You are currently viewing Teknologi Baja MPOB F1- MPOB F6

Teknologi Baja MPOB F1- MPOB F6

  • Post category:Blog

Baja MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K

Baja sebatian MPOB F1 dan MPOB F1 Xtra K dibuat melalui proses kering yang menggunakan tekanan tinggi. Semua bahan mentah yang digunakan dikisar halus dan digaul sama rata sebelum dipadat dan dipecahkan ke dalam bentuk butiran tidak sekata. Baja yang telah dipadatkan ini akan sentiasa keras dan tidak berserbuk dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 6 bulan. Proses penghasilan baja ini juga dikenali sebagai baja kompak dan ia menggunakan unsur ammonium sulfat (AS) dan diammonium fosfat (DAP) sebagai sumber nitrogen dan fosfat. Nitrogen dalam ammonium sulfat boleh disimpan lebih lama dalam tanah berbanding sumber nitrogen lain seperti ammonium nitrat dan urea. Fosfat daripada DAP pula adalah mudah larut air (1/3 fosfat larut air) dan lebih tinggi kandungannya berbanding batuan fosfat. Walau bagaimanapun, batuan fosfat akan menghasilkan fosfat larut asid sitrik yang lebih tinggi sehingga 75% apabila melalui proses tekanan tinggi.

Pembutiran melalui pemadatan bertekanan tinggi dan seterusnya dihancurkan kepada butiran kecil sebagaimana di dalam rumusan baja ini melibatkan penggunaan baja sepenuhnya tanpa ada bahan perekat/perisi seperti kebanyakan pemprosesan baja sebatian secara basah. Butiran baja yang kompak bagi MPOB F1 ini akan membebaskan nutrien secara perlahan-lahan dan kesannya masih kelihatan selepas 1-2 minggu ditabur. Kajian yang MPOB dijalankan oleh di tanah aluvial menunjukkan baja MPOB F1 lebih sesuai digunakan secara aplikasi tabur rata di luar bulatan merumpai atau di bawah longgokan pelepah berbanding dengan aplikasi secara menanam dalam tanah. Baja ini telah dikeluarkan oleh syarikat Union Harvest Sdn Bhd dengan kerjasama MPOB.  Talian pertanyaan : 03-7957 2122.

 Baja MPOB F2 dan MPOB F2 Super K

Teknologi baja sebatian MPOB F2 dan MPOB F2 Super K dibuat melalui proses kimia dan seterusnya pembutiran. Perbezaan utama baja ini dengan baja MPOB F1 ialah proses pembuatan serta sumber nitrogen yang digunakan adalah berbeza. Baja MPOB F2 mennggunakan ammonium nitrat sebagai sumber N. Secara Secara umum, ammonium nitrat menglamai kehilangan nitrogen melalui larut resap yang lebih tinggi di tanah berpasir. Formulasi MPOB F2 Super K adalah khusus untuk sawit di tanah gambut yang mana cara aplikasinya boleh dilihat di jadual 1 :

Formulasi baja MPOB F2 ialah 10.7/9.1/17.3/1.4/0.5B manakala baja MPOB F2 Super ialah 7/3/30+B+Si+TE. Baja ini kini dikeluarkan oleh Hextar Fertilizers Sdn. Bhd. dengan kerjasama MPOB. Talian pertanyaan: 03-3003 3333.

Baja MPOB F3

Baja MPOB F3 dengan rumusan 10/7/19/1.5/0.5 bersamaan NPK MgB serta ditambah dengan 17% zeolite. Sumber N yang digunakan ialah urea dan DAP dan sumber fosfat ialah batuan fosfat. Kombinasi baja ini adalah sesuai digunakan di tanah lanar, tanah berorganik, tanah berpasir atau tanah pedalaman seperti tanah liat dan laterit. Baja MPOB F3 diadun dengan mineral zeolite (jenis clinoptilolite) iaitu sejenis nutrien yang dapat bertahan lebih lama di kawasan perakaran pokok serta dapat meningkatkan keupayaan pertukaran kation tanah lalu berupaya mengawal pelepasaan nutrien seiring dengan pokok sawit. Demikian halnya, maka nutrien tersebut dapat diserap oleh akar pokok dengan lebih efektif. Zeolite juga mampu mengurangkan kehilangan N (amonia) dari urea dengan memerangkap gas-gas yang terlepas di dalam ronga-rongga yang membina struktur zeolite. Campuran urea dan zeolite juga dapat meningkatkan pengambilan unsur P di samping sebagai perawat tanah asid supaya kembali ke tanah subur.

Baja MPOB F4 dan MPOB F4 Premium

Baja MPOB F4 mengandungi 70% bahan kimia, 20% bahan organik dan 10% mineral zeolite yang menjadikan baja ini mesra alam dan seimbang. Mineral zeolite yang terdapat di dalam baja ini akan bertindak meningkatkan KPK untuk membantu mengekalkan nutrien di kawasan perakaran pokok untuk tempoh yang lebih lama.Manakala bahan organik di dalamnya akan bertindak memupuk kehadiran mikroorganimse tanah untuk menyuburkan tanah.

