Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com
Website : www.unionharvest.com
Kini semakin ramai penanam menceburi ke sektor penanaman kelapa. Golongan ini termasuk generasi muda yang lebih bertumpu terhadap bahan tanaman berhasil tinggi yang boleh diperolehi daripada pengeluar atau daripada tapak semaian yang mempunyai sistem pengurusan yang baik.
Peranan pengusaha tapak semaian amat penting dalam membekal bahan tanaman bermutu tinggi kepada penanam bukan sahaja dari segi membekal bahan tanaman tulen, malah hendaklah memastikan anak benih adalah sihat belaka semasa pindah tanam ke ladang.
Dalam aspek ini, maka pengusaha tapak semaian perlu memastikan pertumbuhan anak benih kelapa di tapak semaian adalah sekata dan seragam, kadar serangan serangga perosak yang minimum serta menjalankan penakaian yang ketat demi kesejahteraan penanam kelak. Justeru itu, pengurusan sistematik tapak semaian kelapa menjadi penting untuk ditelitikan.
Saiz Tapak Semaian
Anggaran saiz tapak semaian adalah berdasarkan jumlah pokok yang ingin dikultur. Umpamanya jika polibeg disusun mengikut jarak 0.6m x 0.6m x 0.6m segi tiga sama, maka akan dapat memuat 28,000 pokok/ha. Untuk mencegah tapak diserangi perosak seperti babi, landak, monyet malah pencuri, pembinaan pagar amat digalakkan.
Pengairan Di Tapak Semaian
Pengairan tapak semaian kelapa amat digalakkan dengan menggunakan overhead sprinkler. Sistem pengairan kabus juga sesuai jika kawasan tapak adalah rata serta mempunyai bekalan air yang bersih.
Sistem Semaian Satu Tingkat
Inilah salah satu kaedah yang digunakan di tapak semaian iaitu menam terus biji benih kelapa ke dalam polibeg besar yang telah siap disusun dengan jarak 0.6m segi tiga sama. Sistem ini mempunyai kelebihan dari segi penjimatan kos polibeg, mengelak kejutan pengalihan bahan tanaman dan pertumbuhan yang lebih cepat. Akan tetapi, sistem ini memerlukan tenaga buruh yang lebih ramai, melambatkan kerja-kerja penakaian dan peningkatan kos elektrik dan bahan api. Terdapat beberapa aktiviti penting dalam sistem satu tingkat ini seperti berikut :
1. Mengisi Tanah Ke Dalam Polibeg
Aktiviti ini seelok-eloknya dijalankan di tapak semaian bagi menjimat kos pengangkutan dan juga masa. Tanah yang disi ke dalam polibeg hendaklah tanah permukaan permukaan yang bebas penyakit serta tidak mengandungi bahan organik yang tinggi seperti muck atau gambut supaya mengelak serangan kulat Culvularia. Pemilihan tanah yang kering dan bertekstur longgar akan meningkatkan peredaran udara dalam polibeg.
Polibeg yang telah diisi tanah hendaklah disiram dengan air bagi memampatkan tanah. Jika paras tanah menurun maka tanah dalam polibeg harus ditokok sehingga ke aras 2.5 cm dari bahagian atas polibeg.
2. Menyusun Polibeg
Polibeg kemudian disusun mengikut jarak 0.6m secara segi tiga sama. Disarankan setiap petak mengandungi 100 pokok (4 baris dan 25 pokok setiap baris) untuk memudahkan Susunan polibeg juga penyelenggaraan hendaklah menghala ke arah barat-timur untuk mendapat kesan optimum daripada pancaran cahaya matahari.
3. Menyemai Bahan Tanaman
Sebelum biji benih disemai, penyiraman air secukupnya digalakkan supaya tanah polibeg menjadi lembut dan memudahkan biji benih ditanam. Jangan tanam terlalu mendalam sehingga tunas anak pokok kelapa susah bercambah. Hala tunas hendaklah dipastikan menghala ke atas dan akar pula menghala ke bawah. Selepas siap menyemai, siram sekali lagi air.
4. Memberi Lindungan Kepada Anak Benih
Bahan tanaman yang baru disemai hendaklah diletakkan di bawah naungan sementara sehingga anak benih mengeluarkan dua helai daun. Sebelum itu, pelepah sawit, kelapa, nipah atau jaring nyamuk boleh digunakan sebagai lindungan. Pastikan lindungan seumpama ini diberikan kepada setiap anak benih. Dengan meletak anak benih di bawah pokok besar juga dapat menyediakan lindungan yang baik selain mengurangkan sejatan air ke udara.
