Nama saintifik | : | Centella asiatica (L.) Urban. |
Nama biasa | : | Asiatic Pennywort, Gotu Kola |
Nama tempatan | : | Pegaga |
Famili | : | Umbelliferae |
Pendahuluan
Tumbuhan ini telah pun diketahui kegunaannya sejak dahulu kala lagi terutama dalam perawatan Ayurvedik di India serta rawatan bagi masyarakat Cina dan Madagaskar. Tumbuhan ini disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu tumbuhan yang sangat penting untuk dipelihara dan ditanam. Di Malaysia walaupun ia digunakan sebagai herba penyembuh tetapi ia lebih popular dijadikan sebagai ulam makanan berbanding dengan herba ubatan.
Ciri – Ciri Tumbuhan
Pegaga merupakan tumbuhan bersaiz kecil, jangka hayat yang pendek serta menjalar. Mempunyai tangkai daun yang panjang, berwarna hijau. Bentuk daunnya bulat dan licin serta berbentuk palmat. Terdapat 3 subspesies pegaga pada masa kini iaitu Pegaga salad, Pegaga kerinting dan Pegaga biasa atau Pegaga ubi. Pegaga yang mempunyai banyak kelebihan adalah Pegaga ubi.
Tabiat Tumbuhan
Pegaga tumbuh secara liar di dalam semua keadaan tanah. Sebahagiannya memerlukan sedikit teduhan dan ada juga spesies yang memerlukan cahaya sepenuhnya. Setengah pegaga boleh tumbuh dalam keadaan tanah yang agak keras seperti atas batu. Dalam keadaan liar, ia boleh dijumpai di kawasan yang lembab seperti di sekeliling kolam, di sepanjang tasik, kolam dan juga boleh didapati di kawasan sawah padi.
Bahagian Yang Digunakan
• Keseluruhan pokok, Bahagian atas tanah, Akar
Amalan Tradisi Perawatan
Pegaga telah digunakan untuk rawatan bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), asma, rembesan gastric, disentri (cirit birit), masalah buah pinggang dan dropsi (penyakit disebabkan oleh pengumpulan air dalam badan).
Herba ini mempunyai kesan yang cepat untuk menurunkan tekanan darah dan juga dijadikan sebagai ubat penawar awet muda .
Di Malaysia pegaga dijadikan sebagai ulam makanan di kalangan masyarakat Melayu dan dijadikan sebagai air minuman penyejuk badan bagi masyarakat Cina serta dijadikan sebagai tonik di kalangan masyarakat India.
Masyarakat Melayu menggunakan air rebusan daun pegaga untuk tujuan rawatan kusta dan reumatik (sakit sendi). Daun pegaga yang dipanas sehingga garing atau jus daun pegaga yang dicampurkan dengan makanan digunakan untuk mengurangkan cirit birit kanak-kanak.
Setengah-setengah orang menggunakan daun pegaga sebagai bahan demah atau tuam untuk merawat sakit akibat luka atau daun pegaga yang dilumatkan dan ditampal pada badan untuk rawatan demam.
Jus daripada akar pegaga yang diminum dapat mencuci ulser. Setengah-setengah orang mempercayai bahawa daun pegaga adalah baik bagi ibu selepas mengandungi bagi tujuan awet muda.
Sumber maklumat :
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik
Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336