You are currently viewing Penanaman Tumbuhan Kekacang Litup Bumi Di Ladang Getah Memberi Kesan Selama 13 Tahun

Penanaman Tumbuhan Kekacang Litup Bumi Di Ladang Getah Memberi Kesan Selama 13 Tahun

Kebiasaannya, permukaan tanah di ladang getah akan ditumbuhi dengan rumput-rumpai. Walaupun tumbuhan liar ini mewujudkan kesan tertentu dalam meringankan kadar hakisan hujan dan kehilangan nutrien permukaan tanah, tetapi daya persaingan yang tinggi dengan tanaman getah dalam pengambilan nutrien di samping penjanaan biojisim yang kurang banyak, maka ia bukan tumbuhan penutup bumi yang baik, khususnya lalang (Imperata cylindrica) dan Selaput tunggul (Mikania micrantha) yang sebaliknya mendatangkan kesan buruk kepada tanaman getah.

Memandangkan pemeliharaan tanah adalah aspek yang penting dalam bidang penanaman, maka usaha berterusan telah dijalankan oleh para penyelidik supaya mendapatkan spesis tumbuhan penutup bumi yang memberi kesan baik kepada tanaman seperti getah, kelapa sawit, koko dan sebagainya yang biasanya diusahakan pada kawasan yang lebih meluas. Penemuan pelbagai spesis tumbuhan kekacang penutup bumi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu merupakan satu pendekatan yang telah memanfaatkan pengusaha tanaman.

Berupaya Menetapkan Nitrogen Daripada Udara

Tumbuhan kekacang penutup bumi ini berupaya menetapkan nitrogen daripada udara dan dijadikan baja nitrogen. Selain itu, ia juga mempunyai kadar pertumbuhan yang tinggi dan seterusnya menjana biojisim yang banyak bagi menyuburkan tanah dengan bahan organik apabila biojisim tersebut sudah reput. Justeru itu, tumbuhan bermanfaat ini telah dianggap sebagai tumbuhan yang penting dalam pengurusan ladang.

Sungguhpun penemuan tumbuhan kekacang penutup bumi sudah berlaku untuk satu jangka masa yang lama, namun penggunaannya kelihatan lebih meluas di sektor estet jika dibandingkan dengan sektor pekebun kecil. Lantaran itu, adalah penting mengetahui keberkesanannya supaya menerapkan teknik tersebut ke ladang masing-masing bagi meningkatkan produktiviti tanaman. Umpamanya, di ladang getah, didapati tumbuhan kekacang penutup bumi mampu memberi kesan selama 13 tahun.

Dalam senario ini, tumbuhan kekacang penutup bumi yang umum digunakan terdiri daripada spesis menjalar seperti Calopogonium mucunoides, Calopogonium caeruleum, Centrosema pubescens, Pueraria phaseoloides, Mucuna cochinchinensis dan sebagainya.

Menurut hasil kajian yang pernah dijalankan, penanaman tumbuhan kekacang penutup bumi di ladang getah menunjukkan beberapa kesan yang positif. Umpamanya, penanaman P. phaseoloides telah mengurangkan kehilangan tanah permukaan sebanyak 42% jika dibandingkan dengan permukaan tanah yang tidak dilitupi dengan sebarang tumbuhan litup bumi.

Memupuk Pertumbuhan Akar Pokok

Sehubungan itu, didapati pertumbuhan sistem akar tanaman getah adalah lebih baik dengan mencapai keberatan 623mg/1000 cc tanah, iaitu lebih berat sebanyak 47% dan 60% jika dibandingkan dengan tanaman getah di bawah litupan rumpat liar dan lalang masing-masing. Pengembangan sistem akar yang lebih baik adalah faktor yang memupuk pertumbuhan pokok getah serta mempercepatkan tempoh matangnya.

Dari segi kitaran semula nutrien ke dalam tanah, tumbuhan kekacang penutup bumi sehektar mengitar semula 381 kg nitrogen, 23 kg fosfat, 119 kg kalium dan 21 kg magnesium ke dalam tanah dalam tempoh masa 5 tahun. Jumlah nutrien dikitar semula ini jauh lebih banyak daripada kitaran nutrien oleh rumput liar, terutama kitaran semula nitrogen oleh tumbuhan kekacang adalah 8.5 kali ganda lebih tinggi daripada kitaran semula oleh rumput liar.

Ukurlilit Batang Pokok Lebih Besar

Selanjutnya, pertumbuhan pokok getah berumur 5 tahun selepas ditanam menunjukkan ukurlilit batang pada 40cm di tanah pedalaman dan 41cm di tanah pesisir pantai berbanding dengan ukurlilit batang pokok getah setakat 18cm dan 24cm yang masing-masing ditanami di kawasan pedalaman dan pesisir pantai yang dilitupi dengan lalang. Tempoh matang pokok getah juga adalah lebih cepat sebanyak 3 bulan menandakan rumput liar akan melambatkan tempoh kematangan pokok getah.

Hasil kajian tersebut juga menunjukkan dalam tempoh 148 bulan selepas pokok getah ditanam, jumlah hasil lateks yang diperolehi daripada pokok getah yang diltupi dengan tumbuhan kekacang adalah 10,145 kg/ha berbanding dengan hasil lateks pada 8,220 kg/ha daripada pokok getah di kawasan pelitupan dengan lalang. 11 bulan kemudian, trend tersebut masih serupa, cuma julat perbezaan adalah kecil sedikit.

Kesimpulan

Daripada sini, maka dapat disimpulkan bahawa penanaman tumbuhan kekacang penutup bumi semasa penanaman getah memberi kesan yang baik untuk tempoh selama 13 tahun bermula daripada saat memindah tanam di ladang. Kesan ini datang dari penjanaan biojisim yang banyak serta kitaran semula nutrien khususnya nitrogen ke dalam tanah. Bahan organik dari pereputan biojisim akan menggiatkan aktiviti mikroorganisma dan menyuburkan tanah. Segala-gala kebaikan ini telah mempercepatkan tempoh kematangan dan memupuk pertumbuhan pokok dengan jumlah pengeluaran lateks yang lebih banyak.

 

Sumber maklumat :

Teknologi Perladangan & Pemprosesan Getah, LGM, 2009.

 

Hantar blog ini kepada :