You are currently viewing PEMANGKIN – Rumusan Baja Untuk Menyelesaikan 3 Masalah Kekurangan Nutrien Sekali gus

PEMANGKIN – Rumusan Baja Untuk Menyelesaikan 3 Masalah Kekurangan Nutrien Sekali gus

  • Post category:Artikel / CFC

Baja adalah input penting untuk melestarikan produktiviti tanaman. Pembajaan secara purata akan meningkatkan pengeluaran hasil tanaman sebanyak 30% malah lebih jika dibandingkan dengan tanaman yang tidak dibajakan. Namun begitu, faktor-faktor tertentu seperti agro-iklim dan amalan agronomi termasuk pemilihan jenis baja yang sesuai juga mempengaruhi kesan pembajaan tanpa mengabaikan pengaruh daripada faktor lain seperti jenis tanah, topografi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, pengeluar baja sentiasa membuat rumusan baja baru untuk menangani keperluan tanaman yang mungkin berubah dari semasa ke semasa ekoran faktor perubahan cuaca dan sebagainya. Keadaan ini semakin penting untuk diberikan perhatian berat kerana Malaysia kini telah ditanami dengan kelapa sawit seluas melebihi 5 juta hektar. Masalah nutrien yang bangkit sekiranya tidak diatasi maka ia akan membazirkan potensi pengeluaran hasil tanaman.

Kekurangan nutrien tertentu juga akan merendahkan kesan nutrien lain akibat kelembapan interaksi kimia antara nutrien. Keadaan ini akan meningkatkan kos pengeluaran atas sebab tanaman tidak memberi produktiviti sewajarnya selepas pembajaan.

Dalam konteks ini, antara nutrien makro dan mikro yang diperlukan oleh tanaman sawit itu sering memperlihatkan pengabaian 3 nutrien iaitu fosforus (P), magnesium (Mg) dan boron (B) mungkin disebabkan oleh peranan masing-masing yang kurang identikal biarpun ia tetap menunjukkan gejala kekurangan khasnya Mg dan B apabila bekalan tersebut di tanah meleset.


Berbaloi Untuk Menokok Tambah

Dengan kata lain, hasil sawit yang tidak setimpal dengan sepatutnya mungkin telah disebabkan oleh kekurangan P, Mg dan B. Memandangkan kuantiti diperlukan oleh tanaman sawit terhadap ketiga-tiga nutrien ini tidak tinggi, maka adalah berbaloi untuk menokok tambah demi mendapat hasil sawit yang lebih tinggi.

Pada masa yang sama, disebabkan kuantiti diperlukan tidak banyak, pembajaan tersebut secara berasingan tentu akan meningkatkan pusingan pembajaan selanjutnya meningkatkan kos upah buruh. Tambahan pembajaan pada kadar berlebihan merupakan satu keburukan kepada tanaman sawit. Umpamanya Mg dalam bentuk dolomite jika digunakan berlebihan akan merangsang pengurangan kalium (K) kerana wujudnya kesan antagonistik di antara kalsium (Ca), Mg dan K.

Sehubungan itu, B berlebihan akan mengakibatkan keracunan boron pada pokok sawit manakala berlebihan fosforus pula, zon akar tanaman sawit akan mengalami tahap P yang tinggi selanjutnya mempengaruhi pengambilan dan translokasi nutrien mikro seperti kuprum (Cu), zink (Zn) dan besi (Fe).

Kekurangan Fosforus (P)

Pokok sawit yang menghadapi kekurangan P akan menunjukkan bilangan daun, keluasan daun serta kadar pembesaran daun yang lebih rendah daripada pokok normal. Ia juga akan mempengaruhi kandungan klorofil dalam daun selanjutnya menurunkan kadar fotosintesis. Keadaan ini menerangkan daun pokok kekurangan P biasanya berwarna hijau gelap. Begitu juga dengan pertumbuhan pucuk tanaman akan merosot untuk pokok sawit kekurangan P.

Ini kerana pengagihan P ke bahagian akar adalah lebih tinggi menyebabkan pucuk tanaman tidak akan menerima nutrien ini secukupnya dalam situasi tersebut. Keadaan ini turut akan mengurangkan inisiasi/percambahan bunga di samping meningkatkan kadar guguran bunga. Batang pokok berbentuk piramid dan penurunan hasil juga antara simptom tipikal bagi pokok sawit yang berdepan dengan kekurangan P.

Daripada sini jelas kelihatan bahawa kekurangan P akan mengganggu prestasi tanaman sawit dari dua aspek iaitu pertumbuhan daun dan bunga, akibatnya pertumbuhan dan pengeluaran hasil akan menurun. Selain itu, kekurangan P turut membawa gejala seperti pelepah yang pendek dan juga berwarna gelap, garis pusat batang pokok bertambah kecil serta pengurangan saiz buah tandan sawit. Secara umum, keperluan P oleh pokok sawit di tanah pesisir pantai adalah 0.3 0.4kg/pokok dan 0.4 – 0.7kg/pokok untuk pokok sawt di tanah pedalaman.

