Kali ini kami sampai ke sebuah kebun durian yang baru ditanam. Keluasan kebun tersebut agak besar, dari rumah pelindung hujan, kami dapat melihat pekerja sedang bekerja di lereng bukit di kebun itu. Walaupun sudah ditanam, anak benih durian perlu juga dijaga seperti pembajaan dan merumput serta meneliti tumbesarannya, yang lemah dan yang mati perlu disulam dengan pokok baru. Ruang kosong di antara anak benih durian pula ditanami dengan anak benih pisang. Anak benih durian dan pisang masing-masing berumur lebih kurang 3 bulan tetapi banyak anak benih pisang sudah dijangkiti penyakit. Sekali pandang disyaki terjangkit penyakit Moko. Sebanyak 30 – 40% anak benih pisang sudah dijangkiti penyakit tersebut.
Pengurus yang juga penasihat kebun tersebut mengatakan itu adalah anak benih pisang dari kultur tisu. Betulkah anak benih kultur tisu sebab menurut apa yang kami ketahui, bahan tanaman kultur tisu amnya bebas penyakit, takkan semudah dijangkiti penyakit! Jika itu betul-betul anak benih kultur tisu maka pengeluar bahan tanaman ini tentu bermasalah khasnya dalam pemilihan tisu-tisu induk untuk dijadikan bahan tanaman. Mungkin juga ini adalah bahan tanaman anak sulur daripada pokok induk yang sudah berpenyakit.
Keadaan semasa ini memusykilkan pengurus kebun itu kerana anak benih pisang sudah ditanam, dijangka tidak lama lagi kebanyakannya akan mati ekoran rebakan penyakit ini. Adakah anak benih durian akan dijangkitinya? Biarpun tiada laporan yang mengatakan penyakit Moko boleh berjangkit kepada anak benih durian, namun pathogen yang terpendam dalam tanah mungkin akan mengundang kehadiran penyakit lain.
Inilah satu senario seorang pengurus yang berpengalaman dalam penanaman durian, oleh sebab ini ia ditugaskan untuk mengurus kebun durian ini oleh seorang pelabur yang telah membeli kebun durian ini. Pelabur ini bukanlah orang agro, sebaliknya bekerja di luar sektor pertanian. Masalah mula wujud apabila pelabur membeli anak benih durian dan pisang serta baja organik. Anak benih durian yang dibeli adalah yang paling kecil, agaknya ketinggian satu kaki sahaja waktu ditanam. Bagaimanapun, ini tidak menjadi masalah kerana kadar pertumbuhan anak benih durian agak optimum sehingga kadar hidup mencapai 99%.
Seterusnya anak benih pisang yang dibeli dikatakan berasal dari bahan tanaman kultur tisu. Masalah sekarang ialah anak pokok pisang sudah ditanam dan banyak sudah dijangkiti penyakit. Agaknya anak benih ini diperolehi dari pengeluar yang kurang teliti dalam pengeluaran bahan tanaman. Akhir sekali ialah baja organik yang dibeli itu pun tidak tahu mana puncanya. Sama ada ia betul-betul baja organik atau setakat tanah berpenyakit pun tidak tahu. Penyakit anak pisang mungkin juga berasal dari “baja organik” ini kerana kemungkinan berasal dari tanah berpenyakit. Segala ini perlu ditinjau selanjutnya sebelum boleh mendapat keputusan.
Berikutnya, kebun seluas ini hanya mengupah 5 orang pekerja. Setiap satu dibayar upah RM1,500 sebulan. Dalam senario kini, upah seumpama ini sudah tidak mampu mengekalkan pekerja untuk terus bekerja di kebun kerana mudah “dikorek” oleh pengusaha tanaman lain yang sudi membayar jauh lebih tinggi. Tidak hairanlah dua orang sudah melarikan diri ke tempat lain. Khabarnya ada dua orang lagi yang akan ikut sama. Apabila menerima berita ini, pengurus tersebut cepat-cepat menambah upah RM250/bulan kepada mereka. Tindakan ini berjaya mengekalkan mereka di kebun untuk sementara waktu. Berapa lama mereka boleh tahan dengan upah ini tidak ada orang tahu.
“Jika mereka lari lagi, saya juga akan letak jawatan sebagai pengurus dan penasihat kebun ini!” Katanya kepada kami sempena lawatan kami ke kebunnya.
Kejadian ini agak malang kerana anak benih pisang berpenyakit akhirnya kena dicabut dan dimusnahkan. Ini satu kerugian besar kepada pelabur, yang peliknya projek penanaman ini kelihatan sudah terpesong dan cacat dari peringkat permulaan. Pengurus itu berkata perbincangan kos dan peruntukan pernah dijalankan di antara pelabur dan beliau sebelum bermulanya penanaman, tetapi apabila mula ditanam, cerita lain pula berlaku. Pendek kata, kegiatan penanaman serta input pertanian yang ingin digunakan tidaklah mengikut apa yang dibincangkan sebelum itu. Pemotongan kos dan peruntukan sudah berlaku, misalnya pembelian anak benih kurang berkualiti, pembelian baja dari sumber tidak sah dan sebagainya. Kejadian seperti ini hanya akan mendinginkan hati seorang penasihat yang penuh aspirasi untuk menjayakan projek pelaburan ini.
Justeru itu, usaha membangunkan sebuah kebun durian hendaklah dimulakan dengan perancangan yang teliti. Selepas Selepas menentukan jumlah peruntukan, langkah berikut jalah mematuhinya dengan betul. Namun, sedikit sebanyak pengubahsuaian masih dibenarkan mengikut perkembangan projek. Aktiviti pertanian tidak akan berjaya sekadar ada modal, baja, anak benih dan input lain, sebaliknya pengalaman dan kepakaran di sektor ini sangat penting untuk menjamin kejayaan.
Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com