Baja MPOB F4 Premium pula dirumus dengan formulasi 11/6/22/2/0.5 + Organik + 5% Azomite. Ini satu baja yang juga seimbang dan dirumus untuk keperluan tanaman sawit dalam proses pembesaran serta pengeluaran hasil. Ia terdiri daripada baja sebatian, bahan organik serta Azomite yang bertindak sebagai pelengkap keperluan unsur surih serta mampu memenuhi keperluan tanaman sawit untuk jangka masa yang panjang. Baja MPOB F4 Premium turut diperkaya dengan bahan organik bermutu tinggi daripada sisa kilang sawit seperti kek dekanter sawit, POME dan abu tandan sawit. Bagi baja sebatian biasa yang menggunakan kaolin sebagai bahan pengikat, penggunaannya untuk satu tempoh yang lama akan menyebabkan tanah mudah menjadi keras. Sebaliknya bahan pengikat baja MPOB F4 Premium ini terdiri daripada bahan organik yang merupakan bahan mesra alam serta berupaya memperbaiki kualiti tanah dalam jangka masa panjang.

Penggunaan Azomite di dalam rumusan baja ini yang berasal dari bahan lombongan sisa abu gunung berapi di Utah, Amerika Syarikat akan dapat bertindak balas sebagai kombinasi unsur surih di dalam tumbuhan kerana ia mempunyai spektrum yang luas bagi membekal mineral aktif dan mineral surih yang berkualiti tinggi. Kandungan unsur surih di dalam Azomite seperti ferum dan mangan turut memainkan peranan dalam pembentukan klorofil serta menguatkan tisu vaskular pokok sawit bagi merintangi penyakit. Selain kedua-dua jenis unsur surih ini, Azomite juga mengandungi mineral surih yang lain sekali gus akan memperkasakan tanaman sawit dalam jangka masa panjang. Baja MPOB F4 dan MPOB F4 Premium telah dikeluarkan oleh syarikat All Cosmos Industries Sdn Bhd. dengan kerjasama MPOB. Talian Pertanyaan: 07-252 3788.

Baja MPOB F5 dan MPOB F5 Super

Baja MPOB F5 mengandungi kek dekanter dari sisa kilang sawit dan diperkayakan dengan formulasi bahan kimia dalam nisbah 6/6/11/1+TE. Kedua-dua baja ini yakni MPOB F5 dan MPOB F5 Super adalah sesuai digunakan di tanah yang mengandungi bahan organik yang rendah seperti di kawasan berbukit, teres, tanah laterit dan tanah berpasir. Bagi MPOB F5 Super pula, formulasinya ialah 10/6/19/2.5/0.5 + TE yang seuai untuk tanaman sawit matang sebagaimana ditunjukkan oleh rumusannya yang seimbang. Baja MPOB F5 dan MPOB F5 Super dirumus selaras dengan strategi industri sawit negara dalam memupuk penggunaan sisa buangan kilang sawit untuk melestarikan tanaman sawit dalam keadaan yang mesra alam dan mampan. MPOB F5 dan MPOB F5 Super telah dikeluarkan oleh Briar Resources Sdn Bhd dengan kerjasama MPOB. Talian pertanyaan : 012-4051 725.

Baja MPOB F6

Baja MPOB F6 dirumuskan melalui proses kering dan kompak dengan saiz baja yang lebih seragam. Semua bahan mentah yang digunakan di dalam baja ini akan dikisar halus, digaul sama rata sebelum dipadatkan dengan tekanan tinggi dan dipecahkan dalam bentuk butiran padat sekata. Saiz baja ini adalah lebih sekata dan aplikasi penaburan boleh menggunakan jentera penabur.

Keistimewaan baja MPOB F6 ialah ia mengandungi 100% bahan unsur fosfat larut dengan analisis melebihi 60% larut air dan asid sitrik serta mudah diserap oleh akar pokok. Formulasi baja ini ialah 10/7/18/2.5/0.5 B+ TE, dirumus khas untuk sawit muda dan matang serta sesuai digunakan ke atas semua jenis tanah mineral tropika. Kelebihan baja ini juga termasuk ia adalah baja yang membekal zat yang seimbang kepada tanaman sawit dengan kadar pelepasan nutrien yang sederhana membolehkan akar pokok mempunyai masa yang lebih lama untuk menyerap nutrien tersebut.

Bahan fosfat larut air yang digunakan di dalam rumusan baja ini memberi kesan yang lebih baik kepada tanaman sawit sawit dan sangat sesuai digunakan untuk tanah mineral di kawasan tropika yang biasanya mengandungi fosfat yang rendah. Secara perbandingan, fosfat yang diguankan dalam baja biasa adalah berasal dari batuan fosfat yang mana kadar pengambilan oleh pokok hanyalah 20 – 30% sahaja tetapi baja MPOB F6 yang mengandungi fosfat larut air sepenuhnya dapat diambil dengan jauh lebih cekap oleh sistem akar pokok sawit. Memandangkan baja MPOB F6 adalah kompak, maka tempoh simapannya adalah lebih lama serta lebih mudah untuk digunakan sama ada secara taburan manual ataupun dengan jentera penabur. Baja MPOB F6 telah dikeluarkan oleh syarikat Consolidated Fertiliser Corporation Sdn. Bhd. dengan kerjasama MPOB. Talian pertanyaan : 03-3165 8833.

Sumber maklumat :

Ahmad Afandi Murdi et al., “Teknologi Baja Seimbang untuk Tanaman Sawit”, Prosiding Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2016, MPOB.

Sila kongsi kepada kawan :