Bilangan dan berat buah tandan kelapa sawit akan berimbang sesama sendiri menurut usia pokok. Bilangan buah tandan akan berkurangan apabila pokok semakin matang. Namun begitu, pengurangan bilangan buah tandan akan diikuti oleh penambahan berat buah tandan. Menurut keadaan ini, boleh dikatakan pokok lebih muda akan menghasilkan bilangan buah tandan yang lebih banyak daripada pokok lebih matang. Walaupun begitu, berat purata setiap buah tandan adalah lebih tinggi pada pokok lebih tua jika dibandingkan dengan pokok lebih muda. Inilah gejala am yang berlaku pada tanaman kelapa sawit.
Kajian oleh dua orang ahli pakar tanaman kelapa sawit iaitu R.H.V. Corley dan Breure (1992) mengenai reaksi bilangan buah ke atas berat buah menyelongkar pembuangan 75% tunas bunga mengakibatkan penambahan berat purata buah tandan sebanyak 67%, iaitu berlonjak dari 7.6 kg/tandan kepada 12.7 kg/tandan. Penambahan berat buah tandan ini adalah disebabkan oleh penambahan bilangan spikelet dan bunga dalam mayang betina sebanyak 26% kemudian diikuti oleh penambahan berat set buah (fruit set), spikelet dan tangkai buah tandan secara berkadar dalam tempoh pembesaran buah tandan.
Kewujudan imbangan antara kedua-dua aspek ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor berikut :
1. Bilangan Pelepah Pokok Berkurangan Apabila Usia Pokok Meningkat
Pokok Muda kelapa sawit di ladang akan menghasilkan 40 pelepah setiap tahun mulai tahun ketiga. Pada usia 8 – 12 tahun lepas tanam, penghasilan pelepah akan merosot kepada 20 24 pelepah setahun. Disebabkan satu mayang bunga akan dihasilkan bersama dengan pertumbuhan setiap pelepah, maka pengurangan bilangan pelepah secara langsung akan mengurangkan bilangan buah tandan. Ini bermakna penambahan usia pokok akan menyebabkan kemerosotan hasil akibat pengurangan bilangan buah tandan. Namun begitu, keadaan kemerosotan hasil ini telah dapat diringankan dengan penambahan berat buah tandan.
2. Kecekapan Daun Berkurangan Ekoran Penambahan Usia Pokok
Menurut sumber, tisu daun sawit yang cekap dari segi proses fotosintesis telah berkurangan berikutan dengan penambahan usia pokok. Ini akan mengurangkan pembentukan jirim kering karbon (carbon dry matter). Jirim ini digunakan pada tisu hidup batang pokok dan pernafasan akar pokok, maka dengan berkurangan jirim ini menyebabkan agihan tersebut untuk pembuahan juga dikecilkan.
3. Pembentukan Kanopi Pokok Mengurangkan Serapan Cahaya

Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Dalam tempoh 4 – 5 tahun lepas tanam, pokok sawit semakin membesar dan meninggi serta mula membentuk kanopi yang agak sempurna menjelang tahun 7 – 8 lepas tanam. Kanopi yang terbentuk akan mengurangkan serapan cahaya matahari terutama oleh daun-daun pokok yang bertindih antara satu sama lain. Apabila kadar serapan ini berkurangan, kecekapan proses fotosintesis akan menurun, selanjutnya mengurangkan penjanaan jirim kering dengan implikasi hasil sawit akan diganggu.
Penambahan Berat Buah Tandan
Terdapat dua sebab yang dapat menerangkan penambahan berat buah tandan.
Pertama – Apabila bilangan buah tandan berkurangan, maka agihan karbohidrat kepada buah tandan dalam pembesaran semakin tinggi menyebabkan buah lebih besar dan berat.
Kedua – Pendebungaan yang lebih sempurna juga wujud sebagai faktor penting untuk mendapatkan buah tandan yang lebih berat. Bunga betina yang telah menerima debunga yang dibawakan oleh kumbang Elaeidobius kaerunicus akan menjadi buah sawit (fruit set).
Selain itu, kegiatan agronomi tertentu juga mempengaruhi aspek keberatan buah tandan seperti pangkasan pelepah berlebihan, serangan perosak dan penyakit serta pembajaan yang tidak mencukupi. Dari sudut ini, pembajaan kalium pada amnya membantu memberatkan buah tandan di samping menambahkan kandungan minyaknya.
Sumber Maklumat :
1. Mohd Haniff Harun, “Yield and Yield Components and Their Physiology”, Advances In Oil Palm Research, Vol. 1, MPOB, 2000.
2. R.H.V. Corley and P. B. Tinker, The Oil Palm, Blackwell Science Ltd, 2003.
PPP Agricare Sdn Bhd
Tel : +6 012 237 6790 & +6 012 720 3301
E-mail :pppagricare@gmail.com