You are currently viewing Prestasi Tanaman Rosel Atas Tanah Bris

Prestasi Tanaman Rosel Atas Tanah Bris

Tanaman rosel (Hibiscus sabdariffa L) memberi hasil buah yang tinggi mencapai 12.0 – 25 tan/ha. Kaliks atau kelopak buahnya yang berwarna merah adalah hasil utama bagi tanaman ini !

Memandangkan buah rosel mempunyai vitamin A, vitamin C, mineral K, P, Fe dan Ca yang tinggi, ia telah menjadi tanaman yang berpotensi untuk dibangunkan bagi industri hiliran yang luas seperti pembuatan jus, jem, halwa, jeli, jeruk dan pewarna makanan manakala bijinya boleh diproses sebagai bahan minyak wangi atau bahan kosmetik. Bahkan, kulit batang pokok mengandungi serat yang sesuai dijadikan tali, daun dan pucuk pokok pula boleh dijadikan sayuran.

Melalui kaji selidik, tanaman rosel yang tergolong dalam famili Malvaceae didapati sesuai juga ditanam pada tanah bris berupa bekas kawasan lombong atau kawasan berdekatan pantai. Menurut statistik, Malaysia mempunyai keluasan tanah bris sebanyak 195,800 hektar. Di antara keluasan ini, sebanyak 155,000 hektar terletak di Negeri-negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan yang mana sebahagiannya sedang diusahakan dengan tanaman tembakau. Justeru itu, rosel dianggap sebagai salah satu tanaman berpotensi untuk menggantikan tanaman tembakau pada suatu hari nanti.

Rosel adalah tanaman jangka pendek yang mana hayat ekonominya hanya di antara 4.0 – 4.5 bulan sahaja. Ia ditanam di batas dengan menggunakan anak benih berumur 14 hari yang telah dididik di tapak semaian atau dulang. Jarak tanamannya di batas adalah 1.5m (antara baris) dan 0.6m (antara pokok). Pada kepadatan ini, sebanyak 11,110 pokok/hektar dapat ditanamkan. Bagi menyemai pada kawasan yang luas, jentera menyemai boleh digunakan.

1,2,3,4,5 – Pokok rosel mengeluarkan buah yang banyak serta banyak kegunaannya.

Pembajaan

Bagi memulihkan kesuburan tanah bris yang pada asasnya adalah kurang subur, maka baja tahi ayam pada kadar 20 tan/ha atau POME, atau kek enap cemar kilang sawit pada kadar 20 – 40 tan/ha juga boleh dibubuhkan pada tanah sebelum memulakan penanaman. Begitu juga sekiranya didapati tanah adalah masam, kapur GML pada kadar 2 – 4 tan/ha harus digunakan dan dibajak ke dalam tanah sekurang-kurang dua minggu sebelum memulakan penanaman.

Pembajaan tetap diperlukan semasa penanaman dimulakan. Di atas tanah bris, NPK 15:15:15 pada kadar 350kg/ha adalah disyorkan pada peringkat pertumbuhan iaitu semasa menanam, minggu ke-2, ke-4 dan ke-6 lepas tanam manakala NPK 12:12:17:2 pada kadar 1120kg/ha disyorkan untuk peringkat berbuah, iaitu minggu ke-8, ke-10, ke-12, ke-14 dan ke-16 dan ke-18 lepas tanam.

Kawalan Rumput

Sebagai amalan pengurusan rumput, racun pra-cambah alachlor (lasso) digunakan pada permukaan tanah sebaik sahaja menanam. Amalan ini akan dapat mengawal percambahan rumput buat selama 40 hari pertama. Selepas tempoh ini, racun lain seperti paraguat boleh digunakan secara berhati-hati supaya tidak terkena pada batang pokok rosel.

Kawalan Penyakit dan Perosak

Bagi kawalan penyakit tanaman rosel, reput daun (Coneilla musaiaensis) dan reput batang (Phoma spp) boleh dikawal dengan menyembur racun kulat seperti carbendazim (Bavistin) atau mancozeb (Dithane M-45). Sementara itu, perosak utama lelompat hijau (Nephotettix sp) dan kepinding bendi (Dysdercus cingulatus) boleh dikawal dengan racun serangga seperti imidacloprid (confidor) atau deltamethrin (Decis).

Kutipan Hasil

Buah rosel mencapai kematangan untuk dikutip selepas 70 – 86 hari lepas tanam. Buahnya tidak matang serentak, oleh itu buah matang sahaja dipetik sekali dalam selangan 7 hari dengan jumlah petikan sebanyak 6 9 kali. Tidak dinafikan bahawa kerja mengutip buah secara manual akan memerlukan tenaga buruh yang agak tinggi.

Jumlah hasil tanaman rosel adalah bergantung pada jenis tanah dan keadaan cuaca. Tanah yang lebih subur akan mmberi hasil sehingga 25 tan/ha manakala tanah kurang subur memberi hasil setakat 12 tan/ha sahaja. Pada amnya, musim pertama dapat mengeluarkan hasil buah yang lebih lumayan serta lebih berkualiti kerana kurang serangan penyakit kulat ekoran cuaca yang lebih baik, kurang panas dan juga kurang basah.

Pulangan

Tanah bris memerlukan sistem pengairan renjis atau titisan supaya tanaman tidak menghadapi stres kekurangan air. Pemasangan sistem pengairan menjadi salah satu kos yang besar dalam penanaman rosel selepas kos pembajaan yang merupakan kos input utama. Bagi mengelakkan kos input bahan tanaman pada musim penanaman kedua, pokok matang yang telah tamat hayat pengeluaran boleh dipotong di bahagian batang setingggi 30cm dikira dari pangkal batang pokok. Tunas baru akan berkembang menyerupai pokok asal nanti. Namun begitu, penggunaan kaedah ini adalah begantung pada kesuburan pokok asal.

Bagi mendapat keuntungan daripada penanaman rosel di tanah bris, hasil minimum adalah 12 tan/ha serta harga kebun pada RM1.00/kg atau lebih. Menurut jangkaan pendapatan bersih melalui kajian yang telah dijalankan, dengan andaian harga kebun berada di tahap RM1.00/kg serta jumlah hasil sebanyak 18 tan/ha, maka pendapatan bersih adalah sebanyak RM7,200/ha/musim.

Keuntungan bersih ini sekiranya dipuratakan kepada 4 bulan sebagai hayat ekonomi tanaman ini, maka adalah bersamaan dengan RM1,800/bulan/ha, iaitu merupakan suatu keuntungan yang lumayan berbanding dengan sesetengah tanaman komersial yang lain. Namun begitu, analisis keuntungan ini hanya sesuai digunakan sebagai rujukan sahaja kerana permasalahan setempat mungkin wujud dan akan mengganggu prestasi hasil.

Sumber Maklumat :

Engku Ismail Engku Ahmad, tanaman rosel di tanah bris”, Buletin Teknologi Tanaman, Bil. 5 (2008), MARDI.

 

Hantar blog ini kepada :