha tanaman mendapat harga buah yang lebih tinggi dari pihak kilang sawit.

Rujukan :

R.H.V. Corley and P.B. Tinker, The Oil Palm, Blackwell Science Ltd, 2003.

 

Hantar blog ini kepada :