Sistem Semaian Dua Peringkat
Sistem ini menggunakan dua peringkat iaitu peringkat pertama menyemai anak benih di atas tapak semaian berpasir untuk selama 2-3 bulan sebelum dialih ke polibeg besar. Peringkat kedua ialah mengalih semaian kecil ke dalam polibeg besar berukuran 12 inci x 15 inci serta disusun dengan jarak 0.6m segi tiga sama untuk tempoh 7-9 bulan selanjutnya sebelum pindah ke ladang.
Dalam sistem ini, anak benih yang diletakkan di tapak semaian berpasir hendaklah dilitupi dengan jaring nyamuk. Saiz maksimum semaian kecil hanya merangkumi 1/10 keluasan tapak semaian manakala ruang untuk semaian besar jauh lebih besar. Anak benih disusun rapat dalam media pasir dengan anggaran setiap petak mengandungi 1000 pokok (10 baris dan 100 biji pada setiap baris). Media berpasir untuk semaian kecil ialah meningkatkan kadar serapan air dan memanfaatkan anak benih serta tidak merosakkan akar apabila dikeluarkan untuk dipindah ke polibeg besar. Selepas memindah ke polibeg, proseudr seterusnya adalah sama seperti amalan dalam sistem semaian satu peringkat (Rajah 1).
Mengalih Anak Pokok
Bukan semua anak benih di tapak berpaisr dipilih untuk dipindahkan ke polibeg besar, sebaliknya hanya anak benih yang sihat dibenarkan dipindah. Pindahan ini dilakukan apabila anak benih berumur 2-3 bulan di tapak berpasir. Siraman air diperlukan ke atas media pasir supaya cabutan anak benih menjadi mudah dan mengurangkan keroskaan akar. Tanah dalam polibeg besar juga hendak dibasahkan dengan air bagi memudahkan kerja semaian. Tanah di tengah polibeg besar digali kemudian ditanami dengan anak benih. Pastikan hala tunas dan akar adalah betul.
Penjagaan Anak Benih Di Tapak Semaian
Selepas pemindahan ke polibeg besar serta disusun mengikut jarak yang ditentukan, air disiram dua kali sehari iaitu pada 11.00am dan 4.00 pm. Kadar air yang diperlukan untuk anak benih baru ditanam ialah 0.5 liter/pokok/hari manakala anak benih berumur 8 bulan dan ke atas memerlukan 2.5 liter/pokok/hari. Siraman air dijalankan dengan lebih kerap jika tanah semaian terdiri daripada tanah gambut yang amnya lebih masam.
Merumput dijalankan sama ada secara manual atau dengan menggunakan racun jenis sentuhan. Amalan merumput disyorkan sekurang-kurangnya sekali sebulan di antara baris dan di dalam polibeg.
Membaja anak benih kelapa amat penting terutama membekal nutrien yang seimbang yang mengandungi NPK dan Mg hendaklah ditaburkan di polibeg. Sebelum pembajaan dijalankan, elok polibeg disiram dengan air bagi pengambilan nutrien yang cekap di samping juga mengelak kejadian lecur pangkal, batang dan daun pokok. Pembajaan dimulakan apabila anak pokok mengeluarkan 2 helai daun. Baja rumusan 15/15/6/4 boleh juga digunakan di peringkat semaian ini. Jadual 1 adalah rekomendasi baja untuk anak pokok berumur 9 bulan ketika di tapak semaian.
Kawalan serangga perosak dan penyakit juga penting. Disarankan bahawa agen pelekat dan agen pembasah dicampurkan ke dalam racun kimia bagi meningkatkan kesan racun. Masa yang sesuai untuk menyembur racun ialah semasa daun adalah kering iaitu di antara jam 11.00 am – 3.00 pm.
Satu prosedur terpenting bagi tapak semaian ialah penakaian supaya hanya anak benih yang normal dan sihat dibekal kepada penanam. Tidak semua anak benih adalah normal belaka kerana kejadian genetik, serangan serangga perosak serta kemungkinan kecuaian dalam pengurusan tapak semaian menyebabkan anak benih tumbuh secara tidak optimum. Untuk menjamin kesejahteraan penanam, peratusan penakaian elok tidak dihadkan walaupun keadaan ini mungkin akan meningkatkan kos pengusaha tapak semaian. Peringkat penakaian ditunjukkan di jadual 2. Diagram 1 pula menunjukkan beberapa jenis anak pokok tidak normal yang harus ditakai. Anak pokok yang ditakai dan tidak dikehendaki lagi hendaklah dimusnahkan seperti pemotongan di bahagian pangkal anak pokok.
Sumber maklumat :
Khairol Ismail, “Pengurusan Tapak Semaian Bersistematik Bagi Menjamin Bahan Tanaman Kelapa Berkualiti Tinggi”, Buletin Teknologi MARDI, Bil. 12 (2017):35-45.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350