You are currently viewing Teknologi Penanaman Durian Belanda

Teknologi Penanaman Durian Belanda

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Dengan harga kebun semasa yang baik, buah durian belanda telah muncul sebagai buah-buahan yang menunjukkan potensi komersial yang cerah sekali dalam negara. Namun begitu, bagi mendapat pulangan yang lumayan daripadanya, pengurusan yang baik adalah pra-syaratnya. Ini kerana tanaman ini mungkin menghadapi risiko jangkitan penyakit akar yang akan merencatkan hayat pokok.

Dengan adukan rasa masam manis, jus durian belanda telah berjaya menghambat hati pengguna apatah lagi ia juga kaya dengan khasiat semula jadi untuk kesihatan badan. Jus ini mempunyai nilai pH antara 3.8 – 4.0. Khasiat dalam buah durian belanda termasuklah kandungan karbohidrat sebanyak 15.1%, protein 1%, lemak 0.2%, serabut 1.6% dan abu 0.5%. Di samping itu, kandungan vitamin C di dalamnya adalah sebanyak 24mg/100g serta mengandungi zat-zat galian seperti kalsium, fosfat, besi, natrium dan kalium. Kandungan kaliumnya adalah tinggi, mencatatkan 293mg/100g, iaitu 10 kali ganda lebih tinggi daripada kandungan kalium dalam buah jambu batu.

 
Dengan rasa yang unik serta juga beraroma harum, jus durian belanda kelihatan berpotensi besar untuk masuk ke pasaran antarabangsa, malah dipercayai boleh bersaing dengan jus limau, nanas, markisa dan belimbing yang telah bertapak di pasaran dunia.

Sungguhpun begitu, kuantiti penghasilan durian belanda dalam negara masih kecil dan keadaan ini telah menyekatnya untuk memberi sumbangan yang lebih tinggi kepada pendapatan negara. Pada masa ini, penanaman durian belanda hanya diusahakan secara kecil-kecilan oleh pekebun yang berminat dan hasil keluaran dijual kepada pemborong. Permintaan umum terhadap buah durian belanda segar adalah kurang jika dibandingkan dengan permintaan terhadap isinya yang telah diproses daripada buah dan dibuat dalam bungkusan 5 kg.

Bungkusan seumpama ini dipasarkan kepada pengusaha restoran, gerai minuman, kafe dengan harga RM30 – RM45/5kg dalam bentuk sejuk dan beku dan dijadikan hidangan minuman yang sedap kepada para pelanggan.


Spesies Buah Durian Belanda

Durian belanda berasal daripada famili Annonaceae yang mempunyai 20 genus dan melebihi 2,000 spesies. Spesies dalam Malaysia yang dibawa dari Amerika Tengah dan dikenali sebagai durian belanda itu bernama saintifik Annona muricata.

Dari segi pertumbuhan, Pokok durian belanda boleh mencapai ketinggian 5 – 8 m dan akan mula mengeluarkan buah seawal 18 bulan selepas ditanam. Tanaman ini berbunga sepanjang tahun dan buahnya boleh tumbuh pada pelbagai bahagian pokok seperti dahan, batang dan di hujung ranting. Bunga betina dan jantan tumbuh pada bunga yang sama (hermafrodit) tetapi berkembang pada masa yang berbeza. Buah durian belanda yang matang mempunyai keberatan di antara 1 – 3 kg dan buahnya mengandungi 30 – 100 biji di dalam isinya.

Kaedah Pembiakan

Tanaman durian belanda walaupun boleh dibiak dengan menggunakan biji benih, tetapi pokok yang dihasilkan dengan biji benih tidak memberi kadar pertumbuhan yang seragam. Kaedah cantuman baji, cantuman mata mata tunas dan cantuman baji sisi boleh digunakan untuk menghasilkan bahan tanaman yang lebih berkualiti.

Bagi kaedah cantuman, pokok penanti adalah diperlukan dan anak pokoknya sendiri paling sesuai dijadikan pokok penanti. Anak pokok durian belanda yang berumur 3 – 4 bulan dengan ketinggian 25 – 40 cm serta ukur lilit batang antara 0.8 1.0 cm adalah sesuai digunakan sebagai pokok penanti. Anak pokok kemudian dipotong di bahagian batang dengan meninggalkan dua helai daun di bawah. Bahagian yang dipotong itu hendaklah dibelah menegak sedalam 2 cm ke bawah.

