Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Mengikut statistik Jabatan Pertanian Malaysia, eksport sayuran pada tahun 2020 mencatatkan RM1 bilion tetapi import sayuran pula ialah RM5.1 bilion. Tahun sama Malaysia mengeluarkan sejumlah 80,000 tan kubis segar, namun jumlah ini hanya mencapai kadar sara diri 40.3%, yang baki hendaklah diimport. Penggunaan kubis per kapita ialah 6.6kg, ini satu angka yang agak besar menandakan sayuran ini amat digemari oleh orang ramai.
Kegemaran terhadap kubis bukan berlaku di Malaysia sahaja, malahan ia adalah antara 20 jenis sayuran utama di dunia, dengan kata lain, penduduk di seluruh dunia mempunyai kegemaran yang sama terhadap sayuran ini. Kandungan khasiatnya tinggi serta boleh dirumus kepada pelbagai jenis makanan ditambah tempoh rak yang lebih panjang adalah faktor-faktor yang menarik minat terhadapnya.
Namun kebanyakan kubis adalah kultivar iklim sederhana sejuk dan keadaan ini menerangkan kenapa bekalan di Malaysia tidak mencukupi untuk menampung permintaan. Di Malaysia, tanah tinggi yang sesuai diusahakan dengan tanaman sayuran hanyalah di Cameron Highlands, Lojing dan Ranau. Kini Camaron Highlands telah ditanami 2,773 ha kubis manakala Ranau 617 ha diikuti Lojing 16 ha. Jumlah hasil besar kubis ketiga-tiga kawasan ini hampir 80,000 tan setahun dan ia tidak cukup untuk menampung permintaan rakyat dalam negara.
Dari sini jelas kelihatan tanaman kubis tanah rendah masih amat kurang diusahakan walaupun sudah ada kultivar yang sesuai dengan iklim tanah rendah. Di bawah struktur berjaring di tanah gambut bertempat di tanah rendah, tanaman ini sebenarnya juga boleh tumbuh dengan baik jika pembajaan diberikan secukupnya.
Rekomendasi pembajaan bagi tanaman kubis amnya diperolehi daripada kajian ke atas tanah terbuka. Menurut sumber, dos baja untuk tanah terbuka ini ialah 240kg nitrogen (N) dan 240kg kalium (K). Adakah dos yang sama diperlukan untuk tanaman ini di bawah struktur berjaring memandangkan kehilangan baja dapat dikurangkan dengan adanya satu lapisan pelindung terhadap air hujan. Di tanah terbuka, pembajaan amnya dimulakan dengan baja seimbang 15/15/15 di peringkat umur 10 hari selepas tanam dengan dos 1.5 tan/ha. Di peringkat umur 5 minggu selepas ditanam, ditambah baja 12/12/17/2 + TE dengan dos 1.5 tan/ha sudah memadai untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil kubis yang baik.
Demi mengenal pasti keperluan baja di bawah struktur berjaring, satu eksperimen telah dijalankan dengan menggunakan baja ammonium sulphate (sumber N), TSP (sumber P) dan MOP (sumber K). Baja-baja ini ditabur ke atas anak benih di peringkat penyediaan tanah, dan ketika umur pokok 3 dan 6 minggu diberikan secara agihan saksama. Hanya Tsp diberikan sekali sahaja dengan kadar 40kg/ha.
Hasil eksperimen ini menunjukkan bahawa aplikasi K dapat dikurangkan daripada 240kg/ha kepada 120kg/ha tanpa menjejaskan hasil tanaman. Di musim hujan, penaburan N hendaklah dilakukan lebih kerap tetapi menggunakan dos lebih rendah setiap kali pembajaan bagi mengurangkan resapan ke dalam tanah. Didapati N pada kadar 240kg/ha hanya meningkatkan jumlah hasil sebanyak 9.4% berbanding dos 120kg/ha. Maka itu, dos baja yang banyak adalah tidak menepati keberkesanan kos justeru aplikasi 120kg/ha sudah memadai. Riley dan Guttormsen (1993) pernah melapor aplikasi N melebihi 100kg/ha tidak meningkatkan hasil tanaman ini. Nunung (1980) pula berpendapat aplikasi N di sekitar 90 – 125kg/ha memperolehi hasil kubis secara optimum. Samant dan rakan-rakan (1981) akhirnya merumuskan bahawa aplikasi NPK pada kadar 75:80:150kg/ha adalah tahap pembajaan optimum bagi tanaman ini.
Akhir kata, penanaman kubis di tanah gambut bertempat di tanah rendah dengan menggunakan struktur jaring hanya memerlukan N dan K pada 120kg/ha secara berasingan. Struktur jaring dapat mengurangkan kehilangan nutrien semasa musim hujan. Lebih-lebih lagi pengurangan aplikasi baja N dan K akan mengurangkan pencemaran alam khususnya terhadap tanah dan air di kawasan tersebut.
Bahan rujukan :
A. C. Leong et al., “N and K requirement of lowland cabbage (Brassica oleracea L. var. Capitata) on peat grown under netted structure”, J. Trop. Agric. And Fd. Sc., 2004.