Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Tanaman sawit atas bukit mudah menghadapi masalah kekurangan nitrogen (N) kerana tanah permukaan lebih cetek dan lapisan bawahan tanah terdiri daripada struktur keras menyekat perkembangan akar serta membatasi kecekapan penyerapan nutrien oleh sistem akar pokok. Bagi sesetengah kawasan yang ditumbuhi dengan rumput-rumpai juga akan menunjukkan gejala kekurangan nitrogen disebabkan oleh saingan nutrien dan ruang antara pokok sawit dengan rumput-rumpai di sekelilingnya.
Selain itu, pokok sawit muda terutama anak-anak pokok yang baru dipindah tanam ke ladang ada kala juga memaparkan gejala kekurangan nitrogen. Walaupun sesetengah gejala itu merupakan simptom sementara akibat sistem akar belum sesuai diri dengan tanah baru, namun sebahagiannya akan terus mengalami klorosis daun sehingga warna daun bertukar dari hijau kepada kuning.
Daun kuning Yang Serius Akan Layu
Sebagai lanjutannya, tisu-tisu di bahagian tulang daun semakin menguning malah menjadi oren kemudian merebak kepada keseluruhan pelepah termasuk petiole dan rakis. Apabila keadaan ini bertambah serius, daun akan bertukar ke warna oren cerah malah oren coklat, menandakan masalah kekurangan nitrogen telah berada di tahap yang kritikal. Kekuningan amnya bermula dari hujung daun kemudian menghala ke tengah daun. Daun-daun terbabit akhirnya akan layu.
Gejala kekuningan daun ekoran kekurangan nitrogen ada persamaan dengan gejala kekurangan magnesium, cuma saiz daun muda akibat kekurangan nitrogen itu lebih sempit nampaknya dan pinggir daun melengkung ke arah bawah permukaan daun. Selain bertukar ke warna kekuningan, pelepah juga tumbuh secara lebih kaku dan juga lebih menegak.
Sekiranya keadaan kekuningan daun masih ringan dan daun belum layu lagi, gejala ini mungkin dapat dipulihkan dalam masa 2 – 4 minggu dengan taburan baja N. Bagi anak sawit yang baru dipindah tanam ke ladang, gejala kekurangan nitrogen yang serius dapat ditangani dengan cara taburan baja ammonium sulphate pada kadar 100 – 150g/pokok/tahun pada tahun pertama. Jika gejala ini masih kekal, maka baja pada kadar lebih tinggi boleh digunakan dengan kekerapan 2 atau 3 bulan sekali sehingga daun kuning memulih ke warna hijau.
Gejala Kurang Serius Boleh Dipulihkan
Bagi pokok berusia 2 -3 tahun yang menunjukkan gejala kekurangan N, cara pemulihan adalah dengan meningkatkan kadar penggunaan ammonium sulphate kepada 1 – 2 kg/pokok/tahun. Bagi pokok matang berusia 5 tahun – 10 tahun, kadar ini malah harus ditingkatkan kepada 5kg/pokok/tahun bagi menyelesaikan masalah kekurangan N tersebut. Namun begitu, kadar pembajaan tersebut harus diagihkan kepada beberapa pusingan dalam setahun.
Sebagai langkah pencegahan, pembajaan ammonium sulphate dijalankan pada setiap 6 bulan sekali sudah memadai. Bagi anak pokok yang baru dipindah tanam, ada kala daun menunjukkan warna kekuningan tetapi akan bertukar ke warna normal apabila akarnya telah sebati dengan tanah serta mula menyerap nutrien daripadanya.
Sumber Maklumat :
P. D. Turner, Oil Palm Diseases and Disorders, Oxford University Press, 1981.
Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my