You are currently viewing Berkenaan Penanaman Belimbing ….

Berkenaan Penanaman Belimbing ….

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Di Malaysia, keluasan tanaman belimbing dianggarkan 360 hektar (2021, statistik Jabatan Pertanian). Taburannya berada di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor. Tempat berasal bagi tanaman ini kurang pasti, ada yang mengatakan ia berasal dari Sri Lanka, India, Malaysia, Indonesia, Brazil dan sebagainya. Seratus tahun lalu, tanaman belimbing sudah memasuki Australia dan Amerika Syarikat. Bentuk buah belimbing sangat unik, serupa bentuk bintang setelah dibelah.

Pada hakikat, belimbing merupakan tanaman tropika kawasan tanah rendah, namun, pada ketinggian 1,200 meter serta kekurangan pancaran matahari, tanaman ini juga boleh hidup. Di kawasan yang berisiko menakung air, ia tidak sesuai untuk ditanam. Bekalan air sangat penting kepada tanaman belimbing memandangkan buahnya mengandungi 70% – 90% air. Justeru itu, sistem pengairan hendaklah dipasang jika ia ingin ditanam di kawasan yang mempunyai musim kemarau jelas seperti di Malaysia Utara.

Bunga belimbing berwarna ungu cerah atau merah. Setiap kuntum bunga mempunyai kedua-dua organ jantina. Bunganya perlu didebungakan secara silang, maksudnya pendebungaan tidak akan berjaya jika debunga dan bunga betina sesama baka dikacukkan. Warna bunga yang indah bagi tanaman ini serta kandungan nektar yang tinggi berjaya menarik kedatangan pelbagai serangga. Justeru itu, pendebungaan bagi tanaman ini amnya tidak bermasalah selagi kebun itu ditanami pelbagai baka untuk memudahkan pendebungaan. Dalam keadaan ini, hasil tanaman ini amnya juga lebat kerana mudah didebungakan oleh serangga khususnya lebah madu dan kelulut yang lumrah di tanahair ini.

Setiap kebun belimbing disyorkan untuk menanam baka belimbing B2 atau B11 sebagai sumber debunga manakala baka B10 atau B17 ditanam untuk pengeluaran buah. Setiap 12 pokok baka B10 atau B17 seelok-eloknya diselangi satu pokok baka B2 atau B11 untuk penghasilan debunga bagi tujuan pendebungaan yang optimum. Cara alternatif bagi kaedah penanaman ini ialah mencantumkan sion baka B2 atau B11 pada satu atau dua dahan pokok B10 atau B17. Tanda-tanda kemudian dibuat pada dahan cantuman ini supaya ia tidak terpangkas nanti. Menurut sumber, melalui penanaman secara campuran baka ini, belimbing akan memperolehi kadar pendebungaan optimum dan menghasilkan buah yang menggalakkan.

Setakat ini, Jabatan Pertanian telah mendaftarkan tidak kurang daripada 17 baka belimbing, tetapi yang berpotensi komersial hanyalah B2, B10, B11 dan B17. Tiga tahun lalu MARDI melancarkan baka belimbing baru yang dikenali sebagai Bintang Mas. Baka baru ini memiliki kualiti yang tinggi dan ia juga dimasukkan ke dalam senarai rekomendasi penanaman secara komersial. B10 dan B17 merupakan kultivar komersial. Untuk eksport, B10 lebih sesuai berbanding B17 kerana serabut B17 lebih banyak serta keras sedikit untuk pasaran eksport. Namun, B17 adalah kultivar belimbing yang paling manis dengan brix di antara 12-18. B2 dan B11 amnya ditanam untuk pengeluaran debunga sahaja.

Belimbing merupakan tanaman berhasil tinggi. Potensi hasil buah mencatatkan 40 tan/ha. Satu tahun selepas ditanam, pokok akan mula berbunga dan berbuah. Bagi mengelak gangguan ke atas pertumbuhan vegetatif, bunga di peringkat ini amnya dibuang supaya pokok dapat membesar dengan lebih baik. Walaupun hasil buah belimbing sering sangat lebat, tetapi untuk mendapat buah yang besar dan seragam, amalan penjarangan buah dan membungkus buah hendaklah dijalankan supaya menjamin kualitinya. Jika buah tidak dibungkus, serangan serangga akan berlaku terhadap buah dan membawa kerugian besar kepada petani.

Apabila pokok belimbing sudah matang, ia mempunyai 4 – 5 musim bunga dalam setahun. Bunga mengorak di bahagian luar kanopi dan mudah dikesan oleh serangga pendebunga. Bunganya berkembang di waktu pagi serta secocok dengan masa pemecahan karung debunga. Bunganya berkesan selama 2 – 3 hari untuk menerima debunga. Pendebungaan yang berjaya akan memperlihatkan putik buah terbit seminggu selepas itu. Bunganya juga banyak terhasil pada dahan sekunder merangkumi 69% manakala dahan utama hanya mempunyai 21% jumlah bunga sepokok. Pendek kata, keadaan sedemikian telah meningkatkan pengeluaran hasil buah belimbing.

Pada asasnya, jika belimbing dibiarkan mengeluar hasil secara sendiri, kadar pembentukan buah didapati agak rendah (2.79% – 2.98%). Ini kerana sifat pokok yang memerlukan pendebungaan silang. Justeru itu, penanaman pelbagai baka dapat meningkatkan kadar hasil tersebut. Sungguhpun demikian, memandangkan kadar pembungaan yang amnya tinggi, maka pengeluaran hasilnya kebiasaan pada tidak mendatangkan masalah. Selagi 0.5% bunganya berjaya didebungakan, hasil buah sudah dikira lumayan. Buah belimbing kadangkala berbentuk cacat akibat pendebungaan tidak sempurna atau gangguan suhu udara yang menyebabkan pertumbuhan tiub debunga terjejas. Sebagai petua untuk menanam belimbing, campuran baka hendaklah diamalkan di kebun bagi mendapat hasil yang lumayan.

