You are currently viewing Moringa, Pokok Sayuran Yang Berkhasiat Tinggi

Moringa, Pokok Sayuran Yang Berkhasiat Tinggi

Di arena global, moringa (Moringa oleifera) merupakan sejenis tanaman sayuran yang digemari. Malah di Afrika, tanaman ini dikenali sebagai “pokok ajaib”. Di Malaysia, pokok moringa juga dikenali sebagai pokok kelor atau merunggai. Tanaman ini adalah pokok berkayu lembut dan berasal dari India. la sesuai dengan iklim tropika dan sub-tropika. Seluruh bahagian pokok daripada bahagian akar, daun, bunga dan dahan boleh digunakan sebagai bahan makanan sama ada untuk manusia ataupun ternakan ruminan. Namun, penggunaannya lebih tertumpu pada manusia kerana kaya dengan zat makanan. Pokok moringa boleh bertumbuh dengan cepat, tahan kemarau sehingga 6 bulan serta sejenis tanaman yang memberi hasil selama 10 tahun.

Pokok moringa jika tidak dikawal ketinggiannya mampu tumbuh sehingga ketinggian 10 – 12 meter. la menghasilkan papan buah sepanjang 20 – 80 cm. Papan buah ini boleh dimakan segar atau direbus kemudian makan seperti kacang hijau. Khasiat bagi pokok ini terkandung di dalam bahagian daun, buah, bunga buah dan akar merangkumi karotin, vitamin B dan C, fosforus, magnesium dan juga mineral lain.

Apabila ditanam, pokok moringa akan mencapai ketinggian 2.5 meter dalam masa 1 – 3 bulan dan berupaya mencapai ketinggian 67 meter dalam masa setahun. Penanaman menggunakan biji benih moringa juga mudah kerana dapat bercambah iaitu kira-kira 1 – 2 minggu tanpa sebarang rawatan sebelumnya.

Untuk mengutip hasil buah dan daun dengan lebih mudah, pokok moringa dikawal pada ketinggian 1.5 meter dengan cara memangkas bahagian atas pokok demi menggalak pencabangan lateral. Pangkasan yang dilakukan juga akan memupuk pengeluaran hasil daun dan buah dengan lebih rimbun lagi. Pokok moringa akan mula berbunga selepas 6 – 8 bulan ditanam dan pembungaan akan berlaku sepanjang tahun jika keadaan cuaca adalah munasabah.

Walaupun moringa mempunyai 14 spesies, tetapi amnya hanya dua spesies sahaja (Moringa oleifera dan Moringa stenopetala) yang digunakan sebagai tanaman komersial. Cuaca di Malaysia sangat sesuai untuk penanaman moringa kerana pokok ini gemar terhadap cuaca yang panas antara 25°C – 35°C malah berupaya bertahan terhadap suhu setinggi 48°C.

Keperluan air bagi tanaman ini agak minimum iaitu secara purata 400 mm setahun sudah cukup untuk pokok ini hidup. Namun, di peringkat pembungaan, bekalan air kepada pokok akan dapat mengelakkan bunga gugur. Pengairan diberikan sekali untuk setiap minggu di peringakt 3 bulan pertama ditanam. Selepas itu, pengairan jarang-jarang diperlukan walaupun di peringkat pembuahan, bekalan air yang diberikan akan memupuk pengeluaran hasil yang lebih baik lagi.

Jarak tanaman yang direkomendasikan ialah 2.5 m x 2.5 m serta dengan saiz lubang berukuran 45 x 45 x 45cm. Untuk tujuan kutipan hasil daun, pokok ini malah ditanam sepadat 1.0 x 1.0 m. Amnya, pokok moringa ditanam pada jarak 6.0 x 6.0 m.

