You are currently viewing Teknik Merangsang Pembungaan Lebih Awal Untuk Pokok Durian

Teknik Merangsang Pembungaan Lebih Awal Untuk Pokok Durian

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Kimagri Corporation Sdn Bhd
PT 23081, Kawasan Perindustrian Tungzen, 31300 Kampung Kepayang, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com

Website: www.kimagri.com

Teknik merangsang tanaman buah-buahan supaya berbunga dan berbuah lebih awal daripada musim biasa sering dijadikan sebagai rahsia ataupun resipi di kalangan pengusaha tanaman untuk mendapat hasil tanaman yang boleh dipasarkan dengan harga lebih tinggi. Ini adalah fenomena biasa kerana apabila pembekalan di pasaran telah kurang, ia akan mendesak kenaikan harga barangan tersebut termasuk hasil pertanian.

Teknik merangsang yang dimaksudkan di atas sering digunakan terhadap pelbagai jenis tanaman buah-buahan termasuk limau, jambu batu, jambu air dan sebagainya melalui pangkasan ranting-ranting dan pucuk matang supaya menggalak pertumbuhan pucuk baru yang yang akan turut membawa pembungaan selanjutnya.

Ada tanaman pula memerlukan cuaca kering berturut-turut untuk tempoh masa tertentu supaya memupuk pembungaan.

Tanaman durian adalah jenis tumbuhan di bawah kategori ini. Selain itu, tanaman ini juga boleh diaruh supaya berbunga lebih awal melalui semburan input pertanian tertentu yang dikenali sebagai perangsang pembungaan. Kesemua aspek ini adalah teknik yang akan memanfaatkan pekebun durian agar menghasilkan buah durian lebih awal daripada pekebun lain.

Walaupun adanya pandangan umum yang menyatakan persilangan cuaca kering dan basah adalah faktor penting untuk merangsang pembungaan, namun ada pekebun tidak berpendapat sedemikian kerana pernah mengamati pembungaan lebih awal di luar jangkaan biarpun tanah adalah basah ekoran hujan yang datang tidak menentu masa. Begitu juga pandangannya yang tidak menyetujui penanaman baka durian jenis berbunga awal akan dapat merealisasikan harapan tersebut. mereka, langkah terutama untuk merangsang pembungaan awal tanaman durian adalah penjagaan rapi terhadap tanaman serta penggunaan perangsang pembungaan dengan baik.

Ladang durian dimaksudkan itu adalah seluas 60 ekar ditanami dengan 1,500 pokok durian baka Chanee (D123) yang telah berumur 20 tahun. Jarak tanaman ialah 10m x 10m. Tanah di ladang itu terdiri daripada tanah lom pasir bersaliran baik dengan bentuk muka bumi sedikit beralun. Sistem pengairan telah disediakan di ladang itu untuk mengairi tanaman di situ pada bila-bila masa diperlukan sepanjang tahun. Ini salah satu asas penting dalam menjalankan penanaman secara sistematik dan cekap supaya tidak payah sibuk mencari air untuk mengairi tanaman semasa musim kering berpanjangan.

Teknik Pertama: Menggunakan Gred Baja Yang Betul

Merujuk balik kepada kata di atas, penjagaan rapi adalah dikehendaki sebagai syarat merangsang pembungaan lebih awal. Dalam usaha ini, peladang tersebut menjalankan pembajaan dengan konsisten menggunakan baja 15/15/15 selama 4 5 tahun. Kemudian ia ditukar pula kepada baja 8/24/24 pada kadar 2.5kg/pokok/kali untuk pokok berumur 10 tahun atau 4.5kg/pokok/kali untuk pokok berumur 20 tahun. Pembajaan ini dijalankan setahun sekali dan dipercayainya bahawa baja yang rendah kandungan nitrogen (N) dapat merangsang pembungaan lebih awal serta memberi kesan menguatkan pokok di samping menurunkan kejadian serangan P. palmivora atau penyakit stem canker. Teknik ini wujud sebagai asas kepada teknik berikutnya.

Teknik Kedua : Penggunaan Baja Foliar

Terdapat pelbagai perangsang tumbuhan berasaskan rumusan nutrien yang lebih berkesan daripada formulasi biasa di pasaran. Umpamanya formulasi rumpai laut (seaweed) dikatakan mempunyai ciri-ciri seumpama ini di samping produk lain yang sama-sama dirumus menggunakan teknologi terkini. Umumnya rumusan ini dibancuh dengan air mengikut nisbah tertentu seperti 20ml: 20 liter air kemudian disembur secara selangan 15-20 hari sehingga tunas bunga menerbit. Semburan dilaksanakan semula apabila putik buah telah terbentuk dan diteruskan sehingga buah hampir matang. Cara ini didapati dapat merangsang pembungaan lebih awal pada tahun berikutnya.

Kaedah alternatif ialah penggunaan campuran bahan-bahan kimia berasaskan baja yang mana dua di antaranya ialah baja foliar 10/52/17 dengan nisbah penggunaan 400 gram 200 liter air serta Potassium nitrate gred 14/0/46 bernisbah 600 gram: 200 liter air. Semua bahan ini dirumus sama sekali kemudian disembur pada keseluruhan pokok. Semburan pertama dijalankan bersama pembajaan yang ditunjukkan dalam teknik pertama tadi. Semburan seterusnya dijalankan secara selangan 15-20 hari sehingga tunas bunga terbit. Semburan bermula sekali lagi semasa putik buah mencapai saiz seperti buah pinang dan diteruskan sehingga buah durian hampir matang. Teknik ini didapati memberi keputusan hasil seperti di atas.

Semasa cuaca kering, pengairan hendaklah dijalankan pada setiap 5 hari dan jumlah air yang diperlukan itu adalah bergantung pada daya pegangan air oleh tanah di situ. Pangkasan ranting dan pucuk matang dijalankan demi membenarkan kemasukan pancaran cahaya matahari serta meningkatkan peredaran udara didapati memberi manfaat dalam peningkatan kadar pembungaan.

Nota editor: Artikel ini untuk tujuan bacaan am sahaja dan tidak dimaksudkan sebagai panduan.

Untuk mendapat maklumat lebih terperinci mengenai aspek ini, sila ikuti artikel seterusnya pada Isu depan bertajuk Pengurusan Pembungaan dan Pembentukan Buah Durian Ke arah Peningkatan Hasil dan Kualiti Buah. Ini satu pakej teknologi durian yang dihuraikan secara panjang lebar oleh seorang pakar durian di Thailand. Selamat menanti !

 

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Sila kongsi kepada kawan :