You are currently viewing Mengkudu : Tanaman Makanan dan Perubatan

Mengkudu : Tanaman Makanan dan Perubatan

Mengkudu juga dikenali sebagai noni (Morinda citrifolia) dalam bahasa inggeris adalah sejenis tanaman herba yang agak terkenal di arena global kerana banyak bahagian pokok boleh digunakan sebagai bahan ubat-ubatan khusunya jusnya yang konon memberi kesan mengawal darah tinggi, diabetik, hilang sakit badan dan juga meningkatkan antibodi serta tenaga badan. la merupakan resipi perubatan dalam rawatan tradisional. Buah mengkudu segar boleh dimasak dan dijadikan makanan harian menjadikannya hasil pertanian yang berfungsi sebagai bahan makanan dan juga bahan perubatan.

Pada akhir tahun 1998, seorang saintis di Univesiti Hawaii mendapati mengkudu dapat mengubati sebanyak 22 jenis penyakit manusia. Penemuan ini telah meningkatkan nama serta popularitinya di samping mendapat perhatian ramai. Sehingga kini, mengkudu sudah dirumus menjadi pelbagai produk kesihatan badan malah produk penjagaan diri dan juga kosmetik justeru menampilkan potensi komersial yang agak cerah.

Pada hakikat, tanaman mengkudu tumbuh dengan lumrah dalam pelbagai jenis tanah di hutan tidak kira tanah pasir, gambut ataupun tanah masam masing-masing boleh hidup tanpa mengalami banyak masalah. Ia juga dapat hidup di kawasan tanah tinggi sehingga 400 meter dari paras laut menandakan ia sejenis tanaman yang senang hidup dan juga senag ditanam. Taburan tanaman mengkudu kini meliputi kepulauan Asia Pasifik, India, Australia, Asia Tenggara, Hawaii dan lain-lain lagi.

Berkenaan dengan tanaman ini, satu peristiwa kononnya telah berlaku semasa Perang Dunia Kedua yang mana askar Amerika Syarikat (AS) yang telah luka semasa menjalankan tugas di kepulauan Asia Pasifik telah menggunakan jus mengkudu untuk merawat bahagian luka dan sembuh kemudian. Peristiwa ini selanjutnyamenarik perhatian saintis AS menjalankan kajian ke atas tanaman herba ini. Berikutannya, banyak kajian berkenaan telah membuka tirai keajaiban mengkudu.


 Mudah Ditanam

Dari segi penanaman, mengkudu mudah dikendalikan sama ada menggunakan biji benih ataupun keratan batang. Bagaimanapun, oleh kerana buah mengkudu mengandungi banyak biji benih maka penggunaan biji benih adalah lebih mudah. Bermula dari masa penanaman, pokok akan berbuah pada 8 bulan kemudian. Dari peringkat buah kecil sehingga buah matang untuk dikutip, hanya mengambil 14 – 16 minggu sahaja. Apabila kulit buah menukar ke warna kuning, ia menandakan buah sudah 80% masak dan boleh dituai. Ia merupakan tanaman tidak bermusim, oleh itu penuaian boleh dijalankan setiap 20-25 hari.

xxx

Memandangkan mengkudu berbuah di mata pucuk dahan horizontal secara bertentangan dan ia tidak akan berbuah 2 kali pada mata pucuk yang sama, oleh itu pokok mengkudu biasanya dikekalkan 2 – 4 batang dahan utama supaya menggalak pertumbuhan lebih banyak cabang dahan bagi menghasilkan lebih banyak buah. Pangkasan pokok diperlukan kerana pokok berpotensi meninggi sehingga 10 meter dan akan menyukarkan kutipan hasil buah. Oleh yang demikian, mengawal ketinggian pokok pada 3 meter adalah dicadangkan dan pangkasan tersebut dijalankan apaibila pokok berumur 2 tahun kerana di peringkat umur ini, ketinggian pokok adalah lebih kurang di paras ini.

Kos Penanaman dan Pulangan Hasil

Menurut kajian oleh Pusat Penyelidikan MARDI Bukit Ridan, pengeluaran hasil buah mengkudu pada tahun penuaian pertama tidaklah tinggi iaitu di sekitar 1-2 tan/ha. Hasil akan meningkat pada tahun penuaian kedua mencatatkan 9 – 27 tan/ha berpurata 16 tan/ha. Pada tahun penuaian ketiga, hasil terus meningkat kepada 14 30 tan/ha bersamaan purata 18 tan/ha. Hayat ekonomi tanaman mengkudu dijangka melebihi 10 tahun.

Berdasarkan kiraan pengeluaran hasil untuk 10 tahun, purata hasil dalam masa 10 tahun untuk buah mengkudu ialah 161.2 tan/ha. Lantaran itu, anggaran kos pengeluaran ialah RM0.30/kg. Jika harga kebun ialah RM1.00/kg, maka pendapatan bersih untuk penanam ialah RM11,870/ha/tahun. Sekiranya penanam menguruskan kerja ladang sendiri, maka pendapatan bersih ialah RM14,690/ha/tahun. Bagaimanapun, anggaran kos dan pulangan ini hanya untuk rujukan am sahaja.

Keselamatan Penggunaan Jus Mengkudu

Buah mengkudu dianggap sebagai hasil pertanian yang membawa kesan perubatan sejak zaman dulu lagi dan dipercayai anggapan ini mempunyai asas yang kukuh. Sungguhpun demikian, oleh kerana sesetengah tumbuhan herba mengandungi bahan anti-khasiat ataupun bahan toksik (Guil et. al., 1997) sebagaimana pernah dilaporkan bersifat cytotoxic justeru disyaki berkaitan dengan pembentukan ketumbuh dalam badan manusia (Ames, 1983). Sesetengah tanaman herba juga mengandungi bahan toksik yang tinggi (Ur-Rahman and Zaman, 1989). Oleh yang demikian, pengambilan bahan herba hendaklah didahului dengan pemahaman aspek keselamatannya terhadap kesihatan badan.

Bagaimanapun, banyak herba bertoksik sudah disingkirkan daripada senarai penggunaan dalam arus perkembangannya. Dalam aspek ini, dos penggunaan selalu merupakan zon kekaburan kerana banyak bahan herba kurang diuji atau dibuktikan secara saintifik. Jus buah mengkudu pernah diuji dengan kaedah saintifik ke atas tikus untuk mengenal pasti keselamatan penggunaan. Hasil kajian tersebut menyatakan dos penggunaan jus mengkudu hendaklah berpatutan kerana dos berlebihan akan mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan badan.

Hantar blog ini kepada :