Walaupun biji benih moringa boleh bercambah dengan mudah, namun rawatan dengan bahan biopestisid sebelumn digunakan lebih selamat daripada jangkitan penyakit tanah. Biji benih untuk semaian perlu direndam ke dalam air untuk satu malam kemudian digunakan pada hari keesokan. Langkah ini akan mempercepatkan kadar percambahan serta meningkatkan kecergasan dan tumbesaran biji benih. Biji benih disemai dan akan bercambah dalam masa 8 – 10 hari.

Keratan batang juga salah satu cara pembiakan bahan tanaman moringa. la dilakukan dengan memilih keratan berukuran panjang 100 – 150 cm dengan garis pusat 5 -12cm kemudian dipacak 1/3 keratan batang itu ke dalam lubang tanaman. Biji benih boleh disemai ke dalam tapak semaian ataupun polibeg berukuran 15 x 7cm. Selepas bercambah, anak benih perlu dikekalkan di tapak untuk selama 30 – 40 hari sebelum ia dipindah tanam di ladang.

Penanaman harus diikuti dengan pemahaman mengenai cara menggunakan bahagian pokok moringa untuk melestarikan kesihatan badan. Pokok moringa mengeluarkan daun kecil dan rimbun untuk kutipan penanam. Daun yang sudah dikutip hendaklah dikeringkan kemudian dikisar menjadi serbuk. Serbuk daun boleh disimpan selama 6 bulan dalam keadaan suhu bilik.

Dengan cara ini kandungan zat di dalam daun dapat dikekalkan. Zat yang ada di dalam daun termasuk kandungan vitamin A yang lebih tinggi daripada lobak merah, kalsium yang lebih tinggi daripada susu serta kandungan protein yang lebih tinggi daripada yogurt dan kandungan vitamin C lebih kaya daripasda oren. Begitu juga kandungan besi di dalam daun moringa lebih tinggi daripada sayur spinach dan kandungan kaliumnya lebih kaya daripada buah pisang. Daun Mopringa boleh digunakan dalam masakan ataupun dikisar dan dikapsulkan untuk dipasarkan.

Bahagian pokok moringa seperti dahan dan daun juga boleh dijadikan bahan makanan ternakan ruminan. Oleh itu pokok ini sesuai ditanam sebagai forej kerana kaya dengan zat manakan. Untuk tujuan ini, tuaian ke atas pokok dilakukan setipa 75 hari. Bagi tujuan kutipan hasil daun untuk penggunaan manusia, daun boleh dikutip pada setiap 35 – 40 hari. Papan buah yang matang akan pecah dan biji benihnya gugur ke tanah. Oleh itu apabila buah mencapai saiz tertentu dan sebelum matang, ia sesuai dikutip jika tujuan penggunaan adalah untuk dimakan. Dalam suasana penanaman yang baik, hasil buah moringa akan mencapai 18 – 20 tan/ekar/tahun manakala daun segar mencapai 25 – 32 tan/ekar/tahun jika jarak tanaman ialah 6.0 x 6.0 m (450 – 550 pokok/ekar).

Sebagai rumusan, pokok moringa boleh ditanam untuk mendapatkan hasil daun dan buah. Kedua-dua peroduk ini mengandungi khasiat yang tinggi serta berfungsi dalam rawatan pelbagai penyakit kronik di zaman moden ini. Cara memproses hasil kutipan moringa nampaknya juga mudah sama ada secara mengering dan membungkus atau dikisar menjadi serbuk dan dimasukkan ke dalam bungkusan atau dikapsulkan. Bunga moringa moringa selain boleh dimasak, ia juga boleh digunakan dalam penghasilan teh bungkus. Begitu juga dengan bahagian akar yang turut boleh dirumus bagi penghasilan produk kesihatan badan.

 

Sumber maklumat :

1.Jagdsih Reddy, “Moringa Farming, Yield, Cultivation Costing and Returns”AgriFarming, 2018, portal information.

2.Fredalette Uys, “Moringa Production: Production Guidelines For The Miracle Tree”, African Farming.com, 2018.

Hantar blog ini kepada :