Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Bertanam secara padat memanglah buah fikiran yang positif supaya petani boleh memperolehi hasil pertanian yang lebih tinggi. Amalan ini kini juga diaplikasikan ke atas tanaman durian melalui penanaman 3 batang pokok berdekatan dengan jarak 1 meter sesama lain dan jarak 10 meter di antara setiap rumpun. Demikian, sejumlah lebih 300 pokok boleh ditanam dalam keluasan satu hektar. Muatan pokok ini adalah 3 kali ganda jumlah pokok yang ditanami secara tunggal.
Menurut sumber dari media sosial, potensi jumlah hasil penanaman 3 pokok secara berdekatan ialah 1.5 kali ganda penanaman pokok tunggal. Kini durian mencatatkan harga pasaran sangat tinggi justeru peningkatan hasil 0.5 kali ganda ini jugalah berbaloi. Inilah antara kelebihan bertanam 3 pokok secara berdekatan. Terdapat kelebihan lain untuk dikongsikan bersama seperti berikut ini.
Durian pada asalnya adalah tumbuhan liar di hutan belantara sebelum ia dikultur di dusun dan ladang oleh pekebun. Corak pertumbuhan amnya berlaku secara tunggal kerana biji benih yang diserakkan oleh agen pendebunga di bawah pokok itu biarpun boleh tumbuh, tetapi oleh kerana kekurangan cahaya matahari di situ, anak benih tersebut tidak mudah hidup. Justeru itu, pokok durian kebiasaan tumbuh secara tunggal dalam hutan.
Melalui teknik kultur oleh petani di zaman moden ini, didapati 3 pokok ditanam bersama mendatangkan manfaat kepada mereka. Ini kerana kadar hidup 3 pokok ditanam berdekatan dipercayai tidak menjadi masalah kerana pokok masih berupaya menerima pancaran cahaya matahari mencukupi semasa belum matang. Apabila pokok sudah matang nanti, saingan antara pokok terhadap nutrien, air dan cahaya matahari mungkin akan berlaku dan keadaan ini sedikit sebanyak akan menimbulkan masalah tumbesaran jika pangkasan tidak dijalankan selanjutnya. Namun, masalah yang wujud ini boleh dilihat daripada sudut lain iaitu ketiga-tiga bahagian dalaman pokok yang tidak mendapat cahaya matahari secukupnya akan mengalih potensi pengeluaran hasil kepada bahagian luaran pokok. Penjimatan potensi pengeluaran hasil bahagian dalaman pokok akan berlaku dan menjurus ke arah pengeluaran hasil di bahagian luaran pokok melalui penghasilan buah yang lebih banyak. Tanggapan ini kelihatan sahih dari segi teori tetapi dari segi amali pula belum dapat dibuktikan.
Selain itu, rintangan angin bagi 3 pokok ditanam berdekatan juga lebih tinggi. Keadaan ini menjadikan kaedah penanaman ini lebih praktikal di kawasan tiupan angin kencang. Kaedah ini juga lebih terjamin kepada pekebun yang menanam pokok di kawasan tanah bermasalah atau kurang subur kerana sekiranya satu pokok mati, ada dua pokok yang kekal hidup. Jika dua pokok mati, masih ada satu pokok hidup. Oleh itu, kaedah penanaman ini lebih terjamin sekiranya dilihat daripada sudut ini.
Kelebihan lain menanam 3 pokok sekali ialah kaedah ini akan memudahkan pekerja menjalankan kerja menjelang tempoh kutipan hasil kerana kerja mengikat buah lebih mudah ekoran pokok lebih mudah dipanjat. Untuk tujuan ini, ketinggian pokok lebih baik dihadkan pada 7 – 8 meter melalui pangkasan bahagian atas pokok supaya memupuk pengembangan dahan mendatar.
Penanaman secara padat ini juga memupuk kesan pengongsian nutrien dan air yang lebih optimum. Sebagai contoh, jika setiap pokok tunggal memerlukan 3kg baja sebatian setiap kali membaja, maka 3 pokok tunggal akan memerlukan 9kg. Namun jika 3 pokok ditanam berdekatan, jumlah baja sebatian yang diperlukan mungkin hanya 7kg. Keadaan ini boleh diterangkan sebagai penyerapan nutrien yang lebih optimum oleh ketiga-tiga pokok. Begitu juga dalam aspek pengairan.
Kelemahan tetap ada dalam pengamalan kaedah ini. Pertamanya pekerja menghadapi beban memangkas yang lebih tinggi sehingga dua kali ganda berbanding tanaman pokok tunggal. Pekerja hendaklah dilengkapi dengan pengetahuan mengenai fungsi dahan yang mana ada dahan yang perlu dikekal dan ada yang perlu dipangkas. Salah pangkas akan menyebabkan penurunan hasil nanti.
Selain itu, kadar pengudaraan dan kemasukan cahaya matahari dalam serumpun pokok juga perlu diteliti. Kehadiran kedua-dua aspek ini akan menurunkan kelembapan udara dan mengelak jangkitan penyakit pokok terutama penyakit kanker batang. Kadar penerimaan cahaya matahari pada daun selalunya dikaitkan dengan pengeluaran hasil yang menggalakkan. Menurut hasil satu kajian, setiap biji buah yang ingin membesar ke peringkat matang memerlukan 100 – 150 helai daun untuk proses fotosintesis berlangsung dengan baik serta penjanaan makanan. Pokok berdaun renggang amnya kurang berhasil atas sebab ini.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com