Bunga belimbing akan tumbuh selepas pemucukan baru. Setiap tahun, tanaman ini mempunyai 4 – 6 kali pemucukan baru, bermaksud petani akan memperolehi 4 – 6 kali kutipan hasil. Apabila putik buah sudah sebesar 10 – 30mm (3 minggu selepas pendebungaan), penjarangan buah boleh dimulakan dengan hanya mengekal sebiji buah dalam satu jambak. Dahan sekunder dan dahan utama juga perlu dipelihara dengan baik sebab kedua-dua bahagian pokok ini menghasilkan bunga dan buah yang banyak. Pemeliharaan ini dijalankan melalui bekalan air yang mencukupi serta pembajaan mengikut masa. Tambahan, dahan berlebihan serta tidak berfungsi hendaklah dipangkas bagi memupuk kesihatan dahan sekunder dan utama.

Belimbing dibiak melalui biji benih dan cantuman. Cara mudah ialah menggunakan biji benih, disemai, 4 – 5 minggu kemudian akan bercambah setinggi kadar 80%. Sebulan selepas percambahan, anak benih dipindah ke dalam polibeg 18 x 25cm.

Bagaimanapun, anak benih daripada biji benih amnya kurang berkualiti. Justeru itu, pengeluaran anak benih seumpama ini amnya digunakan sebagai pokok penanti. Apabila anak benih dikultur selama 6 bulan dalam polibeg, ia sesuai digunakan sebagai pokok penanti untuk proses percantuman. Dalam tempoh kultur anak benih dalam polibeg itu, polibeg hendaklah diletakkan di kawasan bernaungan 50% cahaya matahari serta ditabur baja 15/15/15 dua bulan sekali pada kadar 30g/pokok.

Dari segi cantuman pula, hanya perlu menggunakan sion baka B10 atau B17 kemudian dicantumkan secara mata tunas atau secara sisi dengan menggunakan sion B10 atau B17 yang sepanjang 8 – 10cm. 4 Minggu kemudian, pita cantuman boleh ditanggal. Cantuman yang berjaya akan membolehkan pokok tersebut dipindah tanam ke kebun selepas 3 bulan.

Jarak tanaman belimbing perlu bergantung kepada saiz pokok. Sesetengah baka mempunyai saiz yang lebih besar seperti B10, maka jarak 6m x 6m digunakan. Kaedah ini dapat memuatkan 278 pokok/ha. Kawasan bekas lombong juga sesuai ditanami belimbing mengikut jarak 4.6m x 4.6m (480 pokok/ha). Penanaman padat boleh juga dipertimbangkan dengan menggunakan jarak 4m x 6m (416 pokok/ha).

Amalan pembajaan bagi tanaman ini agak mudah. Sebelum pokok matang (umur 1 – 2 tahun), baja 15/15/15 pada kadar 200g/pokok ditabur setiap dua bulan. Mulai tahun ketiga, rumusan baja ditukarkan kepada 12/7/24 dan ditabur mengikut masa yang bersesuaian dalam tempoh 4 musim dalam setahun, seperti berikut :

1. Dua minggu selepas pangkasan daun, masa ini bersesuaian dengan pemucukan baru kerana amnya selepas dua minggu pangkasan daun dilakukan, pemucukan baru akan bermula.

2. 2 – 3 minggu selepas pengeluaran putik buah.

3. 3 – 4 minggu selepas pembajaan kali pertama. Tempoh masa ini juga merupakan tempoh pembesaran buah.

Kadar pembajaan bagi keempat-empat musim (setahun) di atas adalah 4kg/pokok/tahun dan dipecahkan sama rata untuk 4 kali setahun.

Apabila pokok berumur 4 tahun, baja yang sama tetap digunakan tetapi kadarnya ditingkatkan kepada 10kg/pokok/tahun. Pada umur 5 tahun, baja ditingkatkan lagi kepada 15kg/poko/tahun kemudian 18 – 20kg/pokok/tahun bagi pokok berumur 6 tahun dan seterusnya. Baja organik juga perlu diberikan kepada pokok belimbing. Dalam hal ini, pokok belum matang diberikan 5kg/pokok/tahun manakala pokok sudah matang diberikan 8 – 10kg/poko/tahun dengan dipecahkan sama rata kepada 2 – 3 kali/tahun.

Amalan pangkasan daun selepas kutipan hasil akan memupuk pemucukan baru dan seterusnya pembungaan dan pembuahan. Keadaan sedemikian menjadikan pembajaan sangat penting supaya pokok sentiasa mendapat nutrien yang cukup untuk pembuahan akan datang.

Menurut sumber, pokok belimbing sudah mampu menghasilkan buah sebanyak 13 tan pada tahun ketiga. Hasil ini akan meningkat setipa tahun sehingga tahun ketujuh. Ketika ini hasil buah sudah mencapai 40 tan/tahun. Hasil ini akan stabil sehingga pokok mencapai umur 25 tahun.

 

Sumber maklumat :

1.Panduan Pengeluaran Belimbing, Penyunting M. Abd. Rahman et al.,MARDI, 1992. Zabedah Mahmood et al., Manual Teknologi Penanaman Belimbing, MARDI, 2013.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Agroharta Fertilizer Sdn Bhd
1-3-1, Jalan Setia Prima M U13/M, Setia Alam Seksyen U13, 40170 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel : 603-3341 2288
Fax : 603-3341 8219
E-mail : admin@agroharta.com.my

Website: www.agroharta.com.my

Sila kongsi kepada kawan :