You are currently viewing Pengeluaran Hasil Sawit Melebihi 30 Tan/Ha

Pengeluaran Hasil Sawit Melebihi 30 Tan/Ha

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
No. 11, Jalan Teknologi 3/6, Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my

Website: www.aarsb.com.my

Sebuah ladang sawit berkeluasan 142 hektar telah menghasilkan buah tandan segar berpurata 32 tan/ha/tahun. Prestasi ini amat menggalakkan di arena sawit serta disambut meriah oleh semua kakitangan di syarikat perladangan tersebut. Ladang ini terletak di Kahang, Johor.

Menurut lawatan yang dijalankan, sawit baka FELDA Yangambi ML 161 dan Guthrie Chemara telah ditanam dalam keluasan tersebut, masing-masing merangkumi separuh daripada jumlah keluasan itu. Peladang Encik Goh membawa kami melawati ladangnya dengan kereta berpacuan 4 roda serta berhenti sejenak untuk meneliti keadaan sebenar pokok sawit yang tumbuh di situ. Menurut beliau, untuk mendapat hasil sawit yang baik, beliau telah mematuhi beberapa petua yang amat penting seperti berikut :

 

Pemilihan Anak Benih Sawit Tulen dan Berkualiti Tinggi

Baginya, tiada benda yang lebih penting daripada memperolehi anak benih sawit tulen dan berkualiti tinggi semasa menanam. Mengikut tinjauan beliau secara umum, ada ladang yang memiliki pokok sawit berhasil rendah pada kuantiti yang agak banyak. Apabila pokok-pokok telah matang, ia memberi hasil yang rendah. Andai kata anak benih kurang berkualiti itu merangkumi 10% daripada jumlah keseluruhan pokok yang ada, maka dalam setiap 1,000 pokok sudah wujud 100 pokok yang berhasil rendah.

Keadaan ini dapat dikesan apabila pokok baru matang tidak mengeluarkan mayang betina seperti biasa. Ini satu indikasi yang menyatakan pokok tersebut berkemungkinan besar terdiri daripada pokok berhasil rendah. Ibarat beras sudah jadi nasi, keadaan seumpama ini tidak dapat diubah lagi dan peladang terpaksa menanggung kerugian darpada hasil buah yang rendah itu. Oleh yang demikian, beliau sejak awal-awal lagi sudah menempah anak benih daripada tapak semaian berlesen dengan MPOB yang memiliki kata mulut yang baik untuk menjadi pembekal anak benih ke ladangnya. Langkah ini untuk memastikan anak benih yang disampaikan oleh mereka itu adalah tulen dan berkualiti tinggi.

Agak sukar untuk membezakan antara anak benih sawit berkualiti dan tidak berkualiti. Kebiasaannya pengusaha tapak tapak semaian dapat membezakan melalui pemerhatian corak pertumbuhan anak benih. Anak benih yang baik akan dihasilkan melalui proses penakaian anak pokok yang ketat. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan harga anak benih tersebut menjadi lebih mahal dalam anggaran 2 ringgit per pokok berbanding anak benih biasa yang mungkin berisiko menjadi anak benih berhasil rendah.

Menurut beliau, walapun anak benih bermutu ini lebih mahal sedikit, namun keupayaannya untuk mengeluarkan hasil yang lebih tinggi menjelang kematangan menyatakan ia masih berbaloi untuk dibeli. Dengan berdasarkan setiap lebihan buah tandan segar yang dihasilkan oleh pokok berkualiti tinggi sebenarnya sudah memadai untuk membayar kos anak benih yang lebih berkualiti itu. Umpamanya, sebiji buah tandan segar dengan berat 25kg boleh dijual dengan harga RM11.00 jika harga setan ialah RM450. Harga ini sudah boleh membayar anak benih yang lebih mahal RM2/pokok. Untuk pengetahuan, setiap kenaikan 10% dalam kadar penakaian anak benih sawit akan meningkatkan harga anak benih kepada RM1.00 RM1.50/pokok.

Membaja Mengikut Kekerapan Yang Ditetapkan

Tanaman sawit diwajibkan menjalankan pembajaan untuk mendapat hasil menggalakkan. Ini satu petua yang umum. Encik Goh membaja pokok sawitnya setiap 3 bulan dengan kadar 2kg/pokok/kali. Di samping itu beliau juga menambah pembajaan kalium dengan kadar 2kg/pokok/tahun. Inilah amalan yang dipraktikkan setiap tahun tidak kira harga sawit rendah atau tinggi. Baja ditabur dalam masa 2-3 hari sebelum hari berhujan. Perkara ini tentu melibatkan keperluan meramal cuaca dengan baik. Sehubungan itu, baja yang digunakan juga dari pengeluar baja terkenal dalam negara. Ini penting untuk memastikan kualiti baja adalah tinggi. Beliau menjalankan pembajaan ke atas 142 hektar pokoknya dengan kadar yang cepat, biasanya 3 hari sudah cukup untuk menyempurnakan keseluruhan pembajaan tersebut.