Sion untuk kegunaan dalam cantuman baji ini perlu diambil daripada pokok durian belanda yang sihat dan berhasil tinggi. Sion ini berukuran panjang di antara 7 – 10 cm dan seeloknya masih mempunyai dua helai daun di situ. Pangkal sion kemudian ditajamkan kepada bentuk ‘V’ bagi memudahkannya disisip ke bahagaian tengah pokok penanti yang telah dibelahkan tadi. Sion dan daunnya harus dikerat bagi mengurangkan kehilangan air di bawah cuaca yang panas.


Pertemuan kedua-dua bahagian cantuman ini harus dalam keadaan yang baik dan dibalut dengan parafilem. Pokok yang siap dicantum itu seterusnya disiram dengan air dan diserkupi dengan beg plastik bagi mengekalkan kelembapan. Beg plastik ini bolehlah ditanggalkan selepas 2 minggu cantuman baji dibuat apabila tunas baru mula terbit.

Bagi cantuman baji sisi pula, pemotongan pokok penanti dilakukan di sisinya pada aras 20 – 30 cm dari permukaan tanah kemudian disisipkan dengan sion yang disediakan. Baghagian cantuman kemudian dibalut dengan parafilem dan diletakkan di tempat yang mempunyai naungan 75%. Penyiraman air serta serkupan dengan beg plastik tetap dilakukan seperti pada kaedah cantuman baji.

Kaedah cantuman baji sisi akan mengambil masa selama 3 minggu bagi pertumbuhan tunas baru. Beg plastik kemudian ditanggalkan selepas tunas baru sudah kelihatan. Bagi kaedah cantuman baji sisi, pokok penanti yang merupakan anak durian belanda berumur lebih kurang 6 bulan adalah sesuai digunakan.

Dalam kaedah cantuman mata tunas pula, pokok penanti berumur melebihi 5 – 6 bulan boleh dipilih daripada anak pokok yang sihat. Kulitnya berukuran 0.5 x 3.0 cm dipotong. Mata tunas yang diambil daripada dahan pokok subur berumur setahun dan ditampalkan pada bahagian potongan pokok penanti tadi sebelum cantuman tersebut dibalut dengan pita. Pokok yang telah siap dicantum itu kemudian diletakkan di bawah naungan 50%.

Pita yang membaluti cantuman itu boleh dibuka selepas 4 minggu dan pokok dipotong di bahagian 4 – 5 cm di atas tempat cantuman. Sebarang tunas yang terbit daripada pokok harus dipotong dari semasa ke semasa. Pokok penanti tersebut boleh dipindah tanam di kebun selepas 5 – 6 bulan dari masa cantuman dibuat.

Dari segi penanaman, tanah berstruktur sederhana dan bernilai pH 5.0 – 6.5 adalah sesuai sekali untuk tanaman durian belanda. Tanah bertakungan air atau mudah banjir adalah tidak sesuai kerana akan mempengaruhi pertumbuhannya.

 

Klon Durian Belanda

Terdapat pelbagai klon durian belanda yang boleh digunakan sebagai bahan tanaman. Pemilihan adalah berdasarkan jenis rasa isi yang dikehendaki sama ada yang manis, masam atau masam manis. Umpamanya, klon-klon masam manis yang digemari termasuklah DB 1, DB 2 dan DB 3. Klon-klon ini sesuai untuk diproses menjadi jus. Pokoknya akan mula mengeluarkan buah selepas 3 – 4 tahun ditanamkan.

Pokok penanti yang telah dicantum sehingga ke peringkat penanaman di kebun haruslah dicantas dari semasa ke semasa. Tunas selain tunas cantuman dipotong bagi menggalak pertumbuhan tunas cantuman. Apabila anak pokok telah dipindah tanam di kebun, ia juga harus dicantas kerap kali bagi mengawal ketinggian pokok untuk memudahkan kerja kawalan perosak, penyakit serta kutipan hasil nanti.

