You are currently viewing Padi MARDI Silaj 297 Varieti Padi Baru Berhasil Tinggi dan Merintang Penyakit Karah

Padi MARDI Silaj 297 Varieti Padi Baru Berhasil Tinggi dan Merintang Penyakit Karah

Padi adalah sumber makanan terpenting bagi penduduk di Asia selain tempat-tempat lain di bumi ini. Oleh itu, penyelidikan padi merupakan jurusan yang tidak pernah terputus dalam arus masa dan perkembangan sosio-ekonomi di banyak negara demi membangunkan varieti lebih baru dan berhasil tinggi untuk menampung penduduk yang makin meningkat.

Senario yang sama berlaku di Malaysia yang mana pihak MARDI telah menjalankan banyak kajian dan eksperimen dalam pembangunan baka padi baru bukan sahaja untuk meningkatkan pengeluaran hasil, malahan juga sebagai satu pendekatan menangani kebangiktan penyakit dan perosak terhadap varieti padi sedia ada.

Keadaan ini telah berlaku pada padi MR 219 yang mana kerintangannya terhadap penyakit karah telah merosot. Selalunya apabila keadaan ini berlaku, varieti padi baru akan dilancarkan dan pendekatan ini umum diamalkan oleh banyak negara. Oleh yang demikian, dalam bank padi sememangnya terdapat senarai varieti padi baru yang bakal diperkenalkan apabila masanya sampai.

Lantaran itu, Padi MARDI Silaj 297 telah diperkenalkan kepada petani padi pada 2 Februari 2016 dan merupakan varieti padi terbaru buat masa ini. Sebelum ini,varieti MR 253, MR263 dan MR 284 telah dilancarkan. Kesemua varieti ini adalah berhasil tinggi dan penanaman di sawah padi telah berjaya meningkatkan pengeluaran hasil di kalangan petani serta menikmati kadar serangan penyakit yang lebih rendah.

Padi MARDI Silaj 297 mempunyai kelebihan dari segi memberi hasil padi yang tinggi setanding dengan varieti terkini serta rintang terhadap penyakit karah daun, karah tangkai dan penyakit merah virus. Oleh itu ia adalah varieti alternatif kepada penanam padi di kawasan yang sering diserangi oleh penyakit ini. Bagaimanapun, kerintangannya terhadap perosak bena perang adalah sederhana. Dari aspek cita rasa nasi pula, ia juga sesuai kepada pengguna tempatan.

Prestasi Padi MARDI Silaj 297 telah diuji di beberapa jelapang padi utama dan hasil tertinggi yang dicatatkan ialah di Sanglang, Perlis dengan jumlah hasil sebanyak 8,495kg/ha berbanding MR 263 pada 8,092kg/ha. Prestasinya yang baik juga dicatatkan di kawasan pengujian Guar Chempedak, Permatang Bendahari dan Kampung Gelam di Kedah. Atas sebab pengeluaran hasil yang tinggi serta stabil, Padi MARDI Silaj 297 telah dipilih dan diperkenalkan untuk penanaman komersial di Malaysia.

Majlis Pengistiharan Padi MARDI Silaj 297 telah disempurnakan ole Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Raja Perlis pada 2 Februari 2016. Turut hadir, YAB Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis, YB Tuan Hj Hamdan Bahari, Speaker DUN Perlis, YB Dato’ Mohd Fadil Osman,
Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI dan Ybhg Dato’ Dr. Sharif Haron, Ketua Pengarah MARDI.

Hantar blog ini kepada :