 

Memelihara Rumput Lembut Di Ladang

Rumput lembut di ladang Encik Goh dipelihara dengan baik. Rumput lembut ini tidak bersaing dengan tanaman sawit untuk mendapatkan nutrien dan air, sebaliknya memberi manfaat besar dalam pemeliharaan kelembapan tanah. Jika tanah adalah gondol, keadaan ini akan meningkatkan suhu tanah dan selanjutnya meningkatkan stres pada pokok. Apabila pokok berasa stres, ia akan menghasilkan lebih banyak mayang jantan yang turut menurunkan hasil. Kelembapan tanah juga memupuk aktiviti mikrob dalam tanah dan kesemua aspek ini penting untuk melestarikan pertumbuhan dan pengeluaran hasil sawit.

 

Pangkasan Pelepah Secara Sederhana

Pelepah pokok sawit yang masih hijau menandakan ia masih berfungsi menjalankan fotosintesis. Oleh itu pelepah seumpama ini hendaklah dikekalkan selagi ia tidak menghalang pemotongan buah. Pangkasan pelepah berlebihan akan menghilangkan daun serta merendahkan kadar fotosintesis di samping juga menimbulkan risiko pokok bertambah stres. Persoalan stres pada pokok sawit satu fenomena yang hendak dielakkan kerana ia membawa kesan negatif terhadap pengeluaran hasil sawit. Oleh itu, Encik Goh sentiasa menasihatkan pemotong buah supaya mengekalkan daun hijau setakat yang boleh spaya hasil sawit dapat diperkasakan.

Kawalan Kos Operasi Ladang

Kos operasi ladang adalah faktor utama sesebuah ladang sawit mendapat keuntungan yang rendah. Pendapatan sawit tidak harus ditelan oleh kos operasi yang lebih tinggi. Cara beliau menurunkan kos ladang ialah beliau memotong dan mengangkut buah ke kilang dengan pekerjanya sendiri. Di ladang seluas 142 hektar ini, beliau mengupah 8 orang pekerja serta memiliki hanya sebuah lori sahaja, semua kerja pemotongan dan mengangkut buah dijalankan oleh mereka tanpa dikontrak kepada orang lain.

Mengikut katanya, kos mengangkut buah secara kontrak ialah RM34/tan tetapi dengan lori beliau sendiri, beliau hanya memerlukan kos RM14/tan sahaja. Penggnaan lori sendiri juga hanya memerlukan duit disel sebanyak RM1,000 iaitu bersamaan RM2 untuk satu tan buah tandan segar yang diangkut.

Beliau pernah membuat kiraan, iaitu jika semua kerja memotong dan mengangkut buah dikontrakkan, maka setiap tahun beliau perlu membayar RM170,000 sedangkan jika kerja tersebut dijalankan dengan pekerja sendiri, beliau dapat menjimat sekurang-kurangnya RM70,000/tahun iaitu bersamaan dengan penjimatan yang mampu bagi beliau membeli sebuah lori baru setiap tahun !

Selain itu, beliau membayar upah mengikut tugas yang telah diagihkan masing-masing. Misalnya memotong rumput RM10/ekar, memotong buah RM25/tan dan membaja RM2.00/50kg. Dengan cara ini, setiap pekerja mampu mendapat lebih RM2,000/bulan. Asrama dengan kelengkapan asas juga disediakan kepada mereka membolehkan mereka rehat dengan baik untuk bekerja pada hari esok.

Beliau membahagikan pekerjanya kepada kumpulan. Setiap kumpulan menjalankan tugas masing-masing sama ada merumput, memotong buah atau membaja. Cara ini telah membentuk sifat lebih bertanggung jawab di kalangan mereka kerana tiada alasan yang boleh diberikan jika sesuatu kerja di bidang mereka tidak disempurnakan.

Akhir sekali, beliau juga menjimat daripada pengecualian membina sebuah setor untuk menyimpan baja kerana masa membaja sudah dirancang sebelum itu dengan kedai baja. Apabila sampai masa membaja, pekedai akan membawa masuk baja ke ladangnya dan segala kerja itu akan dibereskan dalam masa 3 hari.

 

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Kimagri Corporation Sdn Bhd
PT 23081, Kawasan Perindustrian Tungzen, 31300 Kampung Kepayang, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com

Website: www.kimagri.com

Sila kongsi kepada kawan :