Terdapat klon lain seperti DB 4 yang boleh dimakan segar atau digoreng menjadi hidangan makanan ringan. Klon ini boleh mencapai keberatan 2 – 4 kg/biji jika pendebungaan berbantu diterapkan. Bagi klon DB 8 yang bersifat manis, ia akan menghasilkan buah selepas 2 – 3 tahun ditanam dan keberatan buah boleh mencapai hampir 4 kg/biji. Buah yang manis ini sesuai dimakan segar.


Kepadatan Tanaman

Tanaman durian belanda ditanam pada jarak 6 m x 6 m dalam lubang sebesar 60 cm x 60 cm x 60 cm. Pada jarak tanaman ini, anak-anak pokok yang dipindah tanam selepas 5 – 6 bulan cantuman pokok dibuat itu akan mempunyai sebanyak 260 – 278 pokok dalam kawasan seluas satu hektar. Lubang penanaman harus dimasukkan 5 – 10 kg baja organik berbentuk tahi lembu/tahi ayam/biojisim kelapa sawit bersama 150 g CIRP (Christmas Island Rock Phosphate).

Untuk mengelakkan kehilangan air pada anak-anak pokok, maka musim lembap adalah sesuai sekali untuk menjalankan kerja pindah tanam anak-anak pokok durian belanda. Penanaman pada musim yang lebih basah dapat mengurangkan kadar kematian pokok di kebun selepas dipindah tanam. Sebelum anak-anak pokok dipindah tanam di kebun, ia dilasakkan di bawah cahaya matahari selama 2 – 4 minggu bagi membiasakannya kepada keadaan sebenar di kebun nanti.

 

Program Pembajaan

Dalam proses pertumbuhan, pembajaan adalah penting. Program pembajaan berkenaan adalah seperti disyorkan dalam jadual 1 berikut :

Pendebungaan Berbantu Meningkatkan Hasil

Walaupun bunga durian belanda mempunyai kedua-dua organ jantan (stamen dan debunga) dan betina (stigma dan ovari) pada kuntum bunga yang sama, tetapi kebernasan pada masa yang tidak sama telah mengurangkan keberkesanan pendebungaan. Kebernasan karpel (stigma) yang lebih awal daripada stamen (debunga) menyebabkan ia tidak melekit lagi bagi pelekatan debunga apabila debunga telah bernas dan dibawakan oleh serangga atau agen penghantar yang lain. Keadaan ini menyebabkan pendebungaan tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

Keadaan ini jika dibiarkan begitu sahaja, maka bunga yang boleh berjaya menjadi buah adalah kurang daripada 5%. Di samping itu, pendebungaan semula jadi/terbuka dengan bergantung pada serangga sebagai agen pemindahan debunga juga akan menghasilkan buah yang tidak simetri dan berbentuk bagaikan buah pinggang serta hanya seberat 0.5 – 2 kg/biji sahaja. Lagipun, bunga durian belanda tidak mempunyai bahan manisan serta warna yang kurang menarik itu tidak dapat menarik serangga yang banyak dan lantaran itu mengurangkan kadar pendebungaan.


Hal sedemikian menyebabkan penghasilan buah durian belanda yang sekadar bergantung pada pendebungaan semula jadi itu adalah rendah. Bunga di pokok cantuman mula terbit pada tahun kedua dan berbuah pada tahun ketiga, tetapi hasil buah yang dapat diperolehi pada tahun ketiga dan keempat ialah 5 – 10 biji/tahun dan meningkat kepada 20 – 25 biji pada tahun ke-15. Dengan kata lain, penghasilannya pada tahun ke-3 dan ke-4 ialah 7 tan/ha dan meningkat kepada 25 tan/ha pada tahun ke-9 dan ke-10.

Maka itu, pendebungaan berbantu oleh manusia adalah kaedah yang baik untuk meningkatkan kadar pendebungaan dan pembentukan buah. Debunga yang bernas adalah berwarna kekuningan dan melekit sifatnya. Ia dapat dikumpul daripada bunga lain di pokok yang sama, kemudian disapukan pada stigma bunga secara rata dengan menggunakan berus halus. Bunga yang bernas adalah berwarna kekuningan dan kelopaknya mengorak sedikit sebanyak. Berus halus yang membawa debunga boleh masuk ke stigma bunga melalui ruang kelopak yang sedang membuka.

Pendebungaan berbantu ini akan meningkatkan kejayaan bunga menjadi buah, iaitu daripada tahap di bawah 5% kepada tahap melebihi 30%. Buah yang dihasilkan melalui pendebungaan berbantu juga lebih berat dengan purata antara 1.5 – 3.0 kg/biji. Buah juga berbentuk normal, iaitu bujur serta simetri.

Teknik Pendebunga Berbantu Yang lebih Maju

Penggunaan berus walaupun mudah, tetapi ia memakai tenaga buruh yang lebih tinggi serta mengambil masa yang lebih panjang. Satu teknik berkenaan yang lebih maju telah dikemukakan. Teknik ini menggunakan medium cecair untuk melekatkan debunga pada permukaan stigma.

Teknik ini memerlukan pengumpulan debunga daripada bunga yang matang dengan 1 2 kelopak bunga telah gugur ke tanah. Debunga dan stamen sama-sama dikumpulkan pada bekas vial dengan cara menggoncangkan bunga tersebut. Stamen kemudian disingkirkan daripada bekas.

Bagi setiap bekas vial, jumlah debunga daripada 9-10 kuntum bunga dicampurkan dengan 10 ml medium cecair yang akan membentuk kepadatan debunga 1,000 debunga/cm3. Jumlah debunga ini sudah cukup bagi menghasilkan bentuk buah yang baik kerana persenyawaan yang sempurna.

Medium cecair berupa sukrosa dengan kepekatan 12% adalah sesuai digunakan sebagai penghantar debunga pada stigma. Sukrosa adalah nutrien yang bermanfaat kepada percambahan dan pertumbuhan tiub debunga. Pada masa yang sama, bahan penggalak pertumbuhan tiub debunga yang lain seperti kalsium nitrat, asid borik dan magnesium sulfat, juga boleh dicampur sekali ke dalam medium.

Selepas itu, medium tersebut dititis pada permukaan stigma dengan menggunakan alat penitis makmal pada kadar 1 – 2 titisan/stigma. Kaedah ini lebih menjimat masa, iaitu hanya 4 saat/stigma diperlukan bagi penyiapan kerja penitisan medium berbanding dengan masa 10 saat/stigma dalam kaedah sapuan dengan berus. Pendebungaan harus dijalankan antara 7.30 am – 9.30 am kerana kebernasan debunga akan merosot dengan cepat selepas 10.00 am.

Keberkesanan teknik titisan ini ini dari segi penambahan penghasilan buah durian belanda adalah 14 kali lebih baik daripada pendebungaan semula jadi dan 3.5 kali lebih baik daripada pendebungaan yang menggunakan berus bagi menyapu pada permukaan stigma. Inilah satu hasil kajian berkenaan yang telah dijalankan.

 

Kesimpulan

Penanaman durian belanda mula menunjukkan kehangatan di kalangan pengusaha tanaman ekoran potensi pasaran yang menyakinkan. Nilai komersialnya yang mula timbul ke permukaan air mungkin akan menjadi satu daya yang kuat untuk meningkatkan daya saing dan daya majunya di arena pertanian tempatan dan global.

 

Rujukan :

1. Penanaman Durian Belanda, MARDI, 1993.
2. M.Z. Mohd. Khalid, “Meningkatkan hasil dan mutu durian belanda melalui pendebungaan berbantu”, Teknologi Buah-Buahan, MARDI, 1993.
3. Indu Bala, S. Omar dan J. Habibah, “Teknik baru pendebungaan berbantu yang lebih praktikal dan berkesan bagi tanaman durian belanda”, Penyelidikan Tanaman Makanan, MARDI, 1997.
4. Ahmad Tarmizi Sapii dan Pauziah Muda, Panduan Kematangan dan Penuaian Buah-Buahan, MARDI, 2011 (cetakan kedua).
5. Dr. Mohd. Khalid Mohd. Zin, “Durian belanda sedap digoreng”, Agromedia, Bil. 17.
6. Abu Kasim Ali dan rakan-rakan, Potensi dan Strategi Pemasaran Buah-Buahan Tempatan, MARDI, 2010.

 

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
PLO 650, Jalan Keluli 7, Pasir Gudang Industrial Estate, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com

Website: www.allcosmos.com

Sila kongsi kepada kawan :