All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com
Tanaman durian dalam negara diusahakan mengikut budi bicara penanam masing-masing yang berasaskan keadaan tanah dan cuaca setempat yang berbeza. la juga berdasarkan pengalaman penanam mengikut keadaan kesihatan pokok termasuk tumbesaran dan pengeluaran hasil. Oleh yang demikian, segala cadangan yang disyorkan .di bawah adalah untuk rujukan am penanam.
Pertama sekali, adakah pokok durian perlu dipangkas? Pelbagai kajian yang lalu tidak memberi jawapan yang sama. Umpamanya, Coleman (1959) mendapati dahan bawah pokok durian akan “memangkas secara sendiri” justeru itu pangkasan tidaklah perlu. Namun, tanaman durian yang ditanami di masa kini sudah bercorak mengikut bentuk segi tiga dan justeru itu pangkasan dahan dijangka dapat mengurangkan risiko kerosakan oleh tiupan angin.
Beberapa penyelidik pernah juga menyarankan bahawa pokok durian cantuman hendaklah dipangkas dahan bawahan demi mengelakkan serangan penyakit cerana atau kanker. Coronel dan rakan-rakan (1983) mencadangkan kesemua dahan bawahan pokok berjarak 2 meter ke bawah dari permukaan tanah dipangkas. Di Thailand, pokok durian yang mencapai ketinggian 10 meter sudah dipangkas di bahagian tengah pokok supaya mengawal ketinggian. Pokok juga diamalkan dengan penjarangan buah dengan hanya meninggalkan 1-2 biji pada setiap dahan pokok atau 50 150 biji buah per pokok (Subhadrabandhu et al., 1991). Kelihatan amalan agronomi ini tidaklah sama dengan amalan di negara kita.
Pangkasan akar anak pokok durian juga mempunyai pandangan berlainan. Chong (1985) berpendapat akar yang menggulung dalam beg palstik hitam tidak perlu dipangkas manakala Ghani (1992 a,b) pula menegaskan pangkasan akar dapat meningkatkan kadar hidup anak pokok serta memperoleh batang pokok yang lebih besar.
Dari segi pembajaan, Kanapathy (1976) berpendapat anak benih durian tidak memerlukan baja yang banyak kerana sistem akar belum dapat menerima nutrien dengan sempurna. Ding (1988) mendapati sebanyak 15% anak benih durian di tapak semaian mengalami kekurangan nutrien khususnya magnesium, mangan dan kuprum. Chiow (1976) mendapati saiz batang anak pokok durian yang dibaja dan yang tidak dibaja tidak banyak berbeza tetapi perbandingan di antara 4 baka durian telah mendapati pokok yang dibaja mempunyai buah yang lebih berat sebanyak 4 kali ganda berbanding pokok yang tidak dibaja.
Watson (1984) mendedahkan pula baja organik tidak harus digunakan kerana akan meningkatkan kadar jangkitan penyakit cerana. Sepanjang masa, pembajaan tanaman durian adalah berbeza-beza termasuk cadangan penaburan kadar nitrogen atau kadar kalium yang tinggi. Umpamanya Morton (1987) mencadangkan penaburan 5 g rumusan baja 16/16/16 terhadap anak benih durian, Kanapathy (1976) pula mencadangkan penggunaan baja 18/11/5/2.5 pada pokok durian untuk 5 tahun pertama selepas ditanam kemudian menukar kepada 13/9/15/3 atau 12/6/22/3 pada tahun-tahun berikutnya, manakala Mohamad Idris (1987) mencadangkan pembajaan 3 pusingan dengan 15/15/15 sehingga mencapai umur 5-6 tahun selepas ditanam kemudian disusuli dengan baja yang mengandungi kalium yang tinggi pada tahun-tahun berikut.
Woller dan Idsava (1981) menegaskan pula kepentingan baja seimbang terhadap tanaman durian dan mencadangkan pembajaan dengan rumusan 13/13/13 pada tahun pertama selepas ditanam dengan kadar 0.5 kg per pokok, kemudian diteruskan dengan baja yang sama tetapi pada kadar 1.5 kg per pokok dan ditukarkan kepada baja 12/24/12 pada kadar 2 kg per pokok menjelang umur 4-5 tahun selepas ditanam. Di Thailand, pembajaan titisan digunakan semasa pembungaan dengan nisbah NPK 1:1:1, semasa kutipan hasil dengan nisabah NPK 2:1:2 dan 4 bulan selepas kutipan hasil dengan nisbah NPK 1:1:1.
Ng dan Thamboo (1967) pernah membuat analisis ke atas kandungan nutrien hasil durian untuk mengetahui keadaan sebenar pengangkutan keluar nutrien melalui buah matang yang dikutip. Menurut anggaran mereka, hasil durian 6720 kg per hektar yang dikutip masing-masing mengandungi Nitrogen 161.1 kg, fosforus 2.72 kg, kalium 27.9 kg, kalsium 1.99 kg dan magnesium 3.26 kg. Kesemua nutrien ini yang terkandung di dalam buah durian diangkut keluar dan dianggap sebagai kehilangan yang perlu ditokok tambah ke dalam tanah. Dari sini, kelihatan kandungan nutrien nitrogen dan kalium di dalam buah durian adalah tinggi manakala fosforus, kalisum dan magnesium lebih rendah secara relatif. Dengan kata lain, boleh dikatakan keperluan tanaman durian terhadap kedua-dua jenis nutrien ini adalah lebih tinggi daripada nutrien lain dalam pembentukan buah.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Yaacob (1983) juga pernah melaporkan tanaman durian sebenarnya tidak memerlukan kadar baja yang tinggi baik pokok muda yang akarnya belum kembang sepenuhnya atau pokok yang telah matang. Juga terdapat penemuan yang mengatakan buah durian yang dikutip pada 2 tahun pertama pembuahan mengandungi nutrien yang rendah (mungkin sebab buah bersaiz kecil) justeru kadar baja yang berat tidak diperlukan. Oleh itu beliau menyarankan pembajaan dengan 16/6/22/3 pada kadar 2-4 kg per pokok per tahun sudah memadai.Akhir sekali, didapati juga keperluan kalium oleh tanaman durian adalah lebih tinggi daripada nitrogen dalam proses tumbesaran pokok dan juga pembentukan buah.
