You are currently viewing Harumanis “Melajak” Keluar Dari Perlis dan Kedah

Harumanis “Melajak” Keluar Dari Perlis dan Kedah

Harumanis adalah satu varieti mangga yang popular di Malaysia. Ia adalah “khazanah❞ Negeri Perlis dan Kedah kerana sebelum ini hanya dapat tumbuh dan berbuah dengan baik dalam dua negeri ini atas sebab terdapat musim kemarau yang jelas bagi pembungaan kemudian pembuahan. Selain kedua-dua negeri ini, Harumanis jarang-jarang menunjukkan prestasi hasil yang menggalakkan. Namun begitu, ini tidak bermaksud ia tidak sesuai ditanam di negeri lain.

Kini sebuah kebun Harumanis di Kampung Seri Gading, Tanjung Selidi, Kota Tinggi, Johor telah dibangunkan. Pokok-pokok yang matang di situ telah berjaya mengeluarkan hasil dan kualiti buah yang setanding dengan Harumanis di Perlis. Kebun ini terletak 400 meter dari tepi laut China Selatan dengan keluasan 0.68 ekar ditanami dengan 96 pokok. Jarak tanaman ialah 4m x 4m dan pokok kini telah berumur 12 tahun. Tanah di kebun ini berpasir kerana berdekatan dengan pantai.

Menurutnya, pokok mula berbuah di peringkat umur 4 tahun selepas tanam dan memperolehi hasil tahunan di antara 4 – 5 tan. Di peringkat umur pokok 8 – 10 tahun, hasil diperolehi untuk sepohon pokok telah melebihi 180 biji dengan berat purata 450 – 470g sebiji. Tekstur dan warna isi buah adalah menarik dan setanding dengan Harumanis di Perlis.

Kajian selanjutnya oleh penyelidik MARDI telah mengesahkan pokok-pokok ini adalah baka Harumanis yang 100% tulen. Kutipan hasil buah biasanya dijalankan antara bulan Jun – Julai setaip tahun. Oleh kerana cuaca di Tanjung Selidi itu mempunyai tempoh kemarau yang jelas antara bulan Februari – Mac, faktor ini telah menjadi tunjang kepada kejayaan pokok-pokok Harumanis tumbuh dan berbuah dengan baik di situ.

Kerja pemulihan kebun tersebut telah dijalankan dengan kerjasama pegawai MARDI. Hasilnya ialah peningkatan kadar pembungaan serta pengeluaran hasil yang dianggar berpotensi mencapai 8 – 10 tan semusim. Hakikat ini merupakan berita baik kepada semua peminat Harumanis kerana mereka akan dapat menikmati keenakan buah ini di luar kawasan daripada Perlis serta di luar musim utama di Perlis oleh kerana masa pengeluaran hasilnya berbeza dengan di Negeri Perlis.

 

Sumber maklumat :

Muhamad Hafiz uha,ad Hassan et al., “Harumanis di Luar Kawasan Kini Sebuah Realiti”, Agromedia, Khas Buah-Buahan 2018, MARDI.

 

Hantar blog ini kepada :