Kekurangan Magnesium (Mg)

Mg pula adalah elemen penting dalam klorofil. 10 35% daripada kesemua kandungan Mg dalam sebatang pokok sawit adalah berada di dalam klorofil. Mg juga berperanan penting dalam sintesis protein dan pembentukan minyak sawit. Mg diperlukan untuk mengangkut karbohidrat daripada bahagian daun ke buah tandan. Oleh yang demikian, kekurangan Mg akan menyebabkan penurunan nisbah minyak/buah tandan (Oil/Bunch ratio, O/B) bermakna kadar perahan minyak (OER) akan menurun. Keadaan kekurangan Mg yang serius akan mengganggu pengeluaran daun dan juga hasil sawit.

Secara umumnya keperluan Mg oleh tanaman sawit adalah di antara 0.06 0.2-kg/pokok/tahun untuk tujuan pemeliharaan (maintenance) atau 0.30 – 0.75kg/pokok/tahun diagihkan kepada beberapa pusingan penaburan untuk merawat pokok yang menghadapi masalah kekurangan Mg yang serius.


Kekurangan Boron (B)

Kajian menunjukkan bahawa kuantiti B yang terdapat di dalam biojisim atas permukaan tanah untuk keluasan satu hektar pokok sawit ialah 0.5kg. Tambahan sejumlah 0.07kg/ha B diangkut keluar melalui buah tandan sawit segar. Kuantiti ini biarpun amat sedikit tetapi jika keadaan kekurangan boron berlaku, maka pokok sawit akan diganggu dari segi pemanjangan akar, sintesis dinding sel, pembezaan tisu (tissue differentiation), pembentukan karbohidrat dan protein, percambahan debunga dan pertumbuhan tiub debunga.

Oleh itu, kekurangan B akan menyebabkan pokok sawit terbabit dengan masalah meristem, pertumbuhan pucuk akar dan tisu apikal lain terbantut selanjutnya mecacatkan pertumbuhan daun serta menyebabkan daun menjadi rapuh dan berwarna hijau gelap. Selain itu daun muda juga lebih pendek dengan lai daun yang lebih sempit. Memandangkan B adalah elemen asas untuk percambahan debunga serta untuk pertumbuhan tiub debunga maka jika kekurangan B berlaku, kadar guguran bunga akan meningkat dan akhirnya merendahkan hasil sawit.

Dalam keadaan nilai pH tanah lebih rendah daripada 4.5 atau melebihi 7.5 ataupun apabila pertumbuhan pokok sawit bertambah cergas ekoran applikasi baja nitrogen (N) dan kalium (K) atau kerana pengeluaran hasil adalah tinggi, maka keadaan kekurangan B mudah berlaku. Selain itu kawasan bertaburan hujan tinggi dan kawasan berpasir dan juga tanah gambut jugalah tempat yang mudah menghadapi masalah kekurangan B akibat kadar larut resap yang lebih tinggi.

Dalam konteks penggunaan B, disyorkan kadar 0.01kg/pokok untuk tahun pertama dan 0.015 0.35kg/pokok/tahun untuk pokok sawit matang. Bagi kawasan tanaman yang berhasil tinggi, B hendaklah ditabur dengan lebih kerap berikutan penggunaan baja NPK yang biasanya lebih banyak dalam tempoh masa tersebut.

Lebih Mudah Dengan Menggunakan Formulasi 3 Dalam 1

Sebagai kesimpulan, P, Mg dan B adalah nutrien penting untuk tanaman sawit. Sebarang kekurangan nutrien tersebut termasuk juga nutrien-nutrien lain akan mengakibatkan gangguan tumbesaran dan pengeluaran hasil sawit. Kerugian hasil akan berlaku apabila keadaan kekurangan nutrien berkenaan tidak ditangani.

Sebagaimana dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa kuantiti P, Mg dan B yang diperlukan oleh tanaman sawit adalah kecil, maka adalah lebih mudah dan selamat jika ia digunakan sekali gus. Baja dengan formulasi 3 dalam 1 ini telah dibangunkan oleh syarikat Consolidated Fertiliser Corp. Sdn Bhd dengan jenama PEMANGKIN. Rumusan baja ini adalah P12 Mg18 B2 iaitu formulasi yang optimum untuk melestarikan prestasi tanaman sawit.

Rujukan :

Kah-Joo Goh and Rolf Hardter, “General Oil Palm Nutrition”, Oil Palm: Management For Large and Sustainable Yields, PPI, PPIC & IPI, 2003, hal. 199-212.

 

Hantar blog ini kepada :