Berbanding dengan nutrien lain, keperluan fosforus (P) oleh tanaman durian adalah lebih rendah. Kajian mengenai kecekapan NPK untuk tanaman durian muda mendapati nitrogen tidak begitu berkesan dalam pembentukan pokok, sebaliknya fosforus telah meningkatkan ketinggian pokok manakala kalium berjaya memupuk pembentukan pokok. Oleh yang demikian, pembajaan dengan baja kalium pada kadar yang tinggi kelihatan lebih sesuai. Sebuhungan itu, semburan baja kalium nitrat (potassium nitrate, KNO3)atau baja setanding dapat membesarkan buah di samping menghasilkan isi buah yang lebih padat dan biji buah yang lebih kecil. Keadaan ini berpunca daripada baja ini mampu membatasi pengeluaran pucuk daun baru selanjutnya mengurangan saingan nutrien (Punnachit dan rakan-rakan, 1992).
Kajian agronomi tanaman durian juga menjurus ke arah mengkaji pengaruh sifat tanah terhadap prestasi tanaman dan mencadangkan bukan semua jenis tanah sesuai untuk ditanami durian khususnya tanah gambut, tanah berpasir dan tanah yang saliran air tidak baik hendaklah dielakkan. Namun, didapati menanam durian di tanah kurang subur di tanah tinggi adalah lebih baik daripada menanamnya di tanah pesisir pantai yang subur (Hassan n.d; Kanapathy, 1976). Pendekata, struktur tanah yang tebal serta mempunyai kapasiti saliran air yang baik adalah kawasan penanaman yang optimum. Topografi tanah yang rata sehingga ketinggian beraras laut 460 meter sama-sama sesuai untuk tanaman ini.
Walaupun tanaman durian juga boleh hidup di tanah berkualiti rendah, tetapi prestasi tumbesaran akan terjejas termasuk pengeluaran hasil yang rendah malah tidak berhasil langsung. Tanaman ini mampu bertahan dengan baik terhadap tanah yang rendah kandungan nutrien serta tanah masam di samping juga boleh tahan terhadap banjir jangka pendek, namun struktur tanah yang cetek (ketebalan kurang daripada 2.5 kaki)bukanlah pilihan penanaman yang baik. Tanah yang cerunnya antara 25-35 darjah tetap sesuai untuk ditanami tetapi kaedah pemeliharaan air perlu ditingkatkan di kawasan ini kerana tanaman durian memerlukan 360 liter air setiap hari. Oleh itu, di kawasan bermusim kering, pemasangan sistem pengarian air adalah perlu.
Dalam pada itu, peningkatan kadar hidup anak pokok durian juga tetap diperhatikan. Misalnya anak pokok yang saiz batang kurang daripada 3 cm didapati mempunyai kadar hidup yang rendah pada 29% sebaliknya batang bersaiz 3 cm mampu meningkatkan kadar hidup sehingga 66-77% seperti anak benih durian D24. Keadaan ini menyatakan anak benih durian amat sensitif terhadap suasana sekitaran yang mana kelembapan tanah menjadi isu paling utama. Oleh itu, anak benih yang baru ditanam hendaklah diberikan naungan daripada pancaran cahaya matahari dengan cara menanam tanaman selingan seperti pisang, jambu batu, nanas,koko atau tumbuhan gliricidia selama 3 -4 tahun. Tanaman betik dan kelapa pula tidak digalakkan demi mengelakkan jangkitan penyakit.
Dari segi teorinya, tanaman durian boleh ditanam menggunakan jarak di antara 10.5 x 10.0 m. Keadaan ini akan menghasilkan jumlah pokok 86 pohon per hektar. Jumlah pokok ini kemudian dikurangkan melalui tebangan pokok sehingga mengekalkan 67 pokok. Jika pokok dijarangkan pada tahun ke-10 hingga ke-12,dan diandaikan pokok mula mengeluarkan hasil pada tahun ke-5 selepas ditanam, maka lebihan pokok 19 pohon (86-67 pokok)akan memberi hasil selama 5 – 7 tahun. Hasil ini merupakan hasil tambahan yang boleh diperolehi melalui penggunaan penuh ruang tanah kosong di antara pokok durian. Bagi tanaman durian, umur pokok di antara 10-12 tahun dijangka belum mencapai pengembangan kanopi sepenuhnya justeru tidak mewujudkan masalah saingan pancaran cahaya matahri ke tas prestasi tanaman. Hal ini walaupun kelihatan boleh dijalankan tetapi dalam keadaan realiti mungkin tidak akan mendapat sambutan penanam kerana menebang pokok matang di kebun kadang-kadang satu tugas yang rumit di samping juga pokok durian yang telah matang itu akan sayang untuk ditebangkan pada masa itu.
Sumber maklumat :
Michael J. Brown, Durio-A Bibliographc Review, International Plant Genetic Resources Institute, 1997, hal. 81-87.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd