You are currently viewing Mengenali Jagung Dan Penanaman

Mengenali Jagung Dan Penanaman

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Yi Nong (M) Sdn. Bhd.
No 102, Jalan Kampung Raja, 39010 Cameron Highlands, Pahang, Malaysia.
Tel: +605-4981333
Fax: +605-4983199
Email: yinong.sdn.bhd@hotmail.com

Jagung manis merupakan sejenis spesies rumput dalam famili Gramineae yang juga merangkumi tanaman komersial seperti padi, gandum, oat, barli, rai, sekoi, milet, tebu dan buluh. la adalah tanaman semusim. Di Malaysia, tanaman ini akan matang antara 70 – 75 hari bermula dari peringkat semaian. Keluasan tanaman jagung manis di Malaysia setakat tahun 2021 ialah 10,000 hektar. Ramai petani gemar menanam jagung manis kerana tempoh matangnya pendek di samping potensi pasaran yang baik.

Jagung manis adalah antara kultivar jagung yang boleh dimakan segar serta ditanami secara meluas di seluruh dunia. Jagung boleh dibezakan dari segi bijinya seperti jagung flint, jagung dent, jagung manis, jagung bertih, jagung pulut, jagung tepung dan jagung lenggai. Kesemua biji ini berbeza di antara satu sama lain. Pembangunan jagung justeru telah dilakukan berdasarkan ciri-ciri biji yang berbeza untuk jagung bijian, jagung manis dan jagung bertih.

Sejenis jagung yang dikenali jagung sayur sebenarnya boleh ditanam dengan sebarang varieti jagung termasuk jagung bijian kerana tongkol jagung untuk kegunaan sayuran dituai apabila jejanggut cuma beberapa cm panjang. Tiada bukti menunjukkan bahawa jagung sayur dari varieti jagung manis lebih manis daripada jagung sayur dari varieti jagung bijian.

Dalam kategori jagung bijian, varieti yang biasa digunakan ialah Suwan 1 dan Suwan 3, manakala jagung manis pula kebanyakan dari varieti Thai Supersweet, Manis Madu dan Masmadu.

Bagi jagung sayur, ia sejenis sayuran yang digemari oleh rakyat jelata di Malaysia. Ramai petani suka menanam sayuran ini kerana apa sahaja varieti jagung didapati sesuai untuk pengeluaran sayur. Kajian menggunakan Suwan 1 (jagung bijian), Manis Madu dan Thai Supersweet (jagung manis) pada kepadatan 106,666 hingga 213,333 pokok sehekatar memberi hasil jagung sayur sebanyak 7 – 10 tan. Jagung sayur sedia dipetik apabila jejanggut berukuran 4cm panjang.

Walaupun apa sahaja varieti pun sesuai ditanami untuk kegunaan jagung sayur, tetapi keputusan atau kualitinya bergantung kepada jenis jagung yang ditanami berdekatan. Ini kerana isu pencemaran debunga akan berlaku. Misalnya jika kawasan berdekatan ditanami dengan jagung manis, maka varieti jagung sayur dipilih hendaklah juga dari varieti jagung manis seperti Manis Madu dan Thai Supersweet. Jika jagung sayur dari varieti jagung bijian dipilih sedangkan kawasan berdekatan ditanami jagung manis, kualiti jagung manis akan terjajas termasuk jagung manis tidak mengeluarkan biji-biji yang manis ekoran pencemaran dari debunga jagung bijian.

Bagi memulakan tanaman jagung, tujuan pengeluaran sama ada untuk mendapatkan jagung manis, jagung bijian atau jagung sayur perlu ditentukan dahulu kerana keperluan kadar benih adalah berbeza di antara satu sama lain. Jagung manis biasanya mempunyai biji yang kecut kerana kandungan gulanya tinggi dan hanya memerlukan 8.5kg biji benih untuk kawasan sehektar. Kadar jagung bijian ialah 20kg/ha walaupun kepadatan sama digunakan. Bagi jagung sayur, oleh kerana kepadatan tanaman tinggi digunakan, maka kadar biji benih biasanya melebihi dua kali ganda jagung manis atau jagung bijian. Demi menjamin kadar percambahan biji benih yang baik, hanya biji benih bermutu tinggi dipilih kemudian dirawat dengan racun kulat thiram atau captan (dengan kadar 3g untuk 1,000 biji benih) dengan menggaulkannya sebelum ditanam di ladang.

Jarak tanaman jagung manis dan jagung bijian adalah sama iaitu 75cm x 25cm (satu pokok/lubang) atau 75cm X 50cm (2 pokok/lubang). Jarak ini memberi kepadatan tanaman optimum iaitu 53,333 pokok/ha. Jarak tanaman yang lebih tinggi daripada ini walaupun akan meningkatkan bilangan tongkol jagung/ha, tetapi saiz dan tumbesaran tongkol akan terjejas di sebalik kos pengeluaran yang lebih tinggi dari aplikasi baja, racun dan kadar benih yang lebih tinggi.

Agak penting dalam menyemai biji benih semasa menanam. Kelembapan tanah memainkan peranan penting. Biasanya biji benih disemai 2 – 5cm dalam. Amnya penyemaian biji benih di tanah lembap tidak perlu mendalam kerana khuatir bijinya akan reput. Di tanah kering, umpamanya semasa musim kemarau, penyemaian biasanya dibuat dengan lebih mendalam agar biji benih lebih dekat dengan kelembapan tanah.

Morfologi pokok jagung agak mudah sahaja iaitu sejambak bunga jantan (tasel) tumbuh di atas pokok manakala bunga betina atau tongkol wujud di ketiak daun di bahagian bawah pokok. Jagung biasanya mengeluarkan satu tongkol per pokok, tetapi bagi varieti tertentu, tongkol lebih daripada satu juga boleh diperolehi. Petanai lebih gemar menyimpan setongkol per pokok sahaja untuk menjamin saiz tongkol yang lebih besar serta berisi lebih padat. Pada kepadatan 50,000 pokok/ha, purata setiap pokok boleh menghasilkan satu tongkol yang cukup berisi.

Di Malaysia, pokok jagung berbunga 6 minggu selepas menanam. Jambak bunga jantan akan mengembang selama 5 – 7 hari. Sebaik sahaja embun pagi kering iaitu antara 8.00 am – 10.00 am, cepu debunga akan pecah dan mengeluarkan debunga. Bungan jantan jagung akan mengembang 2 – 4 hari lebih awal daripada pengembangan bunga betina. Sebanyak 2 juta hingga 5 juta debunga akan dikeluarkan oleh satu pokok, iaitu bersamaan 2 ribu hingga 5 ribu debunga bagi setiap ovul dalam bunga betina (tongkol). Kebernasan debunga tidak melebihi 24 jam dan akan kehilangan kesan pendebungaan selepas itu.

Bunga betina betina atau dikenali tongkol pula, jejanggutnya merupakan stigma yang akan menerima debunga dan menjayakan persenyawaan. Jejanggut ini akan mula kelihatan beberapa hari selepas bunga jantan keluar dan akan memanjang lebih daripada seminggu jika tiada pendebungaan. Sekiranya pendebungaan berlaku, jejanggut akan mula mengering dan pengisian biji bermula sehingga 5 – 6 minggu sebelum tanaman itu matang.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
No. 11, Jalan Teknologi 3/6, Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my

Website: www.aarsb.com.my

Antara ketiga-tiga kategori jagung iaitu jagung manis, jagung bijian dan jagung sayur, kualiti jagung manis adalah ciri utama khasnya kemanisan. Kamanisan ini berhubung rapat dengan tahap kematangan tongkol, justeru tempoh kutipan hasil adalah kritikal. Di Malaysia, pendebungaan jagung berlaku dengan bebas, bermakna tahap kematangan jagung manis akan berbeza-beza. Oleh yang demikian, memetik dengan tangan adalah kaedah terbaik kerana tangan dapat mengesan kematangan optimum jagung manis.

Lazimnya terdapat 3 peringkat kematangan biji jagung iaitu peringkat “prasusu”, “susu” dan “doh”. Untuk mengekalkan kesegarannya, jagung manis elok dipetik di peringkat “susu”. Pada peringkat ini, biji jagung telah terbentuk sepenuhnya, berasa manis dan jusnya menyerupai susu. Terdapat beberapa cara untuk menentukan peringkat ini. Ujian kuku boleh digunakan iaitu dengan menekan kuku ibu jari ke dalam biji bagi menguji susu yang mengalir keluar. Nisbah gula kanji juga seringkali digunakan untuk menentukan kadar pertukaran gula kepada kanji.

Pekebun yang berpengalaman dapat menentukan kematangan tongkol dengan mudah. Misalnya dengan memerhati jejanggut jika sudah menukar ke warna perang atau sudah kering atau bunga jantan sudah mengering adalah tanda kematangan tongkol. Ada pekebun malah sekadar memegang tongkol dan merasai kepenuhan isi sudah boleh memutuskan kematangan jagung.

Tiada tanaman yang boleh hidup subur tanpa pengairan mencukupi. Begitu juga dengan jagung manis secara khusus. Kekurangan air pada peringkat percambahan akan melambatkan percambahan serta mengakibatkan percambahan tidak seragam berlaku, dan kadang-kadang menyebabkan kematian anak benih. Kemarau pada peringkat tumbesaran tampang pula akan mengakibatkan kebantutan serta melambatkan pengeluaran bunga jantan dan jejanggut dan seterusnya kematangan bijian.

Peringkat pembungaan bagaimanapun, merupakan peringkat yang paling penting dalam tumbesaran pokok jagung manis. Keperluan yang tinggi terhadap air dan nutrien adalah penting jika kesan buruk hendak dielakkan. Seterusnya kekurangan air atau nutrien pada peringkat tumbesaran bijian pula akan mengurangkan pengisian kernel dan juga menentukan sama ada kernel di bahagian hujung tongkol akan membesar atau tidak. Oleh itu, kekurangan air pada peringkat ini akan mengurangkan berat setiap bijian serta mengakibatkan tongkol-tongkol yang hanya separuh berisi. Dalam keadaan air yang terhad, bekalan air tetap perlu diberi keutamaan di peringkat pembungaan dan tumbesaran bijian.

Banjir juga merupakan masalah penting dalam pengeluaran jagung manis. Banjir jika berlaku melebihi 24 jam pada peringkat tumbesaran tampang akan mengakibatkan pokok kelihatan kekuningan dan terbantut serta boleh mengurangkan hasil. Banjir berpanjangan malah boleh menyebabkan ketiadaan hasil. Banjir berlaku di peringkat-peringkat lain tidak begitu menjejaskan hasil. Jadual 1 menunjukkan keperluan air serta kepekaan terhadap kemarau dan air bertakung bagi tanaman jagung manis khususnya.

Sebagai langkah mengurangkan kos pengeluaran, pembajaan dan penanaman dijalankan dalam satu operasi serentak. Bagi penanaman manual, baja tunggal boleh digunakan pada kadar 60kg N, 60kg P205 dan 60kg K20 sehektar masing-masing dalam bentuk urea, superfostat ganda 3 dan MOP. Kesemua baja tersebut dicampurkan sebelum ditabur ke dalam alur, 3cm dalam dan 5cm di sebelah baris pokok.

Bagi penanaman secara mekanisasi, baja dibubuh menggunakan mesin/jentera. Jenis baja yang digalakkan ialah baja sebatian 15/15/15 pada kadar 400kg/ha. Sebagai baja tambahan atau “top-dressing”, urea ditabur pada kadar 130kg/ha. Operasi ini dijalankan 5 minggu selepas menanam.

 

 

Sumber maklumat :

1. Penanaman Jagung, Penyunting H. Zaharah, MARDI, 1992.
2. Leong Chee Onn, Manual Teknologi Penanaman Jagung Manis, MARDI, 2005.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Palm King Marketing Sdn Bhd
No 40, Jalan Hasta 1, Kawasan Perusahaan Batu 12, 42500 Telok Panglima Garang, Selangor, Malaysia
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd

Website: www.klspalmking.com

Sila kongsi kepada kawan :